Tuesday, January 19, 2016

BAHANA KEMARUK GELARAN DATO'

SATU hari ketika Al-Imam Abu Hanifah r.a sedang berjalan-jalan, beliau menegur seorang budak: “Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayu mu itu... bimbang kamu akan tergelincir nanti”.


Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian Al-Imam kepadanya. Budak itu tiba-tiba bertanya: “Wahai tuan, siapakah nama tuan?”. Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab: “Nama ku Nuiman”.


“Ohh..rupa-rupanya tuanlah yang digelar Al-A’dzam (Imam yang sangat hebat) itu? Budak itu bertanya kembali kepada Al-Imam Abu Hanifah. Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab: “Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik dengan aku meletakkannya”.


Budak itu menjawab: “Wahai Imam, janganlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka di sebabkan gelaranmu itu. Aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekali pun hanya di dunia semata-mata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah lantaran angkuh dan berbangga-bangga”.


Begitulah kisah dalam Islam berkaitan soal kedudukan, pangkat dan gelaran. Tetapi kajilah apa yang berlaku di negara kita sekarang, bermula dengan ‘Sultan Melaka’, diikuti dengan ‘Bonda Ratu’ kini muncul pula ‘Maharaja Kinta’. Kesemua mereka hanya orang biasa tetapi mahu disanjung berketurunan raja mahupun sultan.


Mustahil mereka tidak tahu apa yang dilakukan salah atau hanya menjadi bahan jenaka, tetapi malangnya ada dalam kalangan orang ramai yang percaya. Paling tidak masuk akal ada yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit semata-mata mahu bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.


Ketiga-tiga individu hanya contoh, terdapat ramai lagi yang akan muncul untuk ‘menyampaikan anugerah darjah dan pingat’ dengan mendakwa diri daripada keturunan entah apa-apa.


Sebenarnya, individu itu jauh lebih bijak daripada mereka yang bersedia menerima anugerah pingat-pingat yang diberikan kerana kemaruk mahu bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.


Ini kerana mereka boleh mengaut keuntungan beratus-ratus ribu ringgit dengan menyampaikan anugerah palsu tersebut. Tetapi yang membayar peduli apa, yang penting dapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ biarpun ia disampaikan di dalam hutan!


Malah apa yang melucukan, ada pula yang sanggup menyediakan plat atau plak di kenderaan yang tertera bermacam-macam gelaran termasuklah ‘Yang Mulia’, ‘Ahli Kerabat’ dan pelbagai lagi. Mungkin sudah menjadi perangai orang kita khususnya orang Melayu suka sangat perkara-perkara aneh seperti itu. Mereka berbangga mendapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ biarpun daripada individu tidak diiktiraf oleh kerajaan.


Gelaran itu digunakan di mana-mana termasuklah di laman sosial seperti Facebook. Soalnya, adakah ini bertepatan dengan ajaran Islam? Tidakkah mereka membaca kisah Imam Abu Hanifah r.a? Atau meneliti pesanan Allah SWT dan Rasulullah SAW mengenai anugerah, kedudukan dan pangkat?


Tidak salah menerima gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ asalkan ia daripada darjah yang diberikan secara rasmi oleh raja-raja Melayu dan Yang Dipertuan Negeri sebagai mengenang jasa seseorang. Namun ketika ini ada kelompok yang bangga tidak bertempat dalam menggunakan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ walaupun ia pemberian individu yang boleh dikategorikan sebagai ‘sakit’. 


Contohnya, apabila seseorang itu mengaku ‘Sultan Melaka’, ia bagaikan diiktiraf oleh sesetengah pihak. Dia mengadakan pelbagai majlis bagi menonjolkan dirinya sebagai ‘Sultan’ termasuk upacara penganugerahan pingat-pingat.


Begitu juga apabila munculnya wanita yang mendakwa dirinya ‘Bonda Ratu’. Wanita berasal daripada Indonesia itu mengaku keturunan Raja Sumatera sedangkan dia hanya tukang urut. Lebih hebat ‘Maharaja Kinta’, entah fakta apa yang digunakan sehinggakan dakwaan berasal daripada keturunan ‘Panglima Kinta’ secara tiba-tiba boleh bertukar menjadi ‘Maharaja’.


Pokok pangkal kepada kemunculan individu-individu itu disebabkan kelemahan undang-undang sedia ada dan sikap kemaruk serta bangga dengan gelaran serta kedudukan. Seperkara lagi, bukan sahaja dari segi akta perlu diperkemaskan malah siasatan juga harus dijalankan untuk mengetahui bagaimana individu terlibat begitu mudah menambah nama mereka di dalam kad pengesahan nama yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?


Sepatutnya penggunaan gelaran pada kad pengenalan dan pasport hanya boleh dilakukan apabila seseorang individu itu menunjukkan watikah yang disampaikan oleh raja-raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri. Tetapi bagaimana seseorang boleh sewenang-wenangnya meletakkan gelaran ‘Yang Mulia’, ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’ atau ‘Datuk Seri Paduka Diraja’ tanpa disiasat terlebih dahulu kesahihannya oleh JPN? Di mana silapnya?


Penulis bukannya mahu menuding jari menyalahkan JPN tetapi sekadar mahukan siasatan dijalankan kerana ia melibatkan perbuatan yang boleh mencemarkan kemuliaan institusi raja-raja. Sementara pindaan dilakukan ke atas Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414), siasatan perlu dijalankan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti mereka yang mendapat gelaran daripada individu yang tidak diiktiraf.


Ini memandangkan mereka tidak berasa malu untuk menggunakan gelaran tersebut. Mereka berbangga dipanggil ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’, biarpun dengan sengaja sedang menghimpunkan dosa kerana menipu orang ramai melalui gelaran palsu tersebut.


- By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik