Saturday, September 5, 2015

NAJIB SEDANG MENGUKUHKAN KEDUDUKAN DALAM UMNO.

Nampaknya, penguasaan Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas UMNO tetap bertahan di sebalik kekecohan politik semasa mesyuarat bahagian yang dijangka berakhir hujung minggu ini.

Meskipun ada kawasan panas dan gangguan di beberapa mesyuarat perwakilan UMNO bahagian sejak sebulan lalu, namun sebahagian besar daripada 188 bahagian meluluskan resolusi menyokong Najib dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hanya Gelang Patah di Johor secara rasmi meluluskan resolusi menggesa Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri supaya bercuti.

Gelang Patah telah menjadi lubuk tidak puas hati hingga menyaksikan kerusi Parlimen Gelang Patah jatuh kepada Lim Kit Siang.

Bahagian ini diketuai oleh Mohamad Khairi Malik yang juga setiausaha politik kepada Menteri Besar Johor.

Bagaimanapun terdapat kekeliruan dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Langkawi yang menyaksikan salah seorang perwakilannya, Anina Saadudin menjadi tajuk berita apabila menyerang Najib, sama ada telah meluluskan usul menyokong dua pemimpin atasan UMNO itu atau meminda resolusi meminta Najib untuk bercuti.

Beberapa bahagian juga meluluskan resolusi mengenai isu 1MDB.Naib Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO bBahagian Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal menafikan bahawa bahagiannya meluluskan resolusi mengecam Najib.Shafie, yang digugurkan dari Kabinet, berkata, bahagiannya menentang penangguhan pemilihan UMNO dan meluluskan usul meminta pemilihan itu diadakan seperti yang dijadualkan.

Bahagian itu juga mahu siasatan menyeluruh ke atas urusan kewangan 1MDB.

Beliau berkata, punca kenapa jemputan ke atas Najib ditarik balik bukan disebabkan beliau marah dengan presiden tetapi beliau mahu mengelak sebarang insiden pada mesyuarat perwakilan bahagian itu.

“Kira-kira 70% daripada ahli UMNO di Semporna adalah saudara mara saya. Mereka sangat kecewa dan saya bimbang mereka akan menunjukkan kekecewaan terhadap presiden,” kata Shafie.Usul utama di Pagoh, yang diketuai oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah berhubung kekecewaan kerana Muhyiddin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan. Sementara usul lain adalah mengenai 1MDB yang turut diluluskan.

Ketua UMNO Bahagian Kampar, Datuk Radzi Manan mengakui ahli UMNO amat bimbang dengan isu yang boleh memberi kesan kepada parti tetapi apa pun lembaga disiplin jua yang akan membuat keputusan akhirnya.

Tiga bahagian terakhir yang akan mengadakan mesyuarat adalah Pasir Salak pada Sabtu ini dan Pekan serta Masjid Tanah pada Ahad. Pasir Salak diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Rahman, Ketua UMNO Bahagian Pekan adalah Najib dan Masjid Tanah oleh Datuk Rauf Yusoh.

Shafie juga mengesahkan beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO minggu depan. Shafie berkata beliau tidak terjejas dengan mesej melalui SMS yang mendakwa beberapa pemimpin UMNO termasuk beliau, Muhyiddin dan Datuk Seri Muhkriz Mahathir akan dipecat dari parti.

Turut serta dalam senarai hitam itu adalah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Ketua UMNO Kulim Bandar Baru, Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak, Datuk Hamidah Osman.

Dari: Mykmu.net

 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik