Wednesday, September 16, 2015

#HRB169: BIARLAH ORANG MELAYU BERHIMPUN SECARA AMAN.

Hari ini ribuan orang khususnya orang Melayu akan berhimpun di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Perhimpunan itu akan berlangsung dalam suasana ketika pelbagai pihak mempunyai pandangan berbeza termasuklah dalam kalangan sesetengah pemimpin Melayu sendiri.


Pelbagai alasan mereka berikan termasuklah ia akan menjejaskan ekonomi, berbaur perkauman dan boleh mencetuskan kontroversi. Tetapi malangnya ada antara mereka yang berkata demikian sebelum ini bukan sahaja ‘menikus’ malah turut serta turun ke perhimpunan haram Bersih.


Lebih hebat lagi ada antara mereka menyatakan tidak boleh menghalang hak individu untuk menyertai perhimpunan haram itu tetapi apabila orang Melayu hendak berhimpun ia dianggap boleh menjejaskan imej negara dan tumpuan kepada pemulihan ekonomi.


Kasihan orang Melayu, biarpun akan berhimpun dengan tujuan yang baik, mereka tetap dipandang serong seolah-olah mereka tidak mempunyai hak dan kebebasan untuk berkumpul. Hak dan kebebasan itu hanya dilihat layak untuk kaum lain. Kalau orang Melayu menghadiri perhimpunan yang ramai itu rasis, kalau majoriti orang bukan Melayu berkumpul itu demokrasi.


Tetapi syukur kepada Allah, majoriti orang Melayu yang akan meghadiri perhimpunan hari ini tidak tergugat dengan pelbagai kritikan dan kecaman yang diterima. Mereka tetap bersemangat untuk memenuhi Padang Merbok – lokasi yang sudah diberikan permit oleh pihak berkuasa.


Justeru biarlah mereka berhimpun. Jangan takut sangat apabila orang Melayu berbuat demikian. Orang Melayu tahu batas-batasnya, mereka bukanlah kelompok yang tidak tahu menghormati undang-undang atau mahu melakukan perbuatan biadab seperti mana peserta Bersih. Orang Melayu hanya mahu mempraktik dan menggunakan hak mereka mengikut lunas undang-undang.


Ada yang berkata jika jumlah kehadiran tidak menandingi jumlah peserta Bersih ia akan memberi tamparan kepada penganjur. Ini bukan soal angka. Tidak kira berapa ramaipun yang penting ia memberikan mesej kepada kelompok tertentu orang Melayu juga boleh berhimpun.


Apapun kita yakin perhimpunan akan berlangsung secara aman kerana orang Melayu bukanlah kelompok yang suka mencetuskan kekacauan atau mengganggu orang lain, hanya orang yang takut kepada bayang-bayang sahaja bimbang dengan perhimpunan tersebut.


Oleh itu biarlah orang Melayu berhimpun selagi ia mematuhi undang-undang dan tidak menggugat ketenteraman awam. Tidak perlu membuat andaian bukan-bukan apatah lagi takut tidak bertempat sehingga ada yang sudah menutup perniagaan. Kalau mereka berkata, ia tidak adil kepada golongan peniaga tertentu maka kita juga harus bertanya apakah penganjur perhimpunan Bersih pada 29 Ogos dan 30 Ogos lalu memikirkan mengenai nasib peniaga-peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India? Semua orang tahu apa jawapannya.

By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik