Sunday, September 27, 2015

ORANG MELAYU TAK PEDULIKAN PAKAIAN TRADISI DI HARI RAYA.....

Kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak masih diselubungi jerebu. Entah bila akan berakhir. Nampaknya keadaan jerebu turut melanda fikiran orang Melayu.


Semasa umat Islam, khususnya orang Melayu berpusu-pusu ke masjid atau surau untuk mendirikan solat sunat Hari Raya Aldiladha, pelbagai ragam pakaian lelaki dapat disaksikan. Ada yang berpakaian baju Melayu lengkap, tapi lebih banyak saya lihat berpakaian baju Melayu tanpa mengenakan samping – nampak macam berbogel sahaja.


Ada juga berbaju Melayu dengan berkain palikat sahaja. Banyak juga yang langsung tak mahu memakai songkok. Mereka lebih gemar letak kopiah di atas kepala. Nasib baik tak ramai yang memakai baju kemeja atau jersi, kalau tidak sama seangkatan dengan pekerja Bangladesh.


Semasa Aidiladha kita nampak orang Melayu tak kisah pakaian tradisionalnya berbanding semasa merayakan Aidilfitri. Pada ketika itu macam ada perasaan tidak peduli tentang pakaian tradisional semasa menyambut Hari Raya Aidiladha. Yang penting pada mereka ialah asalkan ia identiti seorang Islam yang menutup kepala. Jadi dapatlah kita lihat ada yang memakai songkok, kopiah, sarban dan semutar dengan pelabagai warna dan corak.


Kenapa orang Melayu tidak mahu berpakaian baju Melayu lengkap sebagaimana dilakukan sepanjang bulan Syawal. Bukankah selepas memakai pakaian hari raya sama ada berjubah, berkain palikat, berkopiah atau semutar, bila selesai solat sunat hari raya mereka akan pulang ke rumah untuk menukar pakaian lain kerana hendak melaksanakan acara korban haiwan secara gotong-royong.


Pakai baju Melayu lengkap atau berjubah dan sebagainya tetap kena tukar pakaian selepas solat sunat itu. Jadi kenapa tak mahu mengekalkan tradisi pakaian Melayu seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sudah tentu berbeza orang, berlainan pandangannya.


Kalau begini lama kelamaan, ada orang yang tak mahu berpakaian baju Melayu lengkap lagi. Mungkin datang dengan seluar biasa dan baju-T serta memakai kopiah – ringkas sahaja. Jadi mana nikmat untuk merayakan Hari Raya Korban.


Berbeza sungguh cara kita merayakan Hari Raya Aidiladha yang disambut selama tiga hari – 10, 11 dan 12 Zulhijjah. Selepas selesai majlis korban, daging korban diagih-agihkan – yang kebanyakan tempat selesai pada hari pertama, kehidupan kembali seperti biasa.


Pada saya, suasana Hari Raya Korban jadi begini sebab pada awal-awal lagi kita sudah tetapkan minda tidak mahu berpakaian cantik dan lengkap. Kita anggap kedatangan 10 Zulhijjah sebagai hari biasa-biasa dengan acara solat sunat Aidiladha dan majlis sembelih binatang korban. Itu sahaja dan bila semua selesai, tamatlah sambutan hari raya.


Bagi kalangan orang Melayu, songkok menjadi pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri majlis rasmi seperti upacara perkahwinan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kopiah pula kian banyak dipakai orang Melayu untuk solat Jumaat, majlis agama dan sewaktu menyambut Hari Raya Korban.


Songkok dilaporkan berasal dari zaman Kerajaan Ottoman, Turki. Ia menjadi simbol identiti Islam dan menjadi popular dalam kalangan India Muslim dan kemudiannya beransur-ansur menyerap menjadi budaya di Alam Melayu menggantikan tanjak atau dastar. Apakah amalan orang Melayu sekarang yang lebih gemar memakai kopiah itu akan menukar pula peranan songkok sebagai salah satu pakaian tradisional Melayu?


Slogan "Satu Bahasa, Satu Bangsa" mungkin sudah basi untuk didengari. Tidak siapa yang peduli pada slogan yang begitu popular semasa peringkat awal kemerdekaan negara ini dahulu.


Punca impian ini tidak tercapai antaranya kerana pemimpin bukan Melayu dan ibu bapa murid sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil tidak berminat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana suasananya kurang menarik serta bimbang anak-anak mereka terpengaruh dengan adat resam orang Melayu dan agama Islam.


Akibat pemisahan mengikut aliran sekolah jenis kebangsaan dengan menggunakan bahasa pengantar yang mengikut bahasa ibunda kaum-kaum itu, kesan hubungan antara kaum kian renggang dan kita rasai bahangnya sekarang.


Silap pihak pentadbiran sekolah kebangsaan juga kerana terlalu kuat menonjolkan sikap dan fahaman agama hingga menakutkan bukan Melayu. Sebab itu masyarakat Cina dan India bermati-matian mempertahankan kewujudan sekolah jenis kebangsaan.


Tetapi sampai bila isu sistem persekolahan di Malaysia ini hendak diperkatakan. Selagi tiada kata sepakat dan hanya mementingkan kelompok kaum masing-asing sahaja, maka perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk ini tidak akan berkesudahan. Saban tahun ada perasaan syak wasangka timbul dan bermain dalam minta kaum-kaum di negara ini.


Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia termaktub perkara bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini, tetapi kenapa sukar untuk kaum bukan bumiputera untuk menerima semangat satu bahasa satu bangsa. Kita sudah ada bahasa untuk menyatukan semua kaum, tetapi sampai sekarang tak siapa yang peduli dengan bahasa Melayu. Apakah mereka tidak percaya pada bahasa Melayu atau mereka teramat benci pada perkataan 'Melayu.'


Sesungguhnya, mana-mana negara pun mahu menyatupadukan rakyatnya, kerana perpaduan adalah asas bagi menjamin kestabilan sosial, ekonomi dan politik.


Tembok perkauman mesti diruntuhkan untuk memberi laluan kepada kehidupan satu bangsa Malaysia yang lebih harmoni. Tempat terbaik untuk memulakan usaha mencambah rasa harmoni ini ialah melalui sekolah satu aliran di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.


By: Azman Anuar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik