Malah Mohd. Amar dengan tegas menyatakan Pas bersedia berhadapan dengan Amanah dalam PRU di kawasan yang ditandingi oleh Pas. Beliau menegaskan perkara itu kerana yakin PKR dan DAP tidak akan sanggup memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding di kerusi milik kedua-dua parti tersebut.


Tuan Ibrahim pula memberi peringatan kepada Amanah bahawa mereka tidak akan mampu menggugat kekuatan Pas dan Pas tetap akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi kerana itu adalah hak parti tersebut.


Sudah pasti kenyataan dua pemimpin Pas ini akan dianggap angkuh oleh pemimpin dan penyokong Amanah tetapi dalam masa sama mereka juga perlu menerima hakikat mana mungkin Pas memberi laluan kepada sebuah parti yang dilahirkan berikutan tindakan bekas pemimpin Pas sendiri. ‘Luka’ yang ditinggalkan oleh bekas-bekas pemimpin Pas yang bergabung dalam Amanah bukanlah kecil malah ia memungkinkan Pas buat seketika berada dalam keadaan kucar-kacir.


Pas terpaksa mengumpulkan kembali kekuatan dan memperbaiki segala kerosakan yang berlaku di semua peringkat akibat tindakan pemimpin-pemimpin Amanah. Kelompok itu bertindak keluar parti bukan kerana Pas meninggalkan perjuangan Islam tetapi hanya semata-mata tewas dalam pemilihan parti yang diadakan.


Oleh itu, mana mungkin Pas begitu mudah memaafkan pemimpin-pemimpin Amanah yang ketika ini masih mengharapkan dapat mewujudkan kerjasama dengan Pas selepas Pas menolak untuk bergabung dalam pakatan pembangkang baharu yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah.

Jika mana-mana pihak mahu menyatakan Pas angkuh kerana tidak mahu bekerjasama dengan pembangkang kecuali PKR, bagaimana pula dengan keangkuhan Amanah dan DAP?


Pemimpin-pemimpin Amanah sebelum ini begitu yakin mereka akan mendapat sokongan justeru mereka bertindak keluar daripada Pas. Ketika membuat keputusan itu adakah mereka memikirkan soal bertanding dalam PRU? Atau sememangnya mereka ingin menjadi `sukarelawan’ kepada DAP dan PKR dalam pilihan raya umum nanti kerana semua kerusi pembangkang sudah ada pemiliknya?


Bagaimana pula dengan DAP yang tidak pernah mahu menunjukkan rasa hormat terhadap perjuangan Islam Pas? Apakah DAP tidak angkuh apabila hanya mempertahankan prinsip perjuangan sendiri tetapi tidak mahu menghormati prinsip perjuangan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang. 


Melalui kenyataan Tuan Ibrahim dan Mohd.Amar, Pas bukanlah angkuh. Pas sekadar mempertahankan haknya dan tidak boleh selama-lamanya beralah dengan kemahuan politik parti lain. Yang beria-ia benar dan begitu gembira dengan kelahiran Amanah ialah pemimpin DAP dan PKR, oleh itu kedua-dua parti itulah sepatutnya bersedia mengorbankan kerusi mereka kepada Amanah.


PKR dan DAP tidak boleh memaksa Pas menyerahkan kerusi parti itu kepada Amanah, kalau mereka sendiri tidak rela kerusi mereka diberikan kepada Pas. Janganlah setiap kali pakatan pembangkang bercakap mereka perlu berkorban dalam pilihan raya, yang hanya diminta berkorban, melakukan pengorbanan dan ‘terkorban’ adalah Pas. Kalau mahu bercakap soal pengorbanan, Amanah paling layak untuk ‘dikorbankan’ kerana parti itu tidak mempunyai apa-apa kekuatan selain pemimpin-pemimpinnya masih bergelar wakil rakyat atas kemenangan ketika menjadi calon Pas dahulu.


Pas perlu mempertahankan ketegasannya dalam soal pembahagian kerusi tersebut. Janganlah mudah lentur atau mengaku kalah semata-mata kerana terpengaruh dengan dakyah kononnya kedegilan mereka akan membantutkan usaha pakatan pembangkang menumbangkan Barisan Nasional (BN).


Dalam keadaan apa sekalipun, BN ada kekuatan sendiri khususnya dalam kalangan orang Melayu yang semakin muak dengan mainan politik yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP. Ada dalam kalangan mereka adalah penyokong tegar Pas.


Bagi mereka, tidak mengapa kalau kalah dalam pilihan raya daripada awal-awal lagi sudah tewas apabila terus tunduk dengan kehendak politik PKR, DAP dan Amanah. Cukup-cukuplah derita yang ditanggung ketika Pas berada dalam pakatan pembangkang dahulu.


Pas tinggalkan pakatan pembangkang kerana DAP, Pas tidak mahu menyertai pakatan pembangkang disebabkan oleh Amanah, oleh itu tak kanlah tiba-tiba Pas begitu mudah mahu memberikan kerusi kepada Amanah sedangkan yang tetap akan meraih keuntungan dalam apa juga situasi ialah DAP. Kalau pun Pas hendak berkorban demi perjuangan meraih kuasa biarlah bertempat kerana percayalah tiada parti pembangkang yang bersedia melakukan pengorbanan demi Pas.


Apa yang sering orang Melayu saksikan, Pas yang banyak berkorban termasuklah dari segi tenaga dan jentera bagi memenangkan calon pakatan pembangkang dalam pilihan raya tetapi kesudahannya Pas menjadi ‘lebai malang menang sorak kampung tergadai’ apabila bukan sahaja dilayan ibarat ‘melukut di tepi gantang’ malah kerusi miliknya pun jadi milik orang lain apabila wujudnya Amanah. 

Dari: Utusan.