Wednesday, September 16, 2015

HINDARI SIKAP PREJUDIS SESAMA KAUM.

PERPADUAN rakyat berbilang kaum di negara ini harus dipertahankan

SECARA rasional, saya cuba untuk tidak rasis. Kenapa? Kerana saya mempunyai pengalaman yang membuktikan tidak semua individu berlainan bangsa berhati jahat. Pengalaman lebih dua dekad lalu membuka mata saya tentang erti budi individu yang bukan sebangsa, iaitu tidak lokek menghulurkan bantuan ketika dalam kesusahan.


Ceritanya begini, sedang saya ketakutan menunggu teksi ketika jam menunjukkan 12.30 malam, saya disergah seorang lelaki Cina yang berhenti membeli akhbar Cina di hentian teksi itu. Dari dalam kereta, lelaki itu menegur kasar: “Amoi, lu apa tunggu sorang-sorang?” Saya yang ketakutan menjawab ringkas: “Tunggu teksi”.


Tanpa disangka lelaki itu pelawa saya menaiki keretanya. Biarpun curiga, saya tawakal kepada Allah SWT untuk bersetuju kerana hampir setengah jam menunggu, tak ada satu pun kelibat teksi kelihatan.

Setelah masuk, terkejut melihat tangannya penuh dengan tatu. Dalam hati berdoa agar saya dilindungi-Nya sepanjang perjalanan singkat ke rumah bersama lelaki berkenaan. Melihat saya diam, lelaki itu bersuara: “Lu takut ka? Wa tatak (tak) makan olang (orang). Lu apa buat malam-malam balik? Lu tau tak manyak (banyak) bahaya!”.


Setelah mendengar penjelasan bahawa itu adalah hari malang saya apabila disuruh pemandu bas agar turun di kawasan tidak sepatutnya, baharulah lelaki itu faham dan kasihankan saya.


Ketika diturunkan di hadapan rumah, sempat lelaki itu berpesan: “Lu lain kali hati-hati, jangan percaya semua olang”. Walau terkejut, saya yang tidak mahu mentafsir di sebalik kata-katanya itu cepat-cepat berterima kasih dan bergegas masuk ke dalam rumah tanpa menoleh ke belakang.


Kejadian itu memberi kesan kepada saya kerana sepanjang tempoh menunggu teksi ada beberapa kenderaan yang dipandu bangsa sendiri berlalu pergi tanpa menghiraukan keadaan saya yang berseorangan ketika itu.


Saya yakin, pengalaman dilalui itu merupakan karma hidup. Teringat saya kisah diceritakan mak bahawa arwah bapa ketika hayat tidak lokek menghulur bantuan kepada mana-mana kaum. Mungkin inilah yang dikatakan ‘kontra’ bantuan yang ‘dilabur’ oleh arwah bapa, dan hasilnya kepada anak.

Itu kisah saya. Beberapa kisah masyarakat Malaysia yang tak ‘didendangkan’ ini mungkin kita boleh jadikan panduan untuk menilai sebuah ikatan persahabatan tanpa prejudis.


Seperti dipaparkan dalam sebuah akhbar Mac lalu, kisah sahabat sejati antara Mohd. Yusuf Rohani, 45, dan R. Doraisamy, 65, dari Teluk Intan, Perak menyentuh hati orang ramai.


Bayangkan, tanpa prejudis, Mohd. Yusuf sanggup membahagikan masa sehariannya untuk menjaga dan menguruskan Doraisamy yang kehilangan kaki akibat penyakit kencing manis dihidapinya.

Lebih mengagumkan, Mohd. Yusuf telah memikul tanggungjawab membantu Doraisamy yang masih bujang itu sejak 15 tahun lalu. Dia bukan sahaja memastikan kebajikan makan minum dan ubat sahabat baiknya terurus, malah sesekali membawa Doraisamy ke kedai makan. Semua dilakukan atas dasar kemanusiaan!


Berkaitan cerita di atas, moral yang mahu saya tekankan di sini ialah tidak ada siapa dalam kalangan kita tahu bila akan berhadapan dengan kesusahan. Apakah kita ada pilihan untuk menerima bantuan yang dihulurkan oleh insan berhati mulia biarpun berlainan bangsa dan agama? Kala itu saya rasa kita mampu lagi untuk rasis!


Merujuk hubungan Mohd. Yusuf dan Doraisamy itu, mungkin kalangan kita akan berkata: “Nak hairan apa, orang dulu tak rasis, bukan macam sekarang”. Dakwaan sedemikian adalah kerana mutakhir ini memperlihatkan api kebencian kaum dicetuskan oleh beberapa pihak yang ada kepentingan politik.

Daripada isu kalimah Allah sehinggalah yang terbaharu, dua individu wanita dengan sengaja membawa seekor anjing naik troli masuk ke sebuah pasar raya di Johor baru-baru ini sememangnya mencabar kesabaran orang Melayu Islam.


Tidak cukup itu, gambar dua pemimpin negara dipijak-pijak oleh peserta sebuah perhimpunan haram di ibu negara menjelang rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 29 dan 30 Ogos lalu mencetuskan kemarahan orang Melayu Islam. Gara-gara ingin mengembalikan maruah dan kewibawaan orang Melayu, maka wujudlah Himpunan Rakyat Bersatu.


Biarpun ‘merestui’ perhimpunan itu dengan satu matlamat iaitu memberi pengajaran kepada pihak terbabit agar tidak terus-terusan memperlekeh dan menghina bangsa Melayu, jauh di sudut hati, saya secara peribadi tidak mahu perkara buruk seperti Peristiwa 13 Mei 1969 berulang.


Kita kena ingat, rakyat Malaysia tidak dapat lari daripada hidup bermasyarakat. Jiran tetangga kita ibarat saudara terdekat kita. Kalangan mereka sudah tentu ada Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum. Sakit pening kita, jiran-jiran inilah yang akan menjenguk dan menghulur bantuan.


Saya tersentuh hati dengan kisah sahabat ‘dunia akhirat’ yang disifatkan oleh Satish Ganesh terhadap Muhammad Amin Sharudin. Biarpun berbeza bangsa dan agama, namun ia bukan penghalang kepada mereka untuk bersahabat baik sehingga maut memisahkan mereka. Berikut sebahagian nukilan Instagram Satish terhadap Muhammad Amin.


“... bangun meen, menitik air mata ni bila dengar tangisan, dengar dia meraung kesakitan, hancur luluh hati ini, tak sanggup kehilangan sahabat dunia akhirat, dia je yang aku ada, itulah peneman aku di kala aku susah, sedih, gembira, tak ada orang lain selain dia, aku doakan kau sembuh meen...”.


Tidak dinafikan, membaca nukilan-nukilan Satish, air mata saya bergenang tanda terharu dengan keikhlasan anak muda itu dalam berkawan dengan orang yang bukan sebangsa dengannya. Tidak mahu bercerita lanjut, saya serahkan kepada pembaca untuk mengikuti sendiri Instagram lelaki itu yang kini mempunyai 5,381 pengikut.


Pengkisahan sahabat tanpa prejudis seperti Mohd. Yusuf dan Doraisamy serta Satish dan Muhammad Amin perlu lebih ditonjolkan bagi membuktikan bahawa perpaduan kaum masih ‘segar’ di negara ini. Jangan dibiarkan pihak berkepentingan politik memusnahkan keharmonian dan kemakmuran hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.

By: RAJMAH HASAN.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik