Wednesday, November 4, 2015

BEZA HATI BUDI DAN POLITIK ANTARA DAP DENGAN PAS.

pas_dap.jpg

DAP tidak kira PAS masih mahu berperanan sebagai pembangkang dalam politik Malaysia. Bagi DAP yang penting, jika PAS tidak bersama Pakatan Harapan ia tetap musuh.
 
Oleh itu, bila bermusuh, DAP tetap berazam melemah dan memusnahkan kedudukan politik PAS. Hatta, ia tidak kekok untuk mengumumkan kesediaan untuk merampas lapan kerusi PAS di Selangor dalam PRU 14 kelak.
 
Sesungguhnya ini bukanlah sekadar satu gertakan politik tetapi DAP benar-benar yakin ia mempunyai pengaruh dan kudrat untuk menawan kelapan-lapan kerusi berkenaan. 
 
Lapan kerusi dewan undangan negeri Selangor dikuasai oleh PAS itu boleh ditawan oleh DAP, kata Pengerusi DAP Selangor Tony Pua.
 
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, jika pertandingan tiga penjuru di antara PAS, DAP dan BN berlaku di lapan kerusi negeri berkenaan pada pilihan raya umum akan datang, DAP boleh muncul pemenang.
 
Lapan kerusi dimaksudkan oleh Pua itu adalah Seri Serdang, Dusun Tua, Taman Templer, Tanjong Sepat, Chempaka, Lembah Jaya, Paya Jaras and Meru.
 
Tony menegaskan bahawa perisytiharan itu bukan bermakna kerusi berkenaan mesti ditandingi oleh DAP kerana keputusan muktamad sama ada calon DAP, PKR atau Amanah yang dipilih akan diputuskan mesyuarat Pakatan Harapan.
 
DAP mahu buktikan PAS parti lemah
 
Bagi DAP yang lebih utama ialah untuk menekankan hakikat bahawa pengaruh politik PAS di Selangor dan juga banyak kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di luar negeri itu sebenarnya lemah tanpa Pakatan Harapan. 
 
Justeru itu DAP menyerlahkan doktrin politiknya sebenar – if you are not with with us then you are against us (jika kamu tidak bersama kami bererti kamu memusuhi kami!)
 
Ungkapan ini pernah diluahkan oleh bekas presiden Amerika Syarikat, George Bush sebagai rentetan peristiwa pemusnahan Pusat Dagangan Dunia di New York dan sempena perisytiharan perang terhadap pengganas antarabangsa. 
 
Bagi Bush mana-mana negara yang tidak menyokong kempen anti-keganasan itu, dianggap memusuhi Amerika Syarikat dan kepentingannya. Justeru setiap negara perlu buat pilihan – sokong Amerika Syarikat atau pengganas. 
 
Demikian juga doktrin politik DAP yang diutarakan oleh Tony Pua dan mendapat sokongan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng. Tidak bersama Pakatan Rakyat bererti musuh bagi DAP.
 
Di peringkat ini, kempen DAP ialah meremehkan imej PAS dan mendedahkan kelemahannya yang dianggapnya masih bergantung pada DAP dan PKR ketika menawan kelapan-lapan kerusi berkenaan.
 
“Kami akan melakukan segala persiapan diperlukan bagi membolehkan kami bertanding di kerusi-kerusi berkenaan, bermula dengan Taman Templer.
 
“Sebagai langkah pertama, kami sudah melantik Edry Faizal sebagai penyelaras yang akan membuka jalan bagi membolehkan DAP bertanding di situ.
 
“Bagaimanapun, sama ada kita akan bertanding di kerusi berkenaan akan dibincangkan di mesyuarat Pakatan Harapan (HP) Selangor, jadi ia masih boleh dirunding,” katanya dalam sidang media minggu lalu.
 
Bagaimanapun PAS nampaknya tetap tidak hilang fokus. Ia masih mahu menjadi pembangkang yang budiman dan bertanggungjawab. Yang ditekankan ialah, soal bergabung dengan Umno “adalah jauh panggang dari api.”
 
Sikap DAP kuat berdendam. Tidak dapat tanduk, telinga dipulas. Demikian dilakukannya terhadap PKR. Apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali masih lagi mahu mengekalkan gabungan PKR, DAP dan PAS di Selangor, Azmin juga digertaknya.
 
Kononnya dari suara akar umbi, DAP menyarankan supaya Azmin menggugurkan perwakilan PAS dalam kerajaan Selangor yang dipimpinnya atau, DAP sendiri akan keluar dari kerajaan tiga parti itu. 
 
Demikian hatibudi DAP; atau lebih tepat lagi, sikap hati kering DAP dalam politik. Setakat ini PKR cuba ‘meremehkan’ gelagat politik itu dengan alasan kononnya itu bukan suara hati pimpinan DAP, ia cuma pemikiran Tony Pua.
 
PAS tidak mudah melatah dengan ugutan DAP
 
Yang pentingnya pendirian PAS tidak berubah. Bagi PAS berpolitik untuk mencari redha Allah, memperbaiki kebajikan ummah dan menentang kezaliman. Justeru tidak perlulah PAS bersikap zalim terhadap politik kejam DAP.
 
Sebab itu PAS berkecuali daripada rakan pembangkang lain yang bercadang menolak usul Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober lalu.
 
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kesemua ahli parlimen PAS sebulat suara bersetuju dengan langkah itu.
 
"Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi pembangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.
 
“Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan  bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016,” kata Hadi. 
 
Hadi berkata, PAS bersedia menjadi “penasihat” kepada Umno sekiranya parti Melayu itu merubah dasar perjuangan mereka.
 
“PAS sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya Umno ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita akan ambil pendekatan lain iaitu ‘ambil alih’ pemerintahan.
 
“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikut kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan perdana menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” katanya.
 
Sesuai dengan fungsinya sebagai gerakan dakwah dan murabbi pendidik ummah, PAS tidak mahu terseleweng di jalan politik dengan menjadikan matlamat merebut kuasa sebagai sasaran perjuangannya.
 
“Setuju dengan Umno bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana PAS lebih selesa duduk di luar Barisan Nasional (BN), bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan Umno,” tegasnya.
 
Beliau berkata, PAS juga bersedia berbincang dengan Umno dalam beberapa isu yang membelenggu pentadbiran kerajaan hari ini seperti GST, perumahan, kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya.
 
Demikian pendirian PAS. Ia berbeza dengan sikap dendam dan rakus DAP yang kini menggabungkan diri dengan Amanah yang mengaku parti politik Islam dan PKR yang mahu perjuangkan keadilan tetapi matahati masih tertumpu pada tampuk kekuasaan belaka. 
antarapos.
 
 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik