Sunday, September 27, 2015

MEDIA ASING DAN SIKAP KITA.

SUATU ketika dahulu rakyat di negara ini, diperingatkan berkali-kali supaya berhati-hati dengan mainan media asing yang sentiasa berusaha memburuk-burukkan Malaysia. Apa sahaja isu yang berlaku akan dieksploitasikan habis-habisan bagi menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.


Malah penulis masih ingat seorang pemimpin utama negara membidas laporan majalah antarabangsa Far Eastern Economic Review mengenai suasana politik Malaysia dan secara sinis mencadangkan supaya media antarabangsa itu menukar sahaja namanya kepada Far Eastern Political Review.


Itu dahulu tetapi sekarang seolah-olah sudah wujud ‘perubahan sikap’ dalam kalangan kita sendiri mahu menjadikan media asing sebagai senjata bagi menggugat kepemimpinan negara dengan pelbagai serangan.


Kenyataan bekas Ahli Dewan Negara, Mohamad Ezam Mohd. Noor yang mendakwa serangan bertubi-tubi tanpa fakta oleh media asing terutamanya Amerika Syarikat (AS) terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didalangi oleh kumpulan zionis perlu diberi perhatian.


Ini memandangkan kita memahami bagaimana sentimen media barat terhadap ketegasan Malaysia dalam berhadapan dengan isu berkaitan umat Islam khususnya melibatkan rakyat Palestin.


Sejak dulu lagi media asing tidak pernah berniat baik terhadap negara ini walaupun ada dalam kalangan kita sendiri menganggap tindakan media tersebut mendedahkan segala kepincangan mengenai Malaysia adalah wajar kononnya atas alasan media tempatan tidak bebas.


Penulis akui ada pelbagai isu yang perlu ditangani dan ada banyak masalah yang harus diselesaikan oleh kerajaan Malaysia tetapi persoalannya apakah wajar kita menjadikan media asing sebagai ‘senjata’ untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku?


Kalau mahu bercakap soal media arus perdana tidak bebas dan dikongkong, bagaimanakah dengan media-media khususnya portal propembangkang? Apakah mereka tidak bebas? Tidakkah selama ini pelbagai laporan negatif mereka siarkan mengenai kepemimpinan negara?


Namun begitu itu hak mereka yang kononnya berpegang kepada kebebasan media untuk membuat laporan apa sahaja dirasakan wajar tetapi janganlah antara kita terlalu teruja apabila ada media asing dari semasa ke semasa terus melakukan serangan ke atas kepemimpinan negara.


Percayalah media asing mempunyai agenda tersendiri. Usah bercakap soal kononnya mereka mahu memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Agenda itu tidak ada dalam kamus kewartawanan media berkenaan apabila melibatkan Malaysia dan negara-negara Islam.


Sebab itulah, kita perlu berhati-hati dengan media asing. Perbuatan bersekongkol dengan mereka semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada adalah tindakan tidak bijak dan hanya akan meletakkan negara dalam bahaya serta bersikap seperti ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’.


Media asing tahu bagaimana dan bila masa mereka boleh mengambil kesempatan. Malah mereka juga amat memahami siapa yang boleh dijadikan sumber untuk melaksanakan agenda tersembunyi bagi mera-napkan kepemimpinan negara ini.


Perlu difahami media asing tidak akan melaporkan yang positif mengenai Malaysia. Apa sahaja isu yang berlaku di negara ini ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ kepada Malaysia. Soal sama ada sesuatu isu benar atau tidak, palsu atau tidak ia bukanlah menjadi perhitungan utama, apa yang penting selagi ada ruang, selagi ada kesempatan dan selagi ada peluang mereka akan mengasak habis-habisan.


Mungkin bagi mereka yang tidak sehaluan dengan kepemimpinan negara akan timbul perasaan puas hati kerana media asing telah ‘memenuhi impian’ mereka, tetapi dengan fikiran yang tenang dan hati yang bersih, fikirkanlah wajarkah tindakan seumpama itu dilakukan.


Jika Malaysia dipandang negatif di peringkat antarabangsa, apakah ia akan menguntungkan rakyat negara ini secara keseluruhannya? Tidakkah kita terfikir bahawa ia hakikatnya menjemput ‘penjajahan baru’ yang tentunya lebih bahaya daripada sebuah peperangan?


Kalaupun ada masalah atau perasaan tidak puas hati, biarlah rakyat negara ini yang membuat perhitungan dalam pilihan raya bukannya orang luar termasuklah media asing. Malaysia bukannya dipe-rintah oleh parti kerajaan sahaja, malah kita juga ada pembangkang dan mereka turut mempunyai media sendiri.

Dalam bahasa mudahnya, perhitungan mengenai pentadbiran dan kepemimpinan negara, biarlah kita sebagai rakyat Malaysia tentukan bukannya mana-mana orang asing yang cukup bijak mengambil kesempatan bagi melemahkan negara ini.


Apa yang menjadi kebimbangan sudah ada kecenderungan pihak tertentu untuk bersekongkol dengan media asing bagi mencapai tujuan politik mereka. Kononnya ia bagi menyelamatkan Malaysia dan kerajaan sedia ada, tetapi persoalannya apakah media asing benar-benar mempunyai niat yang tulus ikhlas seumpama itu?


Tidak terfikirkah kita siapakah selama ini yang mengucar-kacirkan negara-negara Islam khususnya di rantau Arab? Bukankah media asing yang bertanggungjawab melaporkan pelbagai keburukan mengenai kepemimpinan orang Islam tetapi membutakan mata terhadap penindasan yang dilakukan oleh negara barat terhadap orang Islam?


Justeru sebelum terlambat, hentikanlah perbuatan yang dianggap mengkhianati negara dengan bersedia menjadi alat kepada media asing. Fahamilah, negara ini diperintah oleh orang Melayu beragama Islam. Kerajaan yang ada ditunjangi oleh parti Melayu dan beragama Islam.


Jangan sampai kerana kemarahan yang menyala dan dendam membara menyebabkan kita tenggelam punca sehingga tidak melihat bahaya yang menanti melalui permainan media asing tersebut.


Percayalah apa yang mereka lakukan bukanlah sekadar mahu menjatuhkan seorang pemimpin seperti mana dihasratkan oleh sesetengah dalam kalangan kita sendiri tetapi jauh daripada itu mampu menyebabkan orang Melayu dan umat Islam Malaysia merempat di tanah air sendiri.

Dari: Zulkifle Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik