Wednesday, September 2, 2015

SEKADAR "KUDA TUNGGANGAN" DAP.

Mohamad Sabu (hadapan, tiga dari kiri) selaku pengerusi baharu

AKHIRNYA setelah digembar-gemburkan begitu hebat, maka tertubuhlah parti baharu yang digerakkan oleh para pemimpin Pas yang tewas dalam pemilihan parti tersebut pada Jun lalu.


Pada mulanya didaftarkan sebagai Parti Progresif Islam (PPI) tetapi ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan sekarang dicadangkan pula bergerak atas nama Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja). Sebelum itu penulis mendengar khabar nama yang dipilih ialah Parti Amanah Rakyat.


Parti baharu ini dicetuskan oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang tewas dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas. Beliau disokong oleh pemimpin-pemimpin yang turut menerima nasib sama ketika pemilihan lalu.


Persoalannya, apakah parti baharu yang diumumkan oleh Mat Sabu akan mewujudkan pakatan baharu dengan DAP dan PKR, dan akan menjadi jauh lebih baik daripada Pas?


Berdasarkan pengumuman Mat Sabu, ‘Parti Pekerja’ terbuka kepada semua agama dan bangsa walaupun membawa wadah Islam. Hebat sekali perancangan itu kerana kita tidak pasti wadah Islam apakah yang hendak dilaksanakan kalau semua bangsa dan kaum berada di dalamnya. Mat Sabu mendakwa perkara itu telah dipraktikkan di negara-negara lain.


Tidak mengapalah itu hujah dan alasan Mat Sabu – individu yang ‘cukup popular’ ketika perhimpunan haram Bersih baru-baru ini. Namun penulis melihat parti baharu itu tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada umat Islam, jauh sekali mampu menandingi perjuangan Islam Pas.


Sebaliknya, apa yang akan bakal kita saksikan, parti Mat Sabu akan terus menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada DAP dan PKR seperti mana dialami oleh Pas sebelum ini.


Kalau Pas yang ditubuhkan pada 1951, menguasai Kelantan sejak 1990 dan mempunyai hampir sejuta ahli pun tidak dihormati oleh DAP, apakah parti Mat Sabu yang baharu ditubuhkan dengan keahlian dianggarkan sekitar 35,000 orang akan ditatang oleh DAP?


Parti Mat Sabu akan menjadi ‘alat’ kepada DAP untuk melemahkan kekuatan politik orang Melayu khususnya di kawasan yang dikuasai oleh Pas dan UMNO. Pertandingan tiga penjuru akan berlaku, undi orang Melayu berpecah.


Pemimpin-pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bergabung dalam ‘Parti Pekerja’ tidak akan diberi laluan mudah untuk bertanding di kawasan mereka mudah menang. DAP tidak akan korbankan kubu kuat mereka, begitu juga PKR.


Sebaliknya, mereka hanya akan diperalatkan untuk meraih sokongan orang Melayu dalam pilihan raya bagi memperkukuhkan pakatan pembangkang baharu. DAP akan mencaturkan segala-galanya seperti mana yang berlaku dalam pakatan yang disertai oleh Pas sebelum ini.


Mungkin pemimpin-pemimpin GHB boleh mendabik dada kerana melakukan keberanian luar biasa untuk keluar Pas dan menyertai parti Mat Sabu, tetapi adakah dalam jangka masa panjang ia akan menguntungkan politik mereka dan kuasa politik orang Melayu?


Tetapi kita tidak perlu merasa hairan kerana sememangnya sejak berada dalam Pas lagi, pemimpin-pemimpin tersebut tidak begitu gemar dengan usaha untuk menyatukan politik orang Melayu. Sebahagian mereka yang mempunyai kedudukan dalam parti menjadikannya sebagai ‘alat’ untuk memastikan Pas mengikut segala telunjuk politik DAP.


Sebab itulah golongan ulama terpaksa bangkit dan menyingkirkan mereka dalam pemilihan Jun lalu. Ini kerana pemimpin-pemimpin Pas tidak boleh membiarkan perjuangan Islam parti itu terjejas semata-mata kerana mahu memenuhi agenda politik DAP dan PKR.


Dengan tertubuhnya parti baharu tersebut, memberi isyarat ‘sebelah tubuh’ Pas sudah ditolak daripada pakatan pembangkang sedia ada. Kehadiran Pas sudah tidak lagi diperlukan kerana parti Mat Sabu akan menggantikan mereka.


Sebelum ini, dalam beberapa kenyataan pemimpin-pemimpin utama DAP dan PKR sudah menyatakan sokongan kepada parti Mat Sabu. Mereka mahu menjalinkan kerjasama dengan parti baharu tersebut kerana itu sahaja cara boleh melunaskan agenda DAP untuk melemahkan Pas.


Oleh itu Pas tidak harus bersikap ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’, biarkan sahaja parti Mat Sabu mahu dilayan bagaikan ‘pengemis’ dalam pakatan pembangkang yang baharu, Pas ada maruah dan martabatnya sendiri.


Lagipun setakat ini sudah terbukti kehadiran parti Mat Sabu masih belum mampu menggugat kekuatan Pas. Apa yang berlaku di perhimpunan Bersih telah menjadi bukti. Kehebatan Mat Sabu luntur apabila meninggalkan Pas. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin lain, ternyata pengaruh mereka tidak sehebat mana apabila tidak lagi berada dalam Pas.


Apapun kemunculan parti baharu itu mengesahkan orang Melayu berpecah lagi. Selepas ada UMNO, Pas dan PKR, kini segelintir orang Melayu akan bergabung pula dalam parti Mat Sabu.


Bagaimanapun suatu perkara yang boleh dijangkakan, parti Mat Sabu tidak akan ke mana. Mereka akan menerima nasib seperti mana parti-parti serpihan Pas sebelum ini iaitu Berjasa, Hamim dan AKIM. Hanya hidup seketika untuk diperalatkan tetapi akhirnya hanya tinggal nama.


Tetapi ‘ketika masih hidup’ itu mereka akan diperalatkan dan perkudakan habis-habisan bagi memenuhi agenda politik DAP khususnya dalam melemahkan kekuatan Pas.


Apabila agenda itu tercapai percayalah parti yang diwujudkan semata-mata kerana kekecewaan gagal merebut jawatan tersebut akan dilayan ibarat, “adapun tak untung, tak ada pun tak rugi” – Bukankah begitu nasib Pas sebelum ini?

Dari: UM.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik