Thursday, October 1, 2015

FENOMENA PENYALINAPAN AGENDA DAPISME DALAM PENUBUHAN PARTI POLITIK BARU.....

dapisme4


Deutsche Arbeiterpartei (DAP) merupakan nama bagi Parti Pekerja Jerman yang mengawali penubuhan Parti Nazi Hitler. Hitler menjadi anggota kepada parti ini pada tahun 1919. Parti tersebut diasaskan pada 5 Januari 1919 di sebuah hotel bernama “Fürstenfelder Hof”.

Democratic Action Party (DAP) Malaysia ditubuhkan pada 11 Oktober 1965 sebagai satu pecahan daripada People’s Action Party (PAP) Singapura. Menurut Wikipedia, parti DAP ini mempelopori gagasan sosialisme demokrasi, demokrasi sosial dan sekularisme. (Nota: perkataan “sekularisme” telah ditiadakan di dalam laman web rasmi DAP)”.

DAP juga merupakan ahli kepada Socialist International yang berorientasikan ideologi Sosialisme.

Parti Pekerja-Pekerja Malaysia (Malaysian Workers’ Party) merupakan parti politik berhaluan kiri yang memperjuangkan Sosialisme. Parti ini diasaskan oleh Ganga Nayar pada bulan Januari 1978. Parti tersebut telah bertanding di dalam Pilihan Raya Umum tahun 1978 dalam Parlimen dan DUN Sungai Besi, tetapi calon tunggalnya iaitu Ganga Nayar sendiri hilang wang deposit di kedua-dua tempat. Parti ini telah diambilalih oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) sebelum ditukar menjadi Parti Amanah Negara (PAN).

Perbezaan antara ketiga-tiga parti politik tersebut adalah PAN kini menonjolkan apa yang mereka dakwa sebagai “agenda Islam” yang berbeza sama sekali dengan agenda Islam di dalam perjuangan parti PAS.

Di sinilah ketaranya agenda DAPisme beraksi.

Antara yang menjadi fokus agenda DAPisme adalah:

Isu-isu yang melibatkan agama Islam. Ini termasuklah peruntukan-peruntukan bagi melindungi dan memelihara Islam di dalam Perlembagaan, institusi-institusi dan agensi-agensi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Masjid, Mahkamah Syariah dan pertubuhan-pertubuhan atau NGO-NGO Islam (termasuk parti politik Islam juga).

Mereka akan mencari (atau mencipta) apa sahaja alasan atau topik untuk disensasikan agar perhatian tertumpu kepada pihak-pihak di atas tapi dari sudut pandang yang negatif. Dalam percubaan untuk menguasai Perang Persepsi (War Of Perception) ini, ribuan bala tentera maya (cybertroopers – baik Kacang Merah atau Oren), portal dan aplikasi media – Twitter, Facebook, Whatsapp, Telegram, Firechat dan seumpamanya, akhbar bercetak, forum, seminar, simposium, ceramah, kenyataan, ucapam, komen dan kritikan … semuanya dimobilisasikan.

Tujuannya hanya satu – supaya kesemua institusi di atas dapat dimomokkan, ditohmah atau difitnah tanpa tanggungjawab dan dengan begitu angkuh sekali.

DAPisme juga mendapat dukungan yang kuat daripada penggerak-penggerak ideologi Liberal yang membawa bersama mereka pseudo-ideologi seperti Kebebasan Bersuara, Amalan Demokrasi, Hak Asasi Manusia, Gerakan Pembebasan Wanita, Sivil Society dan seumpamanya.

Sangat jarang sekali agenda kumpulan-kumpulan ini saling bertentangan antara satu sama lain. Agenda yang sama tetapi diperjuangkan melalui strategi-strategi yang berlainan. “Perjuangan” LGBT adalah satu contoh klasik.

Di samping itu, DAPisme mendapat tapak baru untuk berkembang, iaitu melalui penubuhan parti politik baru yang terpaksa menggunakan nama “Islam” sebagai satu celupan yang diharap dapat diterima oleh masyarakat Islam dan para pengundi. Ini adalah tapak yang sangat subur sebenarnya.

Ini kerana parti politik baru ini senang dipengaruhi dan dibentuk acuannya. Sebab itu penubuhan parti baru ini mendapat sambutan dan restu segera daripada parti DAP (dengan melihat kepada beberapa kenyataan pimpinan parti sosialis sekular tersebut). Gagasan mengenai Islam versi “baru” (distinctive) daripada agenda perjuangan parti PAS misalnya membuka ruang kepada versi Islam yang serba sejahtera, harmonis, penyayang, rahmah, akomodatif, inklusif dan tidak bersifat konfrontasi.

DAP sangat beruntung kerana ada pihak lain yang akan segera tampil untuk mempertahankannya daripada serangan umat Islam sendiri. Dari sudut yang lain, dua kumpulan umat Islam akan dibiarkan bertempur sesama sendiri khususnya dalam medan hujah-hujah ugama manakala DAP akan balik ke rumah sambil memegang piala kemenangan!

Seolah-olah mempertahankan DAP dan agendanya sudah menjadi satu kewajipan Syara’ pula.

Ini semua adalah ramuan dalam satu resipi Islam yang tidak akan melawan agenda DAP. Ia merupakan “window of opportunity” kepada parti DAP untuk mendapat satu rakan sekutu baru yang lemah dan tidak dominan untuk menjadi perisai di hadapan fokus serangan terhadap DAP.

Untuk tujuan tersebut, parti rasis DAP ini terpaksa membuka peluang kepada kemasukan tokoh-tokoh atau individu-individu Melayu ke dalam parti tetapi TIDAK akan diberi jawatan-jawatan utama atau eksekutif kepada mereka. Warna dan celupan parti rasis ini tidak akan berubah sedikitpun dengan kemasukan ahli-ahli daripada etnik lain, malah mereka diharapkan dapat membantu DAP memenangi lebih banyak kerusi dalam kawasan-kawasan kritikal parti PAS (atau undi Melayu) semasa pilihan raya umum nanti.

Umat Islam merasa pelik dan terkejut apabila ada parti politik baru yang ingin meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya begitu mudah sekali membiarkan dirinya terjerat dalam perangkap samar perancangan DAPisme ini. Akan tetapi tidak menghairankan juga apabila parti ini tidak sensitif terhadap apa yang menjadi kerisauan dan kebimbangan umat Islam apabila, di atas nama eksklusiviti dan Rahmatan Lil Alamin, gejala dan pengaruh Syi’ah dan Liberal contohnya dibiarkan bertapak di dalamnya.

Sekiranya parti tersebut merasakan bahawa ia kononnya dapat membendung pengaruh daripada ideologi-ideologi asing ini daripada merebak ke dalam parti dan merosakkan dasar Islam yang ingin dibawanya, maka mereka telah silap besar. Lebih memeranjatkan lagi, apabila terdapat sebilangan ahli dan penyokong mereka dengan yakin sekali cuba mempertahankan ideologi-ideologi asing ini dengan membawa nas dan dalil secara selektif pula.

Tindakan dan pendirian seperti ini hanya mengelirukan masyarakat Islam sahaja dan berkemungkinan besar akan bertukar menjadi senjata makan tuan dalam jangka masa panjang.

Justeru, pujian harus diberikan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pahang di atas ketegasan mempertahankan teks khutbah Aidil Adha baru-baru ini. Ini merupakan satu langkah berani yang patut dicontohi oleh semua negeri, termasuk di negeri-negeri yang dikuasai oleh DAP secara khususnya. Ini kerana institusi masjid adalah forum yang tepat untuk menyedarkan masyarakat Islam mengenai isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan Islam dan masa depan umatnya, termasuk mendedahkan segala agenda dan perancangan musuh Islam.

Sebaliknya, para pemimpin parti baru tersebut diingatkan supaya jangan menjadikan agenda umat Islam sebagai satu komoditi yang boleh diurusniagakan di dalam pasaran politik yang tidak menentu. Hak anda semua untuk berparti dan berpolitik sudah tentu dijamin oleh Perlembagaan. Tidak ada isu dalam sudut ini. Bagaimanapun, ia bukanlah satu tiket untuk anda semua berwewenang dalam mentafsirkan Islam dari konteks dan kaca mata perjuangan politik caca marba anda.

Inilah yang dikehendaki daripada agenda DAPisme yang dikhuatiri telah menyelinap masuk ke dalam parti anda.

Sebagaimana umat Islam telah mula sedar untuk menolak parti DAP yang rasis dan sekular itu, maka umat Islam juga akan menolak mana-mana pihak yang bersekutu atau bersekongkol dengan parti yang membawa agenda musuh Islam.

Tidakkah anda mahu sedar dan insaf?

By: Muhammad Luttfi Abdul Khalid.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik