Tuesday, September 1, 2015

TOLONG JANGAN HENTAM CHE DET, BELIAU TAK MUDAH LUPA,


Sugul sungguh rasanya bila Tun M yang penulis sayangi dikritik hebat, dikecam dan disindir bertalu-talu oleh pemimpin, ahli dan penyokong institusi UMNO sejak beliau menampakkan kelibat dirinya dalam himpunan demonstrasi jalanan Bersih 4 baru-baru ini.

Penulis amat berdukacita dengan kutukan-kutukan itu. Apakah mereka tidak tahu bahawa Tun M itu telah mencapai tahap ‘wali’ dan ‘nabi’? Tahukah kalian bahawa beliau itu sama taraf ‘maksum’? Tahukah kalian bahawa segala yang terbit dari mulutnya itu adalah ‘fatwa’ yang ‘wajib’ diikut dan ‘berdosa’ jika tidak ditaati?

Ketahuilah bahawa Tun M itulah ‘keramat hidup’ yang perlu diikut segala perintahnya. Walau berpandukan pada ‘kitab WSJ’ yang pernah beliau kutuk dulu, segala ‘fatwa’ darinya perlulah disokong dan dituruti tanpa sebarang soal jawab. Segalanya ‘benar’, tiada yang ‘tidak benar’ melainkan yang ‘benar-benar’ belaka.

Penulis dari ‘sejak dalam perut’ sememangnya ‘taat’ pada perintah dan kehendak Tun M. Jika tidak, penulis akan dituduh sebagai ‘derhaka’, ‘pengkhianat’ agama, bangsa, negara dan UMNO…

Menurut seorang rakan penulis pula, Tun M ketika berjawatan Perdana Menteri, ‘tidak ada’ seorang pun yang pernah mendesak beliau meletak jawatan. Malah ‘tidak ada’ seorang pun yang berani mencabar beliau sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri meskipun Tengku Razaliegh Hamzah mahupun Tun Salleh Abbas.

Tun M katanya ‘tidak pernah’ pun memecat, menjatuhkan atau menggugurkan sesiapa dalam barisan kabinet kerajaan yang beliau ketuai selama 22 tahun dulu. Malah beliau ‘tidak pernah’ pun mencantas, mengatur, mencatur atau membenam sesiapa ketika beliau menjadi Presiden UMNO atau mendaki kerusi tertinggi parti itu.

Lebih ‘menakjubkan’ penulis, Tun M dikatakan ‘tidak pernah’ terbabit dalam sebarang skandal politik, skandal kewangan mahupu apa jua jenis skandal dalam pemerintahannya yang ‘maha hebat’ yang lebih hebat dari Firaun. Malah dia “tidak’ memiliki sebarang kroni, ‘tidak kenal’ Ananda Krishnan, Robert Kuok, Francis Yeoh, Vincent Tan, dan ramai lagi taikun-taikun Cina yang ‘miskin-miskin’ belaka itu.

Untuk pengetahuan rakyat, Tun M juga dikatakan ‘tidak pernah’ menerima sebarang dana politik, sumbangan mahupun derma perjuangan ketika beliau menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri dulu. Khabarnya, semua kos politik beliau dulu adalah dari sumber poketnya sendiri atau duit gaji bulanannya sebagai Ahli Parlimen, Perdana Menteri dan ‘elaun ehsan’ selaku Presiden UMNO.

Sesungguhnya menurut sesetengah pendapat, di dalam ramai-ramai ahli politik sejak mula terciptanya istilah politik oleh Aristotle dulu, tiada ahli politik yang ‘sesuci’ Tun M. “Suci’nya beliau bagaikan embun pagi yang belum tercemar oleh apa-apa unsur yang mengotorkan. Maka tidak hairanlah beliau menyertai Bersih 4…

Penulis amat ‘kecewa’ bila ramai yang mengecam Tun M. Sampainya hati mereka menuduh Tun M dengan kenyataan yang ‘mengguris hati’ penulis. Tergamak mereka menuduh insan ‘maksum’ itu dengan kenyataan yang ‘tidak patut’?

Tahukah mereka siapa Tun M? Tahukah mereka bahawa Tun M itu seorang yang ‘amat berkuasa’? Selama ini, beliaulah ‘pencatur’. Dulu ketika Pak Lah naik jadi Perdana Menteri, beliaulah yang ‘mencatur’. Khabarnya, ‘geng tingkat 4’ itu juga beliau yang ‘catur’kan, dan beliaulah juga yang ‘mencatur’ Pak Lah turun. Tidak pasti sama ada dakwaan ini benar atau tidak, tapi benarkah kononnya beliau yang mencatur Obama jadi Presiden US?

Penulis ‘sedih’ bila Tun M diperkatakan sebegini rupa. Tolonglah jaga nama baik anaknya di utara Semenanjung. Janganlah dikutuk bapanya itu. Bapanya banyak berjasa pada negara. Kalau ‘tidak’ kerana bapanya, tidak merdekalah Persekutuan Tanah Melayu. Jika ‘tidak’kerana Tun M, tidak lahirlah Petronas…

Akhir kalam, penulis ‘merayu’ pada semua, tolonglah ‘sokong’ Tun M. Kerana jasa beliau selama 22 tahun dulu, kita perlu taat dan sokong beliau walau pun beliau tersalah langkah. Beliau dipihak yang ‘benar’, tiada yang ‘benar’ melainkan yang ‘benar-benar’ belaka. ‘Majulah Bersih 4 untuk Tun M’…

Dari: Mykmu.net


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik