Wednesday, September 23, 2015

MENGHAYATI WUKUF DI PADANG ARAFAH.

PADAT... Jemaah haji dari seluruh dunia kini berada di Arafah

PARA fuqaha (ahli fikah) bersepakat bahawa ibadah wukuf di Padang Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijah setiap tahun yang bermula dari waktu gelincir matahari (zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (subuh) pada hari kesepuluhnya. Ia tidak sah jika digantikan oleh orang lain.


Sesiapa yang sempat berwukuf pada waktu tersebut, dia telah memperoleh ibadat haji manakala yang tidak sempat berwukuf pasti tidak akan mendapat haji tersebut. Justeru, ibadat wukuf adalah tiang asas kepada haji dan nadinya.


Para jemaah haji akan bertemu sesama mereka di Padang Arafah untuk menunaikan ketaatan kepada Allah dan pada masa sama di samping menghadiri muktamar agung tersebut saban tahun, perhimpunan itu juga mengingatkan umat Islam bahawa mereka adalah umat yang satu, taraf mereka adalah sama sahaja di sisi Allah SWT melainkan bagi orang yang meningkatkan amalan ketakwaan dan ketaatan yang banyak kepada Allah. 


Setiap tahun umat Islam yang menghadiri perhimpunan ini akan mengingati dan merenungi pertemuan seumpamanya yang telah dihadiri sendiri oleh Baginda Rasulullah SAW di samping mengetuai dan memimpinnya. Mereka seolah-olah berada di dalam kelompok ratusan ribu para sahabat yang membanjiri Arafah untuk sama-sama menjejaki cara ibadat haji yang dikerjakan oleh Nabi SAW yang dikenali sebagai Hajjatul Wada’.


Di sanalah Allah menurunkan sebuah ayat yang menyatakan ketuanan agama Islam dan penerimaan-Nya terhadap wadah yang dibawa (al-Maidah 3). Di situlah juga Nabi SAW yang sedang menaiki unta, berdiri di antara bongkahan batu-batu besar di kaki Bukit Arrahmah memberikan peringatan, nasihat dan amanat kepada para jemaah haji ketika itu.


Baginda SAW mengajak mereka supaya berpegang kepada tali agama Allah dan menyatakan kerugian akibat perpecahan sesama sendiri, menerangkan kepada mereka tentang dasar-dasar keunggulan agama dan peranan umat yang bakal bertanggungjawab terhadap penyebaran risalah keamanan kepada sekalian manusia. Umat yang memikul tanggungjawab dan amanat tersebut telah dikurniakan dengan wahyu al-Quran yang dijamin-Nya terpelihara daripada sebarang perubahan, penambahan, kekurangan sehinggalah sampai hari kiamat.


Baginda SAW di dalam khutbahnya (pada tanggal 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah) telah menjelaskan dasar-dasar agama Islam, menghapuskan ciri-ciri kesyirikan dan jahiliah, menyatakan tentang kehormatan darah manusia, harta dan maruah mereka di samping pengharaman menumpahkan darah, merampas harta dan menjatuhkan maruah sebagaimana yang telah disepakati oleh kesemua ajaran agama langit.


Turut dijelaskan di dalam khutbahnya tentang amalan yang berhubung dengan perkara jahiliah telah dibuang dan dihapuskan. Baginda SAW juga mengharamkan dan membatalkan perbuatan riba, selain memberikan amanat dan wasiat kepada kaum lelaki (suami) supaya memelihara wanita (isteri), di samping menyatakan tanggungjawab dan hak-hak yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan mereka seperti pemberian makanan dan pakaian selain menjelaskan tanggungjawab para isteri untuk ditunaikan terhadap para suami mereka.


Nabi SAW juga memberikan amanatnya supaya semua umat berpegang teguh dengan kitab al-Quran dan menyatakan bahawa akan mereka sentiasa berada di dalam petunjuk Ilahi selagi kitab Allah itu diamalkan dan dihayati.


Antara sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya darah dan harta sesama kamu adalah mulia dan haram (dicerobohi) seperti mulianya hari ini (‘Arafah), bulan ini (Zulhijah) dan negeri ini (Mekah). Ketahuilah bahawa setiap perkara jahiliah diletakkan di bawah kakiku ini (dibatalkan). Segala tuntutan (bayaran) darah di zaman jahiliah dahulu juga dibatalkan. Tuntutan darah pertama yang dibatalkan adalah tuntutan darah anak kepada Rabi‘ah bin Al-Harith {yang telah menyusu di kampung Bani Saad yang kemudiannya dibunuh oleh Huzail}. Tuntutan terhadap harta riba di zaman jahiliah juga dibatalkan, tuntutan pertama yang dibatalkan adalah harta riba yang menjadi hak kepada Al-Abbas bin Abdul Muttalib, kesemuanya telah dibatalkan.”


Takutilah kamu kepada Allah dalam (menguruskan) para wanita (isteri), kerana kamu mengambil mereka (sebagai isteri) dengan amanah (yang diwajibkan oleh) Allah serta kamu dihalalkan untuk mereka dengan kalimah Allah (akad nikah). Adalah menjadi kewajipan mereka (wanita) tidak membenarkan sesiapa pun yang kamu tidak gemari duduk di hamparan (masuk ke rumah) kamu. Jika mereka melakukan demikian (memberi keizinan untuk orang lain) maka kamu pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Kamu hendaklah memberikan perbelanjaan rezeki dan pakaian untuk mereka dengan cara yang baik. Daku tinggalkan untuk kamu suatu perkara yang kamu tidak akan sesat sekiranya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran).”


Dengan khutbah yang amat padat itu, Baginda SAW menggariskan kepada umat Islam dasar perjalanan yang berketrampilan dan membawa kepada ketamadunan manusia yang sewajibnya diikuti dan dituruti sepenuhnya dengan rasa kemuliaan dan penuh bangga.


Ketamadunan terdahulu yang tersasar dari prinsip agama dan akhlak, menjual segala asas budi pekerti untuk dilelong di pasar-pasar perdagangan dan kilang-kilang pengeluaran bahan. Insan telah dimanupulasikan untuk menjadi ganas dan kasar, membentuk jiwa yang sentiasa menginginkan penumpahan darah dan merampas harta orang lain. Kerana itu, kemajuan setempat walaupun amat menarik dan mengagumkan pada pandangan mata, pasti tidak dapat dinikmati dalam keadaan jiwa yang tenang dan hati yang tenteram bahkan segala kegusaran dan penderitaan terus menerus menghantui minda dan jiwa raga manusia setempat.


Rasulullah SAW seolah-olah pada Hari Arafah tersebut dipertunjukkan keadaan umat mendatang setelah zaman Baginda yang berada di dalam keadaan perpecahan dan perseteruan yang amat berkecamuk. Tiada penyatuan dalam kalangan mereka, silih berganti generasi yang datang dan pergi tetapi sama tanpa penambahbaikan, permasalahan masih tidak dapat diselesaikan, kesulitan dan kecelaruan yang menimpa tiada tindakan dan kajian terperinci yang boleh mengatasinya.


Justeru, sampailah ketika dan saatnya di mana umat Islam sewajibnya menyedari dan memahami makna kefarduan haji ini yang bukan sahaja dilaksanakan melalui beberapa perkara ibadah secara praktikalnya malahan mereka sewajarnya dapat menyelami segala kemanfaatan yang dipaparkan oleh Allah menerusi rukun Islam yang kelima ini.


Sejarah umat Islam terdahulu yang amat panjang tidak pernah menyaksikan sebarang serangan musuh di dalam pelbagai situasi sepertimana yang dihadapi oleh mereka ketika ini. Seluruh kekuatan musuh dan taktik peperangan saraf telah dilancarkan demi membantutkan keserlahan umat daripada mengungguli dunia kemanusiaan.


Justeru, bagi menghadapi ancaman musuh dan mempertahankan diri serta prinsip yang teguh, umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar, membuang segala kekalutan minda, menjernihkan kembali perseteruan dan perbalahan sesama sendiri, membina kembali rasa kemuliaan diri serta menambah baik strategi dan amali demi menyelamatkan diri daripada terus berada di bawah tekanan musuh dan kata dua mereka.

Dari: Syed Nazmi Taufek.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik