Wednesday, September 2, 2015

SETELAH MAT SABU TIADA, PAS SEWAJARNYA MEMIKIRKAN PERPADUAN UMMAH.....

Saya memerhatikan dari jauh. Segala tindak tanduk bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sering menjadi perhatian saya. Itu bukanlah bermaksud saya menjadikan beliau sebagai idola, namun kerana dialah saya menjauhkan diri dari PAS kira-kira 25 tahun yang lalu…

Ketika Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PAS, hati saya sudah terdetik bahawa PAS sedang menuju kehancuran.

Bukan saya seorang saja yang berpandangan sedemikian, namun rakan-rakan saya yang tegar bersama PAS di Kedah turut sependapat dengan saya. Kata mereka, Abang Mat hanya akan membawa PAS ke arah sosialisme dan liberalisme, sekaligus mematikan kepimpinan ulama…

Kira-kira 25 tahun lalu, saya sering dibawa arwah ayah ke ceramah-ceramah PAS. Yang paling kerap ialah ceramah Mat Sabu. Namun pertama kali saya mendengar ceramah maki hamunnya, hati saya tertutup untuk memperjuangkan PAS.

Dalam ceramah Mat Sabu itu, dia mengatakan bahawa PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam. Tapi selepas itu terbit kata-kata mencarut, maki hamun dan caci cerca terhadap saudara seagama sendiri. Sejak itu, PAS pada saya hanya sebuah parti politik biasa. Tiada yang istimewa melainkan kepura-puraan semata-mata…

Kini Mat Sabu bukan lagi pemimpin PAS. Malah dia kini bukan lagi ahli PAS. Turut diheret bersamanya adalah beberapa kerat pemimpin PAS yang kecewa akibat kalah bertanding jawatan di dalam parti.

Pada saya, golongan tersebut tiada apa yang berkualiti dalam perjuangan mereka melainkan perjuangan untuk mendapatkan jawatan. Apabila kalah bertanding dan gagal mendapat jawatan, mereka kecewa, memprotes, menghentam dan menghina, serta akhirnya keluar parti.

Benarlah bagai dikata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS berlapang dada bila “syaitan dalam jemaah” dan konco-konconya itu bertindak keluar dari parti. Tindakan itu adalah satu gerakan “pembersihan” di dalam PAS. Saya setuju.

Pun begitu, saya masih enggan menyokong PAS kerana parti itu masih lagi menyumbang kepada pepecahan di kalangan umat Islam di negara kita.

Sebagai sebuah parti yang kononnya mendaulatkan Islam sebagai wadah perjuangan, mereka perlu berusaha menyatu padukan umat Islam di Malaysia, bukan dengan bermufaraqah mencipta ideologi dan fahaman yang memecah-belahkan ummah.

Saya tidak menyatakan bahawa UMNO itu sempurna sebagai parti politik. Namun sekurang-kurangnya, UMNO masih lagi mengutamakan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan tanahair yang pernah bergelar Persekutuan Tanah Melayu ini.

Malah dari sudut teknikal siyasah negara, UMNO sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional (BN), masih lagi merupakan parti dominan yang tradisinya mengetuai barisan kepimpinan kerajaan berbanding parti komponen yang lain.

Itu adalah berbeza dengan kedudukan PAS di dalam Pakatan Haram sebelum ini yang sanggup meletakkan diri sehina “keldai tunggangan”, diperkotak-katikkan DAP dan PKR sewenang-wenangnya sehingga berlaku pepecahan dalaman PAS yang sangat dahsyat.

Lagipun, dengan pendirian PAS yang kini bergerak secara solo, mungkin agak berkesan dari sudut “check and balance” di Dewan Rakyat mahupun DUN. Namun untuk membentuk dasar atau mentadbir, itu adalah agak mustahil buat masa ini.

Sekiranya PAS benar-benar bijak, mereka akan bertindak mufaraqah secara total dengan DAP mahupun PKR.

Sebagai contoh, PAS perlu menarik diri dari membentuk kerajaan negeri di Selangor dan bertindak meletak jawatan dari sebarang jawatan di dalam kerajaan negeri itu. Seterusnya, ia akan menyebabkan kerajaan “boneka” DAP itu lumpuh dan tidak layak lagi menjadi kerajaan.

Seterusnya, PAS boleh berkompromi dengan UMNO atau BN di Selangor dan membentuk kerajaan campuran di negeri itu. Ia sekurang-kurangnya memberi kelebihan kepada PAS untuk dilihat sebagai satu gerakan menyatu-padukan dua parti terbesar Melayu Islam walaupun tidak secara total.

Saya tidak memaksa PAS untuk menerima cadangan saya itu. Terserahlah untuk menerimanya atau tidak. Namun seikhlas hati saya, mungkin itulah pengorbanan yang dituntut oleh agama Islam dalam hal ehwal siyasah, sejajar dengan semangat “Tahaluf Siyasi” yang sebenar.

Bagaimanapun, ia terletak pada keikhlasan hati PAS. Pada pandangan saya, UMNO atau BN berkemungkinan besar akan berlapang dada menerima konsep kerajaan campuran dengan PAS. Setahu saya, sudah lama umat Islam di negara ini nantikan detik-detik itu, kan? Wallahu’alam.

 Dari: Mykmu.net.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik