Sunday, December 20, 2015

DATO SERI ANTARA DALANG SINDIKET PEKERJA ASING.



Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan di negara ini, mendalangi sindiket penipuan pekerja asing sehingga menjadi kaya-raya dan dianugerahkan gelaran Datuk Seri.


Timbalan Perdana Menteri memberitahu, hasil operasi penguatkuasaan mendapati 95 peratus daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap mempunyai dokumen sah, tetapi menjadi mangsa penipuan oleh ejen atau sindiket apabila tiba di negara ini.


“Kebanyakan mangsa penipuan ini berasal dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar. Dokumen mereka telah dipegang oleh ejen atau sindiket, malah ada juga majikan yang memegang dokumen perjalanan dan permit kerja mereka,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen 2015 di sini hari ini.


Yang turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat; Menteri Pembangunan Sosial negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk William Mawan Ikom dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafa Ibrahim.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, seorang pekerja Bangladesh misalnya perlu membayar AS$8,000 (RM34,400) untuk masuk ke negara ini dan terpaksa menjual rumah, tanah, meminjam bank dan ah long di Bangladesh.


Namun katanya, apabila tiba di Malaysia, rakyat asing terbabit ditipu oleh sindiket atau ejen yang kononnya menawarkan kerja mahir atau separuh mahir yang hanya mahukan wang.

Menurutnya, beberapa individu juga rakyat asing yang mendalangi ejen atau sindiket palsu itu menggunakan kedudukan berkahwin dengan penduduk tempatan dan anugerah gelaran Datuk atau Datuk Seri yang diterima untuk mengaburi kegiatan haram mereka.


“Saya mendapat tahu ada ejen dan sindiket ini pakai kereta Lamborghini, memiliki rumah banglo, isteri tidak cukup seorang, dapat anugerah Datuk Seri dan ramai yang sudah dapat Datuk di atas kesengsaraan orang lain.


“Mereka ini tidak ada perikemanusiaan dan patut disumbat seumur hidup dalam penjara,” katanya.

Justeru, beliau mahu Jabatan Imigresen tidak berkompromi dengan ejen atau sindiket pekerjaan palsu yang mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup orang lain.


“Datuk Seri Mustafa Ibrahim perlu perbetulkan masalah ini, cari sehingga ke lubang cacing sindiket dan ejen-ejen berkenaan.


“Menjadi azam pada 2016, kita minta pegawai imigresen menguatkuasakan arahan yang telah saya nyatakan tadi,” katanya.


Beliau memberitahu, Kementerian Dalam Negeri bersedia untuk menambah hukuman lebih berat terhadap ejen dan sindiket yang terlibat jika didapati bersalah.


“Akta Imigresen 1959 sudah cukup berat, tetapi jika umum mahu supaya akta ini diperkukuhkan serta ditambah hukuman, kementerian bersedia melakukannya.


“Saya akan berbincang dengan dua timbalan saya dan ketua setiausaha kementerian untuk minta nasihat undang-undang bagi memperkukuhkan akta dan peraturan sedia ada,” katanya.

- Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik