Saturday, December 26, 2015

UTAMAKAN POLITIK ATAU PERINTAH ALLAH?



BEBERAPA pemimpin Pas dikatakan menentang keras sebarang usaha menggabungkan parti itu dengan UMNO. Ada dalam kalangan mereka mendakwa ketika ini, imej Pas jauh lebih baik daripada UMNO memandangkan ramai yang simpati dengan Pas kerana sering sahaja menjadi mangsa buli DAP. Ada pula pemimpin Pas menggesa mana-mana pemimpin parti itu yang berhasrat untuk bergabung dengan UMNO supaya meninggalkan Pas.

Hakikatnya, pemimpin Pas yang membuat andaian itu tidak boleh dipersalahkan. Maklumlah, selama ini UMNO dilihat musuh ketat Pas dan ahli-ahli Pas sememangnya ‘sudah dididik’ sekian lama untuk memahami bahawa dalam keadaan apa sekalipun UMNO tetap ‘musuh politik’ yang perlu ditentang habis-habisan.

Bagaimanapun dalam isu ini, penulis melihat sudah ada pihak yang terlalu cepat membuat kesimpulan seolah-olah benar wujudnya gerakan bagi menggabungkan kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Sebenarnya, apa yang berlaku seperti mana ditegaskan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah menghulurkan salam silaturahim sesama Islam, soal perbezaan politik harus diketepikan apa yang penting bersama-sama dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Oleh itu, adalah tidak wajar jika mana-mana pihak menyalahtafsirkan kerjasama yang ingin dipelopori oleh UMNO tersebut dilihat dari sudut politik semata-mata sehingga timbul tafsiran bahawa ada usaha menggabungkan kedua-dua parti berkenaan.

Kita harus menerima hakikat, dari segi ideologi politiknya, kedua-dua parti itu agak sukar untuk bergabung tetapi jalan perpaduan yang ingin diteroka ialah bagaimana UMNO dan Pas boleh duduk semeja apabila berhadapan isu berkaitan orang Melayu dan umat Islam.

Kerjasama itu penting bagi menunjukkan walaupun berbeza fahaman politik, kedua-dua parti tersebut boleh bekerjasama dalam perkara-perkara berkaitan orang Melayu, bukannya berbalah sepanjang masa sehingga orang Melayu berpecah belah dan melemahkan antara satu sama lain.

Kelemahan yang berlaku membolehkan ia membuka ruang kepada ‘musuh-musuh’ orang Melayu untuk mengambil kesempatan termasuklah juga dalam soal merebut kuasa politik. Justeru itulah, mana-mana pihak tidak boleh terlalu prejudis apabila memperkatakan soal kerjasama antara UMNO dan Pas.

Tidak timbul soal bergabung apatah lagi kerjasama politik. Kalau Pas merasakan sudah semakin kuat dan mampu mencapai kejayaan dalam pilihan raya, silakan tidak ada masalah kerana UMNO tidak mungkin akan `menyembah’ atau ‘mengemis’ kepada Pas untuk melakukan penggabungan politik.

Tetapi apa yang sedang diusahakan sekarang ialah menamatkan konflik antara kedua-dua parti tersebut yang sudah berlanjutan sekian lama. Tidak timbul soal mana-mana parti lemah atau memerlukan antara satu lain untuk survival politik mereka. Ini soal untuk mencari satu titik persamaan supaya orang Melayu dapat berada dalam satu saf apabila berhadapan dengan isu-isu melibatkan kepentingan bersama khususnya agama Islam.

Sebenarnya, bukanlah satu masalah jika Pas menolak bekerjasama dengan UMNO, itu hak Pas, tetapi wajarkah mana-mana pemimpin Pas cuba menakut-nakutkan ahli-ahli parti tersebut dengan gambaran yang tidak betul terhadap apa sebenarnya dihasratkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO? Sebab itulah sejak awal lagi penulis sentiasa berpendapat bahawa sama ada kerjasama antara UMNO dan Pas dapat dilaksanakan atau tidak, ia bergantung kepada keikhlasan kedua-dua belah pihak.

Perlu diingat, polemik demi polemik yang dicetuskan berhubung kerjasama itu hanya akan merealisasikan impian sesetengah pihak termasuklah segelintir orang Melayu sendiri yang tidak mahu melihat UMNO dan Pas bekerjasama. Mereka akan bertepuk tangan dan `berpesta’ jika apa yang sedang diusahakan tidak berjaya. Walaupun mereka orang Melayu tetapi belum tentu mereka mempunyai semangat mencintai perpaduan bangsa sendiri.

Terserahlah kepada pemimpin Pas khususnya sama ada masih terus mahu melihat ia dari sudut politik atau menyahut seruan Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud; “Hendaklah kamu tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah saling membantu dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras dalam hukuman-Nya.” - Inilah sebenarnya niat UMNO.
- Zul Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik