Sunday, October 4, 2015

UMAT MELAYU SEDANG DIUJI.



APAKAH nasib orang Melayu jika mereka terus berpecah-belah? Bagaimana pula dengan soal perpaduan rakyat Malaysia jika sikap tidak menjaga sensitiviti antara kaum terus dibiarkan berleluasa?

Itulah persoalan yang ditimbulkan oleh Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di kediaman beliau di Bukit Katil, Melaka, kelmarin.


Sememangnya situasi politik semasa menyaksikan sudah ada keberanian luar biasa oleh pihak tertentu untuk mencabar orang Melayu sehingga memaksa pertubuhan seperti Pesaka tidak lagi boleh berdiam diri.


Bagi Mohd.Ali, segala-galanya berlaku kerana orang Melayu berpecah-belah dan keadaan itu menyebabkan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk melaksanakan agenda politik mereka.


“Orang Melayu berpecah-belah kerana kepentingan politik, sebab itulah kita lihat kalau orang Melayu dihina, Islam dihina tidak semua orang Melayu bangkit mempertahankan, malah ada kalangan orang Melayu memperlekehkan pula sebarang usaha mana-mana pihak untuk mempertahankan maruah dan martabat orang Melayu,” kata beliau.


Kenyataan itu merujuk kepada sikap sesetengah pemimpin politik Melayu yang terlalu takut apabila berlaku Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 16 September lalu. Mereka bimbang akan mencetuskan konflik perkauman kerana himpunan itu disertai keseluruhan orang Melayu.


“Kenapa perlu takut? Perbuatan kelompok tertentu memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan budaya orang Melayu. Begitu juga apabila orang hendak menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, takkanlah kita hendak membiarkan sahaja,” tegas Mohd.Ali.


Walaupun mengetuai Himpunan Rakyat Bersatu namun Mohd.Ali bukanlah seorang pemimpin yang taksub kepada demonstrasi. Bagi beliau, demonstrasi adalah langkah terakhir selepas melihat kebiadaban dan perbuatan melampau sesetengah pihak yang tidak tahu menghormati sensitiviti orang Melayu dan berpolitik secara tidak bermoral.


“Kenapa perlu ada demonstrasi Bersih yang jelas-jelas bertujuan menjatuhkan kerajaan? Sebuah negara aman hanya boleh dicipta jika kita memilih kerajaan melalui sistem demokrasi iaitu melalui pilihan raya bukan melalui demonstrasi. Bukan bila kita suka, kita adakan demonstrasi jatuhkan kerajaan sedia ada dan wujudkan kerajaan baharu.


“Kalaulah mana-mana pihak termasuklah pakatan pembangkang merasakan itu caranya, kita juga boleh berbuat demikian terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Kerajaan Selangor. Di kedua-dua negeri itu pun banyak isu tetapi apakah itu cara terbaik bagi menyelesaikan masalah?” tanya Mohd.Ali.


Justeru Mohd.Ali dengan tegas menyatakan, demonstrasi bukanlah cara terbaik bagi menggantikan mana-mana kerajaan kerana cara itu hanya akan menyebabkan negara terus berada dalam keadaan tidak stabil apabila satu demi satu demonstrasi diadakan oleh pihak yang menyokong dan menentang.

“Bayangkan dalam tempoh lima tahun pemerintahan ada enam kali demonstrasi menjatuhkan kerajaan, kalau begitu bila masa kita hendak bekerja untuk membina negara dan sudah tentu perpaduan akan lebih renggang terutamanya dalam kalangan orang Melayu,” katanya.


Mungkin atas faktor itu jugalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua demonstrasi jalanan dihentikan. Mengulas gesaan itu, Mohd. Ali berkata: “Memang kita tidak dapat buat perhimpunan, yang buat perhimpunan haram ialah Bersih sudah empat kali mereka berhimpun.


“Dalam perhimpunan itu mereka menghina pemimpin, hina Rukun Negara dan hina Perlembagaan negara, jadi kita rasa tercabar. Di mana kita hendak luahkan perasaan?

Laporan polis dah puas kita buat. Kita pun ada perasaan. Sebab itulah kita memilih untuk mengadakan demonstrasi yang dibenarkan oleh kerajaan,” katanya.


Bagi Mohd.Ali, demonstrasi tidak salah jika mengikut apa yang sudah termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, tetapi masalahnya tegas beliau peruntukan itu sudah disalahgunakan oleh pembangkang dan Bersih yang disokong oleh DAP.


Namun begitu sebagai seorang pemimpin Melayu dan berpengalaman luas dalam politik khususnya di peringkat akar umbi, Mohd. Ali melihat apa yang berlaku disebabkan orang Melayu berpecah-belah dan tiada tindakan tegas dari segi undang-undang terhadap perbuatan yang dilihat menghina orang Melayu dan Islam.


“Kelompok tersebut ‘naik muka’ kerana mereka melihat orang Melayu berpecah dan apabila ada orang menghina institusi Melayu mereka terlepas daripada pendakwaan. Ini menggambarkan undang-undang kita tidak digunakan dengan berkesan. Oleh itu apa yang mereka lakukan sekarang ialah menguji undang-undang negara,” tegasnya.


Mohd. Ali membuat rumusan itu kerana bagi beliau puak-puak yang cuba mengganggu-gugat orang Melayu dan institusi Melayu serta agama Islam ingin melihat sejauh manakah undang-undang negara ini boleh digunakan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.


“Saya fikir mereka cuba sedikit demi sedikit undang-undang negara dan bila mereka lepas sikit mereka buat lagi. Dulu mana ada orang berani hina Melayu, sekarang ini mereka dah berani kerana orang yang menghina itu tidak masuk penjara termasuklah orang yang pijak gambar pemimpin Melayu. Tetapi saya percaya kalau individu yang terlibat dihukum sudah pasti semua pihak akan akur terhadap undang-undang,” katanya.


Bagaimanapun Mohd. Ali menganggap apa yang berlaku adalah ujian dan cabaran kepada orang Melayu. Mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berpegang kepada nilai-nilai murni sebagai rakyat yang berada dalam sebuah negara majmuk.


“Kita sedang diuji ketika ini sama ada kita akan mampu bertahan atau tidak, bergantung sejauh manakah kita berusaha memperkukuhkan ukhuwah Islamiah sesama kita. Kalau ada dalam kalangan orang Melayu masih leka dan lebih mementingkan keuntungan politik semata-mata sehingga sanggup bersekongkol dengan puak lain bagi menjatuhkan kepemimpinan negara melalui cara tidak sewajarnya, percayalah orang Melayu kehilangan segala-galanya suatu hari nanti. Ketika itu, kita menyesal pun tidak berguna lagi,” kata Mohd. Ali mengakhiri pertemuan lebih sejam tersebut.

By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik