Friday, September 18, 2015

#HRB169: MENGAPA ORANG MELAYU KELUAR KE JALAN RAYA..


Melihat kebangkitan penduduk pribumi dalam Himpunan Rakyat Bersatu pada Rabu ramai yang bertanya mengapa pribumi khususnya orang Melayu tak kira peringkat umur keluar ke jalan raya?

Ada yang jawab sebab penganjur sedia kenderaan, tapi itu pilihan, orang boleh tidak naik bas untuk pergi berhimpun jika hati tidak panas.

Pengalaman penulis sendiri yang menaiki komuter dari Bangi, ramai orang Melayu berbaju merah yang pergi menggunakan pengangkutan awam.

Bahkan bertemu dengan seorang anak muda, gayanya seperti pelajar universiti, yang berseorangan untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Pemuda itu antara kira-kira 200,000 orang dari seluruh pelosok tanah air turun ke ibu negara bagi menghadapi perhimpunan penting orang Melayu selepas merdeka.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii, orang Melayu yang keluar ke jalan pada Rabu adalah manifestasi sokongan kepada kerajaan yang berdepan tekanan berbagai pihak.

"Tekanan kepada kerajaan oleh pihak luar, media asing, bekas pemimpin dan dari dalam parti sendiri menyebabkan orang-orang Melayu merasa tersudut, apa yang kita saksikan kini adalah 'lantunan' yang terjadi selepas orang Melayu ditolak ke dinding," ujarnya ketika ditemui di Masjid Negara sebelum perarakan menuju Padang Merbok pada Rabu.

Jelas Razlan, kehadiran orang ramai luar dari jangkaan kerana orang Melayu mahu tunjukkan mereka juga sedia ke jalanraya untuk menuntut dan mempertahankan hak mereka.

"Selama ini Bersih 1 sampai 4, orang ingat penduduk pribumi tidak berani ke jalanraya untuk menuntut itu ini, jelas hari ini, orang Melayu bersedia ke jalanraya, bahkan jika dicabar saya percaya mereka sanggup mempertahankan bumi ini hingga nafas terakhir," katanya.
 
Dalam perhimpunan rakyat terbesar selepas 1946 Rabu, orang-orang Melayu keluar penuh semangat berkumpul di beberapa lokasi yang ditetapkan sebelum berarak menuju ke Padang Merbok.

Hakikatnya, perhimpunan itu seperti ditegaskan oleh beberapa pemimpin yang berucap adalah sebagai tindak balas terhadap kebiadaban peserta perhimpunan haram Bersih menghina pemimpin Melayu.

Malah pemimpin tersebut menegaskan, perhimpunan berkenaan sebagai peringatan kepada DAP supaya tidak menggunakan nama rakyat bagi mencapai tujuan politik mereka.

Menurut salah seorang pemidato, Exco Pemuda UMNO yang juga Pengerak Aku Merah, Armand Azha Abu Hanifah berkata perhimpunan ini merupakan permulaan kebangkitan rakyat mempertahankan kerajaan.

"Kerajaan barisan Nasional (BN) dalam PRU13 lalu dipilih oleh kaum pribumi, di Semenanjung, orang-orang Melayu yang menyokong BN sehingga UMNO menang besar, kerusi UMNO sahaja 88, seluruh kerusi pembangkang di Parlimen 89... Orang Melayu mahu UMNO memerintah mereka.

"Jadi apabila UMNO ditekan, difitnah, dan wujud cubaan mengulingkan kerajaan secara tidak sah, maka orang Melayu yang memilih kerajaan ini pada PRU13 lalu, keluar ke jalan untuk mempertahankannya,"ujar Armand yang berarak dari Jalan Conlay Bukit Bintang.

Dalam perhimpunan tersebut, apa yang menarik, sebahagian besar peserta perhimpunan terdiri daripada anak muda yang dilihat begitu bersemangat dalam mempertegaskan hak dan kepentingan orang Melayu, biarpun ada pihak menganggap perhimpunan itu bukanlah memperjuangkan orang Melayu.

Berselawat ke atas nabi, menyanyi lagu Warisan dan Barisan Kita menjadi pembakar semangat kepada peserta. Apa yang diketengahkan sepanjang perhimpunan itu adalah peringatan supaya jangan sesekali mana-mana pihak cuba membakar semangat orang Melayu melalui tindakan biadab.

Meskipun dihangatkan dengan hawa panas terik, kesemua peserta sanggup berarak berbelas-belas kilometer bermula dari beberapa lokasi seperti Jalan Conlay, Masjid Wilayah, Masjid Negara, Jalan Bukit Bintang dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menuju ke Padang Merbok.

Kesemua peserta berkenaan mula berarak kira-kira pukul 1.30 petang sebelum berkumpul di padang berkenaan. Ketibaan mereka disambut dengan lagu Inilah Barisan Kita yang dilihat membakar semangat peserta untuk terus berhimpun.

Tepat pukul 3 petang, himpunan itu dimulakan dengan bacaan doa sebelum disusuli dengan laungan kata-kata semangat. Tanpa disedari Padang Merbok bagaikan ‘lautan merah’ yang dibanjiri oleh peserta berkenaan yang bersatu hati mengenakan baju merah.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd Ali Rustam yang memulakan majlis berkata insiden memijak gambar pemimpin termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu perbuatan keji.

"Mereka hina Najib dengan memijak gambarnya, kalau tak suka jangan pijak gambar dia.

"Dia pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia, dia dipilih secara demokrasi. Kita bantah sama sekali Bersih," katanya.

Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Jamaluddin Yusof menyeru masyarakat agar tidak membiarkan isu agama, bangsa dan tanah air diperkotak-katikkan.

"PEKIDA sanggup berkorban apa sahaja demi agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memberikan amaran kepada Bersih agar tidak mengulangi perbuatan memijak gambar pemimpin.

"Jangan jolok sarang tebuan. Kita diam bila dia buat Bersih 1, Bersih 2 Bersih 3, kita buat tak nampak. Tetapi bila Bersih 4, dia pijak gambar pemimpin ia telah bangkitkan kemarahan kita," katanya.

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata pemimpin terdahulu telah membuat pilihan untuk menerima sistem demokrasi berparlimen bagi memastikan masyarakat majmuk dapat hidup dengan aman.

"Kita tak ada pilihan lain tapi itulah yang terbaik. Kita terima sistem demokrasi parlimen atas sebab itu ada tolak ansur," katanya.

Padang berkenaan yang sekadar mampu menampung kehadiran 80,000 orang itu turut menyaksikan peserta lain terpaksa memenuhi kawasan berhampiran padang seperti di tepi jalan dan ruang tempat letak kereta berhampiran padang tersebut.

Dalam pada itu, difahamkan kekecohan di Jalan Petaling didakwa dicetuskan oleh kelompok yang sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu bagi memburukkan Himpunan Rakyat bersatu. Ini memandangkan semua peserta himpunan itu telah diarahkan supaya berkumpul secara aman di Padang Merbok.

Pada himpunan tersebut, kebanyakan ucapan pemimpin lebih berasaskan perpaduan Melayu dan pada masa sama menyelar tindakan segelintir puak yang semakin berani menghina orang Melayu gara-gara terlalu taksub dengan ideologi DAP.

Tidak ketinggalan, Presiden Yayasan Persahabatan Malaysia (Permai), Tan Sri Annuar Musa telah diberikan penghormatan bagi membentangkan 14 resolusi yang perlu diberi perhatian oleh orang Melayu termasuk kerajaan sebagai penutup himpunan tersebut.

Tepat pukul 5.30 petang peserta yang datang dari seluruh pelosok tanah air bersurai dengan aman.
Dari: Ad.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik