Wednesday, November 4, 2015

GEJALA FITNAH RUNTUHKAN UMMAH.

FITNAH bermaksud tuduhan yang diada-adakan sama ada berbentuk gambar, berita, kisah-kisah dan sebagainya yang boleh memburukkan atau memusnahkan seseorang individu, institusi atau kumpulan. Dalam zaman serba moden dan era teknologi ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui ucapan, khidmat pesanan ringkas, emel, laman sesawang atau blog, Whatsapp, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Penyebaran berita fitnah berlaku dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang kewaspadaan untuk menyelidik maklumat yang diterima seterusnya tanpa teragak-agak disampaikan kepada yang lain.


Sikap ini amat ditegah oleh Islam yang menganjurkan umatnya agar setiap berita yang disampaikan terutamanya melalui orang yang digolongkan sebagai fasik iaitu mereka yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT, sepatutnya perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada yang lain.


Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”


BUDAYA TABUR FITNAH

Budaya menabur fitnah, menyebarkannya dan berkongsi fitnah dan istilah moden hari ini disebutkan share dan like adalah sesuatu yang keji dan amat dibenci oleh Islam sehingga ia dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.


Firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 19: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat serta Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.”


Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak, termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu.


PERBUATAN KEJI

Antara ancaman dan dosa fitnah serta penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunah ialah:

Penabur fitnah yang tidak dapat membawa saksi atas segala dakwaan mereka (fitnah), Allah memerintahkan supaya dihukum dengan 80 sebatan. Firman-Nya dalam surah an-Nur, ayat 4: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (penyebar fitnah) 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”


Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia.

Hadis daripada Abdul Rahman Bin Ghanmin r.a.bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah.” - Riwayat Imam Ahmad.

Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri. Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.


Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa; janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Penabur fitnah dan pengumpat diseksa di dalam kubur.


Hadis daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya mereka berdua (penabur fitnah dan pengumpat) diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak dapat membersihkan air kencingnya dan seorang lagi memecahbelahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah.” - Riwayat Bukhari. 



KEBURUKAN DALAM HIDUP BERMASYARAKAT

Fitnah juga membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya ialah:

Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan perbuatan tersebut.

Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan.


Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Banyak pihak yang terbabit dengan penyebaran fitnah ini terkadang tidak mempunyai sebarang kepentingan. Tetapi, disebabkan kerana menjadi kebiasaan, walaupun ia hina namun dapat memberi satu kepuasan kepada pelakunya. Budaya menabur fitnah boleh mengganggu gugat kestabilan dan keamanan negara.


PENGAJARAN

Umat Islam dilarang membuat dan menyebarkan fitnah kerana ia merupakan antara dosa-dosa besar yang dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya.


Setiap individu Muslim wajib memperhalusi setiap berita yang diterima terutamanya khabar atau berita yang dilabelkan sebagai “khabar angin” atau “dengar khabar” supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Umat Islam hendaklah menghindarkan diri dari budaya menabur fitnah kerana ia adalah sikap yang amat keji dan bakal meruntuhkan keharmonian rumahtangga, merosakkan masyarakat dan menjejaskan kestabilan serta keamanan negara.


Umat Islam hendaklah menyedari bahawa segala persengketaan dan kekeliruan tidak akan dapat diselesaikan melalui budaya menabur fitnah.

Utusan/4.11.15

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik