Wednesday, December 30, 2015

TAHUN BAHARU PENAMPILAN BAHARU.



Hidup yang sementara di dunia ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya kepada perkara yang positif, kerana masa tidak pernah berundur ke belakang. Tetapi, masa memacu laju meninggalkan kita, tahun bertukar tahun diikuti dengan peningkatan usia kita, yang bermakna masa untuk kita hidup di dunia ini semakin berkurangan. Oleh sebab itu sentiasalah berbuat baik semasa masih hidup untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat seperti kata peribahasa Melayu, “Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa”. 


Lazimnya tahun baharu akan muncul dengan azam baharu. Ini adalah satu amalan yang sangat klise. Lebih ironi lagi ada yang mengatakan, tiada azam baharu, tetapi hanya mahu menunaikan azam lama, yang masih belum tercapai, malah terbabas jauh dari sasaran. Bagi mengelakkan berlaku saban tahun kita masing-masing hanya bersemangat mengumpul seberapa banyak azam yang belum pasti tercapai itu, apa kata kita mulakan tahun baharu ini dengan memberikan nilai baharu kepada diri kita sendiri dahulu. Kita tampilkan diri kita dengan penampilan baharu dari segi fizikal dan kerohanian, agar kita lebih bertenaga dan bersemangat.


Bagi memberikan nilai baharu kepada diri, langkah penting yang perlu kita mulakan, adalah lakukan refleksi diri atau bermuhasabah. Peruntukkan masa untuk melihat dua perkara. Pertama, kesilapan diri. Kedua, kelemahan diri. Untuk tampil dengan imej diri positif, kita perlu tahu apakah imej diri negatif yang kita miliki, melibatkan sama ada hubungan kita dengan Allah atau hubungan kita dengan sesama manusia. Kita banyak melakukan kesilapan kerana sikap ‘kesedaran keegoan’ yang kita miliki.


Orang yang hidup dalam ‘kesedaran keegoan’ mempunyai 10 tabiat negatif. Pertama, suka mengikut hawa nafsu. Mereka memandang dengan hanya menggunakan ‘mata fizikal’ dan ‘mata nafsu’, tidak memandang dengan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’. Sebab itulah, kita sentiasa memandang urusan dan tanggungjawab kita dengan Allah SWT dengan sambil lewa bukan keutamaan. Kedua, suka marah atau naik angin. Kalau marah, tidak dapat dikawal emosi hingga kita mengeluarkan kata-kata yang kesat dan bertindak kasar secara fizikal. Ketiga, semua perkara yang diinginkan perlu cepat dan tepat. Tidak sabar dan tidak menerima sebarang alasan atas kegagalan orang menunaikan keinginan kita. Keempat, mesti ikut cara kita dan langsung tidak mahu mendengar pandangan orang. Kelima, suka bersaing. Dalam apa pun keadaan kita mesti hendak menang dan sangat sentiasa ingin lebih daripada orang. Apabila tidak ada orang yang boleh menentang kita baru kita berpuas hati.


Keenam, suka menghakimi, menghukum, dan menyalah orang. Sibuk hendak menegakkan benang yang basah, yakni tidak mahu mengaku kesilapan kerana tidak mahu menerima kenyataan. Ketujuh, sangat fikir apa orang kata, hingga sanggup menjatuhkan maruah orang lain dan menaikkan nama/status diri sendiri. Kelapan, suka dipuji tetapi dalam masa yang sama kita suka mencemuh, menghina dan memperlekehkan orang. Kesembilan, sangat kedekut. Bukan sahaja kedekut wang ringgit, tetapi kedekut dengan ilmu, pujian, penghargaan dan sanjungan, kerana berasa kita seorang sahaja yang sempurna dan hebat. Kesepuluh, suka menunjuk-nunjuk dan bercakap besar. Sangat fikir tentang pangkat dan harta serta meletakkan status atau kedudukan kita ke atas diri orang lain.


Kita juga akan membawa penampilan diri yang negatif, jika kita memiliki kelemahan diri yang berpunca daripada dua tabiat negatif. Iaitu pertama, ‘tidak yakin’ atau unsure. Kedua, ‘kerisauan’ atau anxiety. Orang yang memiliki kedua-dua tabiat negatif ini, kalau memiliki berapa banyak azam sekali pun, pasti satu azamnya pun tidak akan menjadi. Sebab orang yang tidak berkeyakinan, takut untuk mencuba sesuatu yang baharu dan tidak tahan berhadapan dengan cabaran. Orang yang hidupnya sentiasa dibayangi kerisauan yang melampau-lampau pula, selalu fikirkan perkara dan hal-hal negatif yang dijangka akan terjadi. Selalu fokus kepada perkara yang tidak elok, dan orang begini dinamakan orang neurotik. Orang yang neurotik bahasa yang biasa keluar dari mulutnya adalah seperti, ‘masalahnya’, ‘kalau tidak jadi macam mana’, ‘tapi’, ‘nanti dulu’, ‘jangan’ dan seumpamanya (kata-kata yang negatif) yang mematahkan semangat sebelum melakukan sesuatu perkara.


Oleh sebab itu jom ‘reset minda’ ubah fikiran kita, fikirkan tentang keselamatan, kejayaan, dan segala yang baik-baik. Sebab ketika kepercayaan dan kerisauan kita terhadap hal itu kian meningkat, minda bawah sedar (jiwa/roh) kita juga akan berasakan hal yang sama, iaitu yang minda kita sedang fikirkan. Akhirnya semua perkara yang kita fikirkan dan pendamkan dalam perasaan kita itu akan menjadi doa dan harapan.


Jika kita ini sangat negatif dari segi pemikiran dan harapan, maka sikap ini akan merosakkan badan/fizikal kita. Sebab badan kita itu ditakluki oleh aura negatif yang menyebabkan kita lemah dan tidak bersemangat. Ingatlah, jangan banyak habiskan waktu memikirkan apa yang patut kita ‘lakukan’, tetapi jom gunakan banyak masa kita untuk memikirkan apa yang patut kita ‘hentikan’ tabiat buruk/negatif kita.

By: Dr Muhaya Muhamad.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik