Saturday, October 3, 2015

PELARIAN: DUNIA ARAB BUKAN LAGI PUSAT KETAMADUNAN MANUSIA.


Saya telahpun membangkitkan persoalan di ruangan ini beberapa minggu yang lalu tentang mengapakah orang Islam Syria lari ke negara Eropah dan tidak ke Arab Saudi di mana terletak Mekah yang dianggap sebagai pintu syurga, sedangkan Eropah dianggap sebagai pintu neraka.

Saya membangkitkannya setelah mendengar khutbah Jumaat yang mensifatkan Eropah sebagai musuh Islam yang menyebabkan saya tertanya pada suatu pagi kenapa orang Syria menyabung nyawa lari ke Eropah.

Apakah ini menggambarkan musuh Islam adalah orang Islam sendiri dan orang Islam sendiri tidak senang lagi dengan negara-negara Islam.

Sultan Perak, Raja Nazrin Muizzuddin Shah telah membangkitkan pekara yang sama dalam ucapannya di Sidang kemuncak Pemimpin-pemimpin Universiti Negara Islam Dunia di Putrajaya baru-baru ini berasaskan kenyataan seorang pelarian Syria, bahawa mereka akan memberitahu anak-anak mereka, bahawa pelarian Syria lari ke negara Eropah sedangkan Mekah dan bumi Islam lebih hampir dengan mereka.

Kenyataan seorang pelarian Syria yang menyamakan Canselor Jerman, Angela Merkel dengan pemimpin Habsah, Raja Negus yang terkenal sebagai pelindung umat Islam semasa hijrah Nabi Muhamamad SAW telah menyentuh perasaan Raja Nazrin.

Raja Nazrin mahu umat Islam menangani isu pelarian Syria dengan lebih baik dan tentunya dengan menganalisinya secara positif.

Pertanyaan saya tentang mengapakah hal itu berlaku telah disanggah oleh seorang yang pro Arab Saudi dengan mendakwa Arab Saudi juga memberikan perlindungan kepada orang Syria sejak sekian lama tetapi tidak dibesar-besarkan oleh media Barat dan juga difitnah oleh Iran.

Kita harus sedar, bahawa negara-negara Eropah menjadi pusat tumpuan orang Islam termasuk dari Malaysia selain dari kerana kemakmuran dan keselamatannya disana juga pusat segala ilmu yang mencipta sejarah pemodenan dan penciptaan sejarah-sejarah baru dalam keupayaan akal manusia bila bebas digunakan sepenuhnya.

Mekah dan negara-negara Arab lain, bukanlah lagi pusat ilmu sezaman, kecuali untuk mendalamkan ilmu agama.

Dari pembacaan saya sekian lama, kemunduran ilmu di negara-negara Islam Arab adalah oleh kerana para akademik Islam terkemuka dan terbuka (ulama-ulama) dan bijak pandai yang progresif dan dinamik telah melarikan diri oleh  kerana ditekan dan dikafirkan oleh ulama-ulama taksub yang menjadi ulama-ulama Istana.

Bagaimanapun pelarian beramai-ramai orang Islam ke Eropah ada baiknya untuk kepentingan perkembangan Islam dan ekonomi Islam jika mereka bersikap persabahatan dan bukan menjadikan orang-orang Eropah sebagai musuh. Sikap Yahudi dalam hal ini sehingga membolehkan mereka menguasai Barat khususnya Amerika Syarikat harus dijadikan pelajaran.

Sikap persabahatan dan kebijaksanaan dalam hal ini telah ditunjukkan oleh  pemimpin-pemimpin Melayu dan generasi Melayu terdahulu yang mendapat pendidikan Barat. Contoh utama ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail  dan ramai terpelajar Melayu yang pernah belajar di UK yang menyebabkan orang Melayu di sayangi oleh orang-orang Inggeris.

Mereka juga memanfaatkan kepakaran Inggeris sehingga selepas merdeka dengan mengekalkan pegawai-pegawai tinggi Inggeris untuk membantu negara dari segi pentadbiran, pembangunan, keselamatan dan perekonomian.

Bagaimanapun generasi baru Melyu tidak bergaul dengan orang Inggeris seperti generasi Melayu sebelum merdeka oleh kerana pemikiran negatif dan jumud terhadap Barat telah ditanam sebelum mereka ke Eropah.

Di samping itu, sikap orang-orang Inggeris di UK terhadap orang asing juga telah berubah kerana masaalah yang mereka hadapi dari pendatang seperti masalah yang kita hadapi di Malaysia. Mereka yang kita anggap sebagai sedarah sedaging menjadi perompak dan penyamun di negara kita di samping yang berkerja dengan baik menyebabkan kita hilang perasaan sentimental.

Pembacaan dan juga pengalaman saya menyakinkan saya bahawa orang-orang Inggeris sangat senang dengan orang Melayu, kerana sikap mereka yang lemah lembut, jujur dan tidak kasar malah mereka menganggap orang Melayu sebagai Gentelman Of  The East.

Terserahlah kepada kita untuk berfikir, adakah kita hendak memandang Eropah sebagai pusat segala kejahatan dan maksiat atau pintu ke neraka atau menghadapi realiti secara positif dan bahawa Eropah sekarang adalah pusat segala keilmuan, peradaban dan kemanusiaan (Kebinatangan mereka tersembunyi dengan bijak dan halus).

Dari segi perwatakan dan ke Islaman yang tidak ke Araban, orang Melayu mempunyai kualiti diri, imej dan keupayaan bagi menggambarkan Islam sebagai agama persaudaraan, tetapi saya amat bimbang dengan kecendorongan orang Melayu untuk menggambarkan diri mereka sebagai ke Araban dan bukan ke Melayuan dan ke Islamanan sebenar.

Dalam hal ini para ustaz dan ustazah, alim ulama kita terutama yang berceramah di TV, berhentilah dari menggambarkan Barat sebagai musuh Islam kerana sebenarnya ketamadunan Islam sekarang bergantung kepada keupayaan orang Islam untuk menimba ilmu dari Barat dan menyesuaikan diri dengan Barat.

Negara-negara Arab bukanlah lagi pusat ilmu, malah Bahasa Arab sendiri adalah bahasa yang telah beku dan jumud dari segi ilmu, kecuali dari segi keagamaan.Yang tinggal hanya kegemilangan zaman silamnya.
Dari: Zamkata.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik