Wednesday, September 23, 2015

MELAYU TIDAK AKAN BERSATU SELAGI...........

RIBUAN peserta melaungkan Hidup Melayu sempena Himpunan Rakyat

SOAL penyatuan dalam kalangan orang Melayu kembali diperkatakan. Tindakan peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 yang memijak gambar pemimpin-pemimpin Melayu memberikan isyarat ‘keberanian’ luar biasa kaum tertentu.


Malah dari semasa ke semasa, kita melihat wujud pelbagai tindak-tanduk yang menuntut orang Melayu tidak boleh lagi menjadikan soal penyatuan mereka sekadar retorik. Perpecahan tidak mendatangkan faedah sebaliknya membuka jalan kepada pihak tertentu mengambil kesempatan sehingga sanggup menghina pemimpin-pemimpin Melayu.


Keberanian puak itu wujud kerana mereka tahu orang Melayu mempunyai kepincangan ketara dalam penyatuan sesama mereka waima bagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Selain perbezaan fahaman politik menjadi halangan utama, sikap pemimpin Melayu memungkinkan penyatuan orang Melayu sekadar satu impian.


Hakikatnya, orang Melayu tak kan bersatu selagi;


* Ada pemimpin Melayu yang sanggup bersekongkol dengan pihak lain bagi menjatuhkan kepemimpinan orang Melayu. Pemimpin Melayu yang berbuat demikian semata-mata kerana mahu merebut kuasa politik. Mereka sanggup menggadaikan apa sahaja malah mengkhianati parti sendiri asalkan cita-cita mendapat kuasa tercapai, biarpun apabila berkuasa nanti mereka sekadar ‘boneka’.


Kaum lain tidak sanggup berbuat demikian. Seburuk manapun kepemimpinan parti yang disertai, mereka tetap mempertahankannya demi kepentingan bersama khususnya kaum mereka.


* Ada pemimpin Melayu malu melihat orang Melayu berhimpun. Pemimpin seumpama itu dibelenggu politik kebencian. Bagi beliau, kalau perhimpunan itu bukan anjuran parti atau sekutunya ia tidak elok dan boleh membawa masalah negara.


Anehnya, pemimpin itu tidak pula malu apatah lagi tercabar apabila pemimpin kaum lain menghina dan mencerca habis-habisan pemimpin Melayu. Bayangkan kalaulah pemimpin Melayu yang bukan sekutu mereka boleh dihina sedemikian rupa, bagaimana jika pemimpin Melayu yang menjadi sekutu mereka? Tidakkah mereka akan menjadi seperti ‘lembu dicucuk hidung’ sahaja nanti?


* Ada pemimpin Melayu bertanya apa untung orang Melayu berhimpun. Sikap seumpama itu menyebabkan kaum lain akan tersenyum kerana apa sahaja dibuat oleh orang Melayu ditentang oleh pemimpin Melayu sendiri.


Sepatutnya dalam keadaan apa sekalipun sebarang perhimpunan yang boleh menyatukan orang Melayu perlu disokong bukannya dipandang sinis. Ini belum lagi ada pemimpin yang menggesa kerajaan bertindak tegas kepada perhimpunan orang Melayu tetapi tidak membuat gesaan kepada perhimpunan menghina pemimpin Melayu.


* Terlalu mahu menjaga hati pihak lain. Ada dalam kalangan pemimpin Melayu terlalu takut untuk bercakap membela nasib bangsa sendiri. Apa sahaja yang dibuat harus mengambil kira apa kaum lain akan cakap.


Memperjuangkan hak orang Melayu dan kepentingan Islam bukan bermakna kita rasis atau mengganggu-gugat hak kaum lain. Bagaimanapun ada dalam kalangan pemimpin Melayu yang masih ‘takut-takut’ dalam hal ini khususnya dari segi perolehan undi sedangkan kalau keputusan pilihan raya dikaji buat apa pun sokongan yang diharapkan terus sekadar sebuah mimpi.


* Kewujudan pemimpin Melayu liberal. Kelompok ini memperjuangkan kesamarataan sehinggakan orang Melayu tidak boleh lagi bercakap hak mereka dari segi Perlembagaan. Apa sahaja yang dilakukan oleh orang Melayu akan dipandang sinis biarpun hakikatnya segala yang dinikmati oleh mereka selama ini termasuk menjadi orang terkenal dan ternama adalah hasil perjuangan parti Melayu.


Bagaimanapun kita tidak boleh berputus asa untuk melihat penyatuan dalam kalangan orang Melayu. Berbeza fahaman politik tidak boleh selama-lamanya menjadi penghalang orang Melayu duduk semeja bagi menjaga kepentingan mereka.


Usah dipedulikan apa orang lain kata, lagipun selama ini apa yang mereka lakukan tidak pernah pula memikirkan perasaan orang Melayu.


Pemimpin-pemimpin Melayu tidak kira fahaman politik perlu ingat pesan orang tua-tua, ‘buat baik berpada-pada...’ supaya orang Melayu tidak menjadi kelompok Lebai Malang, ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’.

Dari: Zulkiflee Bakar.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik