Wednesday, September 9, 2015

KEGANASAN BOLA SEPAK : POLIS PERLU BERTINDAK KEATAS ULTRAS MALAYA, KHAIRY PERLU WARAS.


Tindakan sebahagian penyokong bola sepak negara mencetuskan kekecohan di minit-minit akhir perlawanan kelayakan antara Malaysia menentang Arab Saudi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi adalah satu jenayah yang harus dipandang serius.

Ketika majoriti peminat bola sepak negara terhibur dengan permainan menarik separuh kedua, muncul segelintir penyokong Malaysia yang bergelar Ultras Malaya melemparkan suar, bunga api dan mercun ke tengah padang ketika perlawanan masuk minit ke-88 apabila terpaksa dihentikan. 

Ketika ini pasukan Malaysia sedang meberi saingan sengit kepada pasukan gergasi asia tersebut dan ketinggalan ketinggalan 1-2.

Berikutan keadaan semakin tegang, pengadil perlawanan Liu Kwok Man dari Hong Kong terpaksa menghentikan perlawanan, sebelum mengarahkan semua pemain masuk ke bilik persalinan, ketika pasukan keselamatan cuba mengawal keadaan.

Banyak media melaporkan Ultras Malaya merancang berbuat sesuatu di stadium malam ini untuk memalukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kita mungkin menyangka ia sekadar nyanyian memaki pemain atau paparan kain rentang biadap seperti menggambarkan FAM dengan seekor anjing beberapa bulan lalu.

Apa yang berlaku benar-benar memalukan negara memandangkan perlawanan itu juga disiarkan secara langsung ke beberapa buah negara khususnya Arab Saudi. 

Kita boleh bertanya apa sudah jadi dengan kawalan keselamatan ke atas penonton yang memasuki stadium? Bagaimana mereka boleh membawa masuk mercun, bunga api dan suar ke dalam stadium? 

Tapi hakikatnya kita tidak perlu bertanya apa-apa kecuali mengecam budaya kurang ajar, biadap dan melanggar undang-undang seperti ini! Mereka yang melakukan ini bersalah dan harus dihukum!

Keadaan ini wujud kerana ada pihak sewenang-wenangnya mmebakar api kemarahan peminat fanatik yang mahu menjatuhkan kepimpinan FAM sekarang tanpa melakukan justifikasi rasional langsung. 

Lihat sahaja cara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melalui akaun Twitter yang terang-terangan cuba menyalahkan FAM selain mereka yang membuat kekacauan. 

Beliau yang antara lain berkata: “Saya ada di Stadium SA (Shah Alam) malam ini. Melihat sendiri insiden yang memalukan. Baling suar salah. Kawalan Stadium.” Beliau turut mempersoalkan, kegagalan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengawal keadaan.

Budaya apa Khairy cuba bawa? Khairy cuba menjaga populariti beliau di kalangan “perosak” bola sepak ini? Bukankah Khairy sepatutnya mengecam terus tindakan melanggar undang-undang, memalukan negara dan membahayakan nyawa orang lain yang dilaku oleh Ultras Malaya tanpa perlu menyalahkan FAM?

Wajarkah apabila ada kemalangan maut membabitkan pemandu yang cuai dan memandu secara merbahaya maka kita sibuk menyalahkan pihak Polis kerana tidak mengambil tindakan awal?

Jika mahu menyalahkan FAM bukankah Khairy selaku Menteri Belia Dan Sukan yang bertanggungjawab memantau semua kegiatan sukan di negara ini wajar turut mengambil tanggungjawab gagal mengkoordinasikan kawalan keselamatan untuk satu perlawanan penting seperti ini.

Sesungguhnya apa yang berlaku sekali lagi mencatatkan sejarah hitam kepada bola sepak Malaysia selepas tidak sampai seminggu pasukan negara mengalami kekalahan memalukan dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada Khamis lalu.

Namun begitu perlu dingat, ini bukanlah kali pertama sekelompok penonton yang kononnya menganggap diri mereka penyokong tegar bola sepak Malaysia berbuat demikian. Sebelum ini ketika perlawanan Liga Super kejadian seumpama itu sudah berlaku.

FAM hanyalah sebuah persatuan bukan agensi kerajaan. 

Bukankah sepatutnya Menteri dan Kementerian yang terbabit memgambil iktibar dari kejadian-kejadian sebelum ini bekerjasama dengan FAM dan Polis mengatasi isu ini? Menteri Belia dan Sukan tidak sepatutnya cuci tangan seolah-olah beliau tiada apa-apa tanggungungjawab kecuali membuat kenyataan populis.

Khairy atau sesiapa sahaja tidak boleh menggalakkan budaya menentukan sesuatu kepimpinan atau perubahan dibuat secara kekerasan dan mengikut kehendak mereka yang berani kurang ajar dan biadap.

Kita juga mahu Polis melaksanakan semula “law and order” di negara ini. Sudah banyak orang tidak lagi peduli undang-undang negara, dari “holigans bola sepak” sehinggalah kepada “kaki demontrasi jalanan”. Apakah Polis mahu menanti orang mati sebelum bertindak?-

Nota:
Jika FAM bersalah dengan kekalahan 10-0 tempoh hari, apakah hari ini FAM ditadbir oleh orang lain sehingga Malaysia memberi persembahan membanggakan menentang Arab Saudi? Apakah kepimpinan FAM yang lain membawa Malaysia menjuarai Sukan SEA dan Piala AFF sebelum ini? Mereka yang menyalahkan FAM ini, apa kejayaan mereka membangunkan bola sepak negara atau negeri?

Dari: Mykmu.net

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik