Friday, September 18, 2015

KENAPA PANDANG SERONG?

Kenapa pandang seorang?

BERATUS ribu orang Melayu pada 16.9 berkumpul di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Mereka datang dari seluruh pelosok negara. Berbanding Bersih, pihak-pihak tertentu khususnya propembangkang melihat Himpunan Rakyat Bersatu seolah-olah ancaman kepada keselamatan negara. Pelbagai tafsiran, andaian dan tuduhan dibuat termasuklah himpunan itu akan membawa petaka kepada negara. Malah ia juga didakwa boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini.


Persoalannya, tidakkah perhimpunan secara aman dibenarkan oleh undang-undang? Bukankah Akta Perhimpunan Aman 2012 diwujudkan bagi memberi ruang rakyat berkumpul? Tidakkah akta itu wujud hasil desakan parti-parti pembangkang dengan alasan ia amalan demokrasi dan hak kebebasan bersuara?


Oleh itu kenapakah apabila Himpunan Rakyat Bersatu mahu diadakan pelbagai tafsiran dibuat? Apakah kerana ia dihadiri oleh majoriti orang Melayu, maka segalanya buruk belaka? Kenapa perlu memandang serong apabila orang Melayu berhimpun?


Sememangnya atas nama kebebasan bersuara dan memberi pendapat sesiapa juga berhak melontarkan pandangan mereka tetapi dalam masa yang sama, kita juga berhak membalas hujah-hujah tersebut.


Berikut penulis paparkan antara dakwaan yang dilemparkan kepada Himpunan Rakyat Bersatu dan hujah balas bagi mempersoalkan kenapakah tafsiran yang sama tidak dibuat kepada perhimpunan haram Bersih dahulu:


* Himpunan Rakyat Bersatu menyusahkan.

Perlu diingat Bersih mengadakan perhimpunan haram. Permohonan mereka untuk mendapat permit berkumpul di Dataran Merdeka tidak diluluskan. Bagaimanapun pihak polis masih bertolak-ansur apabila mengadakan rundingan dengan penganjur. Pihak polis menawarkan bantuan untuk menjaga keselamatan dengan syarat perhimpunan diadakan di tempat tertutup, tetapi malangnya ditolak oleh penganjur.


Bersih tetap mahu mengadakan perhimpunan itu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, tetapi Himpunan Rakyat Bersatu mendapat permit Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis serta dibenarkan berhimpun di Padang Merbok.


* Baju Merah bukan pejuang Melayu

Faktanya majoriti besar yang menyertai Himpunan Rakyat Bersatu adalah orang Melayu. Mereka memperjuangkan hak-hak orang Melayu tanpa menggugat hak kaum lain. Persoalannya, bagaimana perhimpunan haram Bersih boleh dianggap membawa suara rakyat dan mewakili rakyat? Sedangkan semua orang tahu majoriti yang datang ialah kaum Cina penyokong DAP.


Bagaimana ia boleh dianggap suara rakyat dengan kehadiran kaum lain tidak sampai 20 peratus? Malah ia juga bertujuan politik tetapi alasan diberikan ialah demi menuntut pilihan raya Bersih, tetapi apa yang kita saksikan ketika perhimpunan haram itu berlangsung pelbagai caci-maki dilemparkan kepada kepemimpinan negara. Soal pilihan raya entah ke mana.


* Dianggap perhimpunan berbaur perkauman

Apakah perhimpunan haram Bersih tidak boleh dilihat berbaur perkauman apabila majoriti yang hadir adalah kaum Cina? Apakah mereka tidak memikirkan soal sensitiviti kaum apabila bertindak memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang? Kenapa perlu melihat dari sudut perkauman apabila melibatkan penyertaan orang Melayu? Apakah benarkah orang Melayu begitu tebal dengan semangat perkauman? Kalau betul orang Melayu ada sikap sedemikian sudah pasti Malaysia tidak akan aman.


* Tidak menghormati sambutan Hari Malaysia

Bagaimana dengan tindakan Bersih mengadakan perhimpunan haram pada 29 Ogos dan 30 Ogos lalu? Tidakkah ia menjejaskan sambutan Hari Kebangsaan 2015? Perlu diingat mereka mengadakan perhimpunan itu selama dua hari sedangkan Himpunan Rakyat Bersatu hanya diadakan beberapa jam sahaja.


Akibat kedegilan penganjur Bersih, sambutan Ambang Kemerdekaan terpaksa dipindahkan dari Dataran Merdeka ke Stadium Bukit Jalil. Tidakkah itu mencemarkan sambutan hari kemerdekaan negara?


* Boleh menjejaskan tumpuan kepada pemulihan ekonomi

Kenapa soalan yang sama tidak ditanya kepada penganjur Bersih? Tidakkah tindakan mereka juga boleh menjejaskan usaha itu? Kenapakah hanya ditumpukan kepada perhimpunan aman melibatkan orang Melayu sahaja?


* Mengganggu penjaja dan peniaga

Akibat perhimpunan haram Bersih, para peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India mengalami kerugian kerana terpaksa menutup perniagaan. Kenapakah soal kerugian ini hanya dilihat dari sudut peniaga-peniaga di Petaling Street atau Bukit Bintang sahaja?


* Beri kesan buruk kepada negara

Ini kali pertama orang Melayu mengadakan perhimpunan. Itu pun dijalankan secara aman dan mematuhi segala undang-undang yang diperuntukkan. Tetapi Bersih sudah mengadakan empat perhimpunan yang mana dua daripadanya menyaksikan keganasan tercetus termasuk anggota keselamatan cedera diserang.


Akibat kekecohan itu, ia telah memburukkan nama negara. Kenapakah persoalan ini tidak dibangkitkan? Kenapa perhimpunan aman oleh orang Melayu dianggap boleh memburukkan nama negara?


Kesimpulannya, buatlah apa sahaja, katalah apapun, Himpunan Melayu Bersatu yang berlangsung sudah menjadi bukti orang Melayu juga berhak dan mampu berhimpun mempertahankan hak mereka di negara yang suatu ketika bernama Tanah Melayu ini.

By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik