Thursday, September 3, 2015

SEHATI SEJIWA: REALITI ATAU ASPIRASI.

SEMANGAT KEMERDEKAAN... Kanak-kanak ini bangga menyarung baju

TATKALA menyambut tarikh keramat 31 Ogos dan 16 September, timbul persoalan apakah pengisian wawasan negara kita hari ini dan selepas tahun 2020? Apakah asas kepada semangat ‘Sehati Sejiwa’ yang merentasi kaum dan geografi setelah kita bergelar negara maju, selepas era Menara Berkembar, KLIA, LRT dan MRT? 


Usai mengecap keamanan dan pembangunan kelak, apakah nadi kepada kesatuan yang kita impikan?


Di sini penulis sebagai orang muda bimbang kita masih belum merungkai persoalan tersebut. Benar, Generasi-Y membesar dalam keadaan negara sudah berada dalam situasi selesa. Ada keluhan mengapa rakyat Malaysia tidak boleh bersatu mensyukuri pencapaian lampau - tetapi hakikatnya kesatuan berlandaskan sejarah sahaja tidak memadai tanpa kesepaduan mengenai visi masa hadapan negara.


Meluaskan kanta pandang, banyak negara lain juga mempunyai generasi muda yang membesar era pasca Merdeka; tanpa melalui ‘sejarah perit’ penubuhan negara. Namun kesatuan hati dan jiwa rakyat berbilang kaum di negara jiran seperti Singapura atau Indonesia tampak lebih utuh; berpaksikan keinginan untuk melangkah senada dan seirama. 


Di negara besar seperti Amerika Syarikat, meskipun masyarakat kini tidak merasai liku-liku perjuangan kebebasan, ia tidak melunturkan identiti sejagat berasaskan nilai-nilai terkandung dalam Perlembagaan mereka. Sudah tentu, nilai mereka tidak perlu kita tiru, jauh sekali diagungkan. Namun tidak salah mengakui ia mencerminkan perpaduan yang bersifat lebih abadi. 


Pada hemat penulis, analisis ini menjadi jendela ringkas kepada dimensi baharu kepimpinan yang diperlukan di Malaysia untuk dekad-dekad mendatang. Selama ini perpaduan Malaysia berlandaskan usaha memacu keamanan dan pembangunan - kesatuan duniawi tanpa menyentuh intipati roh penyatuan kita semua. Apakah pengisian ‘Sehati Sejiwa’, yang melangkaui kemajuan dan keamanan semata-mata?


Sekiranya pengisian tersebut dizahirkan oleh Rukun Negara. mampukah anak muda hari ini melafazkannya tanpa merujuk bahagian belakang buku tulis sekolah? Seandainya ia berteraskan nilai dan prinsip yang unik kepada Malaysia, apakah nilai dan prinsip tersebut?


Yakinkah kita bahawa ia dipersetujui oleh seluruh rakyat? Bagaimana pula dengan soal bahasa, ataupun sistem pendidikan yang sehingga kini belum ada kesatuan? Natijahnya, perjuangan ini masih belum selesai.


Tiada jawapan pintas. Selaku pewaris kemerdekaan, kita wajar menginsafi bahawa tanpa menangani isu-isu fundamental ini, perpaduan kita bagai embun di hujung rumput; datang dan pergi sewaktu menonton Datuk Lee Chong Wei atau Harimau Malaya beraksi; semasa menikmati tosai, nasi lemak atau char kuay teow sahaja. 


Bangga masih bangga, kesal tetap jua - belum ada kesatuan rohaniah yang membolehkan kita melihat anak Malaysia lain tanpa curiga, percaya walau apapun agenda komunitinya, kita berkongsi visi, misi dan identiti negara yang sama.


Golongan muda khususnya yang berada dalam arena kepimpinan harus berani menyelesaikan persoalan ini dengan lebih matang. Ini bukan perjuangan mudah - malah memerlukan pengorbanan yang tinggi. 


Contohnya, jika kesatuan rohaniah menuntut sistem pendidikan satu aliran, maka percepatkan prakarsa ke arah garisan akhir tersebut; usah berselindung di sebalik sentimen politik atau persetujuan tolak ansur lama. Sekiranya ia memerlukan ketetapan ideologi ekonomi, wujudkan perbahasan agar semua memahami lantas menyakini landasan yang sama.


Seandainya kontrak sosial masih dipersoalkan, pemimpin harus meleraikan ketidakpastian melalui penerangan mahupun dasar agar tamatlah penghalang kepada semangat kebersamaan yang hakiki. 

Jika resipi kesatuan termaktub dalam Perlembagaan atau Rukun Negara, usahakan supaya setiap rakyat menghayati pengisian dokumen-dokumen ini secara ikhlas dan holistik, bukan sekadar mengambil cebisan tertentu demi kepentingan politik.


Konsep kesatuan dalam kepelbagaian itu indah, tetapi dalam soal jatidiri, kita memerlukan satu semangat kesepaduan untuk melangkah bersama. Cukuplah pencarian jawapan kepada persoalan asasi negara bangsa ini ditunda kepada generasi seterusnya.


Semangat kenegarawanan memastikan kita tidak canggung berdepan cabaran ini; bukan pendirian mendahului kepentingan eksklusif. Kita seringkali alpa memilih jangka pendek membatasi idealisme kesejagatan yang lebih murni. Apatah lagi bila saban waktu dikelilingi oleh penyokong sendiri. Tanpa kesediaan kepimpinan untuk mendalami intipati perpaduan yang lebih jitu, maka ‘Sehati Sejiwa’ cuma tinggal ungkapan semata-mata. 


Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia 2015.

Oleh: Shahril Hamdan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik