Friday, September 18, 2015

HIMPUNAN MERAH JUGA LUAHAN SAH SUARA RAKYAT.....


Himpunan Rakyat Bersatu atau himpunan merah yang menyaksikan kebanjiran puluhan ribu peserta di ibu kota semalam, tidak wajar dilihat sebagai 'tidak rasional' ataupun 'tiada motif' kerana ia merupakan manifestasi sebahagian besar rakyat berhubung soal hak dan maruah yang disalurkan menerusi cara yang sah.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, himpunan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) yang didokong oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) membawa 'tuntutan' yang relevan mengikut situasi semasa.

"Mungkin mereka merasakan bahawa selama ini kerajaan tidak mendengar pandangan mereka, sudah tiba masanya kerajaan beri perhatian terhadap suara ini.

"Mungkin sebelum ini kita tidak nampak motif kerana tak ada resolusi. Namun apabila resolusi dikeluarkan, baru kita nampak apa tujuan perhimpunan ini diadakan. Dan saya rasa sebahagian daripada desakan itu sangat relevan dalam konteks NGO yang memperjuangkan kepentingan kumpulan mereka," katanya kepada Antarapos.

Terdahulu perhimpunan merah itu dibidas beberapa pemimpin pembangkang yang menyifatkannya lebih menjurus kepada unsur perkauman, kerana bertujuan sebagai maklum balas kepada Perhimpunan Bersih 4.0 hujung bulan lalu.

Ia turut mendapat kritikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz yang menyifatkan penganjuran sedemikian boleh menggugat hubungan antara kaum, selain didakwa tidak mempunyai tuntutan yang jelas. 

Bagaimanapun ujar, Martadha masyarakat perlu melihat penganjuran perhimpunan merah itu dalam konteks yang lebih besar iaitu hak untuk masyarakat bersuara.

Sebagaimana Bersih 4.0, ujar pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, himpunan merah juga membawa 'tuntutan' yang menuntut perhatian kerajaan. 

"Kerajaan dalam perkara ini perlu dilihat sama rata. Jika kerajaan membenarkan Bersih mengadakan demonstrasi dan dalam masa yang sama kita melihat perkara konstruktif daripada perhimpunan Bersih dulu, (maka kena lihat) juga perkara konstruktif daripada himpunan merah baru-baru ini," katanya.

Dalam himpunan itu, penganjur mengumumkan 14 resolusi, antaranya:

Mempertahankan demokrasi berpalimen;
Memupuk perasaan hormat cinta dan kesepaduan bangsa Malaysia;
Rakyat bersatu mempertahan kestabilan negara;
Bersatu menolak politik ala DAP yang mendalangi cauvanisme kaum tertentu;
Bersatu menolak percubaan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi;
Mempertahankan hak dan kedudukan Melayu dan Bumiputera serta hak semua kaum lain, serta
mengembalikan semula ISA.
Dari: Antarapos.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik