Friday, September 18, 2015

KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK.

MENYUARAKAN pendapat dalam negara yang mengamalkan demokrasi adalah

HARI ini pelbagai komplot dan tindakan dilakukan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan, sekali gus menghancurkan keharmonian serta keamanan yang dikecapi selama ini. Pada hujung bulan lalu, negara dikejutkan dengan insiden melampau memijak gambar pemimpin dalam satu perhimpunan haram. Tindakan tersebut tidak wajar dilakukan dan telah mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya umat Islam di negara ini.


Mutakhir ini juga keharmonian dalam kalangan penganut agama yang berbeza di Malaysia sedikit tercalar. Ini berlaku kerana ada pihak yang mahu mempolitikkan isu agama. Dalam sebuah negara yang berbilang kaum, polemik tentang agama perlu diurus dengan berhemah dan cermat. Ini kerana perbincangan berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak. Menyuarakan pendapat dalam negara yang mengamalkan demokrasi adalah dibenarkan. Namun dalam isu-isu panas, sewajibnya semua pihak perlu berhati-hati dan mengambil pendekatan bijaksana demi kestabilan nasional. Malah, itulah yang dituntut oleh semua agama.


Isu perpaduan merupakan isu berpanjangan yang perlu dihadapi di negara ini. Sebagaimana maklum, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara demokrasi yang memberi kebebasan kepada orang ramai menjalankan kegiatan dan menubuhkan organisasi tertentu sama ada dalam bidang politik, dakwah, kebajikan dan lain-lain. Malahan dalam kalangan masyarakat wujud pelbagai pertubuhan yang berusaha untuk mendapat publisiti dan pengaruh masing-masing.


MENGUNDANG KEHANCURAN


Situasi ini boleh mengundang perpecahan termasuk dalam pelbagai bidang kehidupan, menimbulkan keretakan sosial dengan pelbagai kritikan, tuduhan perang mulut antara satu dan lain, fitnah, tohmahan dan sebagainya. Sifat-sifat mazmumah digunakan sepenuhnya. Ini semua merupakan gejala berbahaya yang boleh membawa kepada tragedi lebih besar iaitu permusuhan dan perpecahan ummah, sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung. Sesungguhnya perpecahan dan permusuhan adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya bersatu padu dan berpegang teguh dengan agama Allah. Firman-Nya yang bermaksud: “Berpeganglah dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah belah.” (Surah ali- Imran : 103)


Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan ialah penyatuan tenaga, idea dan cita-cita dalam satu ikatan bersepadu. Islam sangat menggalakkan umatnya supaya bersatu padu dan melarang keras perpecahan dalam masyarakat. Kepentingan perpaduan dalam masyarakat amat mustahak sekali, sama ada masyarakat kecil atau besar seperti keluarga, kampung, daerah, negeri dan negara.

“Bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Daripada pepatah ini dapat difahami bahawa sesebuah masyarakat yang kuat akan disegani dan dihormati oleh kawan serta lawan, sebaliknya masyarakat yang anggotanya berpecah belah, bersengketa dan hidup berpuak-puak akan membawa masyarakat itu ke arah kemusnahan dan kehancuran.


GARIS PANDUAN


Ditegaskan di sini bahawa dengan perpaduan maka “gunung yang tinggi dapat dirobohkan dan lautan yang dalam dapat ditimbus, kerja berat menjadi ringan, kerja sukar menjadi senang.” Perpaduan adalah kunci segala kejayaan. Umat digesa supaya memupuk rasa muhibah dan persaudaraan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al- Hujurat : 10).


Rasulullah SAW juga memberi beberapa garis panduan dalam memperkuatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam sebagaimana sabda baginda yang bermaksud : “Hubungan orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah binaan yang saling kait mengait antara satu sama lain.” - Riwayat Muttaq ‘Alaih.


Baginda SAW juga ada merakamkan satu perumpamaan yang amat cantik berkenaan kesatuan umat yang beriman dalam sabda baginda :


“Bandingan orang mukmin yang saling menyayangi dan berlemah lembut sesama mereka seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota merasa sakit menyebabkan seluruh badan berjaga malam dan merasa demam.” - Riwayat Ahmad.


Sabda baginda lagi: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia kasih terhadap dirinya sendiri.” - Riwayat Ahmad, Tirmizi dan al-Nasa’i.


Sirah merakamkan kebijaksanaan yang direalisasikan oleh Rasulullah SAW supaya semua pihak sama ada Islam, Yahudi dan Nasrani mengamalkan pendekatan menang-menang dalam menjalani kehidupan bersama. Rasulullah SAW memilih dasar yang sederhana bagi mewujudkan kesepakatan dan perpaduan dalam masyarakat Madinah. Keadaan ini sewajarnya dipelajari dengan mendalam supaya dapat dijadikan contoh teladan.


ISLAM TIDAK EKSTREM TERHADAP AGAMA LAIN


Di Malaysia, agama Islam adalah agama Persekutuan, manakala penganut-penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing. Penerimaan agama seperti ini merupakan satu amalan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam Piagam Madinah.


Orang bukan Islam menurut Piagam Madinah tidak terjejas kedudukan dan hak mereka sebagai rakyat Madinah. Dokumen ini merupakan bukti konkrit yang memperlihatkan bagaimana orang Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dan menikmati hak masing-masing. Oleh itu nilai-nilai wasatiyyah tidak menghalang kerukunan hidup bersama orang Islam dan bukan Islam. Islam dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk sesebuah negara. Malah konsep kongsi kuasa seperti diamalkan di Malaysia tidak bercanggah dengan nilai-nilai wasatiyyah Islam. Justeru,ia memberi impak yang cukup besar dalam kerukunan hidup di negara ini daripada permulaan Malaysia mengecapi kemerdekaan sehinggalah hari ini.


Jelas sekali betapa pentingnya perpaduan menurut pandangan Islam. Bagi menjamin kelangsungan dalam pembangunan negara, ia memerlukan kerjasama, tolong-menolong dan persefahaman dalam kalangan semua lapisan masyarakat. Justeru, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempelopori pendekatan wasatiyyah, paksi kukuh kepada keharmonian, menyayangi dan saling hormat menghormati. Pendekatan ini berintipatikan kepada kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan sebagai amalan hidup sama ada di peringkat rakyat mahupun kerajaan.

By: Dr Abdullah Md Zin.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik