Friday, January 29, 2016

CABARAN BARU EKONOMI BUMIPUTERA.

PERDAGANGAN dunia diramal memasuki era baru apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan perundingannya pada Oktober tahun lepas di Atlanta, Amerika Syarikat (AS), bakal dimeterai pada Februari ini di New Zealand. 


Sejak tahap perundingan awal lagi TPPA menjadi isu hangat bukan sahaja kalangan rakyat negara terlibat, malah seluruh dunia. Perhatian luar biasa terhadap TPPA didorong oleh beberapa fakta terutamanya aspek ruang lingkup saiz ekonomi.


Jumlah penduduk 12 negara yang terlibat dengan TPPA merangkumi 40% daripada populasi dunia. Dari segi ekonomi, negara-negara ini menyumbang hampir 60% kepada Keluaran Negara Kasar dunia dengan diterajui kuasa ekonomi nombor satu dan ketiga dunia, iaitu AS dan Jepun. Anggota lain pula adalah negara berpertumbuhan tinggi di wilayah yang berkembang pesat. Dari segi saiz dan keanggotaannya, TPPA bakal menjadi satu perkongsian perdagangan bebas terbesar dunia.


TPPA juga diramal berupaya mengubah aliran perdagangan negara anggota, malah bakal menjadi penentu hala tuju perdagangan global masa depan. Skop perjanjian TPP juga dijangka menjadi tanda aras baru kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dunia masa depan. 


Berdasarkan saiz akses pasaran yang ditawarkan, penyertaan dalam TPPA sukar ditolak sebegitu sahaja. Bagaimanapun, sepertimana FTA lain, di sebalik faedah akses pasaran dan sumbangan positif pelaburan langsung asing (FDI), terdapat juga kesan negatif dalam bentuk cabaran baru kepada negara anggota khususnya peningkatan persaingan dalam pasaran domestik.


Bagi Malaysia, TPPA bukanlah FTA pertama yang disertainya. Sebagai sebuah negara kecil yang ekonominya bersifat terbuka dan berteraskan perdagangan, Malaysia telah lama mendapat manfaat daripada FTA, antaranya FTA Malaysia-Jepun (2005) dan Malaysia-India (2011), di samping melalui ASEAN, umpamanya FTA ASEAN-China (2004). 


Tidak boleh dinafikan keterbukaan ekonomi Malaysia dengan penekanan terhadap FDI berjaya mendorong negara melalui fasa pembangunan perindustrian dengan pantas. Ini jelas dilihat melalui perubahan ketara ekonomi daripada berteraskan eksport komoditi utama pada 1970-an kepada eksport pelbagai produk perkilangan dan perkhidmatan kini. FTA dimeterai Malaysia sebelum ini banyak menyumbang kepada pencapaian ini. 


Walaupun diakui perdagangan bebas boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan perdagangan luar negara, tidak dinafikan juga membawa kesan sosial dan ekonomi. Oleh yang demikian, aspek kos dan faedah seharusnya diberikan perhatian serius sebelum negara memutuskan untuk menyertai mana-mana FTA. 


Dalam kes TPPA, dua kajian telah dilaksanakan untuk menilai kos dan faedah menyertainya dari segi ekonomi dan sosial. Secara umum, kajian tersebut menjangkakan faedah yang diperoleh Malaysia sekiranya menyertai TPPA melebihi kos. Bagaimanapun, ini masih tidak dapat menghilangkan kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan implikasi negatif TPPA, yang secara umumnya berpunca daripada skopnya yang luas berbanding FTA lain yang pernah disertai Malaysia. 


Dalam TPPA, selain penghapusan tarif dan halangan perdagangan yang menjadi fokus utama, skop baharu melibatkan perolehan kerajaan, hak harta intelek, alam sekitar, piawaian buruh dan syarikat milik kerajaan. Oleh itu, TPPA bukanlah bermatlamatkan akses pasaran semata-mata tetapi merangkumi aspek lebih luas, meliputi piawaian tinggi dari segi ketelusan dan antikorupsi, perlindungan hak asasi manusia, hak buruh, pemuliharaan alam sekitar dan tahap kerjasama. 


Bagi Bumiputera, kebimbangan terhadap TPPA tertumpu kepada kelangsungan dasar kerajaan mengenai hak mereka. Turut dibimbangkan ialah TPPA akan membuka ruang kepada pelabur asing bersaing mendapatkan perolehan kerajaan. Menyedari kebimbangan ini, Malaysia telah berjaya mendapat kelonggaran dalam perjanjian ini untuk membenarkan negara meneruskan dasar mengutamakan Bumiputera. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada Malaysia dan tidak kepada anggota baru TPPA. 


Perlu difahamkan bahawa keahlian TPPA adalah terbuka kepada kesemua 21 negara ahli APEC. Sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA sekarang tetapi ingin menyertainya pada masa depan, negara bukan sahaja tidak akan mendapat kelonggaran ini, malah negara anggota asal TPPA secara individu boleh mengenakan syarat tambahan kepada Malaysia selain syarat sedia ada. Dari sudut ini, penyertaan Malaysia sebagai anggota awal TPPA memberi kelebihan kepada negara khususnya dalam memelihara hak Bumiputera. 


Dasar peruntukan 30% kepada kontraktor Bumiputera boleh diteruskan. Pembekal dan pengeluar Bumiputera juga boleh terus menikmati keutamaan harga bagi barangan dan perkhidmatan.


Dari segi perolehan kerajaan, Malaysia berjaya memasukkan klausa had nilai perolehan bekalan, perkhidmatan dan perkhidmatan pembinaan yang keutamaan boleh diberikan kepada syarikat Bumiputera.


Contohnya bagi perolehan bekalan, had nilai permulaan ialah RM9 juta yang akan dikurangkan perlahan-lahan dalam tempoh peralihan selama tujuh tahun. Ini bermakna, pada tahun pertama pelaksanaan TPPA, perolehan bekalan kerajaan bawah RM9 juta boleh dihadkan penyertaannya kepada syarikat Bumiputera sahaja. Keutamaan ini akan berlanjutan sehingga tujuh tahun tetapi dengan had nilai perolehan yang semakin kecil, iaitu had nilai akhir RM790,000.


Had nilai akhir perolehan perkhidmatan juga sama, tetapi tempoh peralihannya lebih panjang, iaitu sembilan tahun. Bagi perkhidmatan pembinaan pula, had nilai perolehan permulaan yang boleh diberikan keutamaan kepada syarikat tempatan adalah RM380 juta dan had nilai akhirnya pula RM85 juta dengan tempoh peralihan selama 20 tahun. 


Walaupun kepentingan Bumiputera terpelihara di bawah TPPA, usahawan Bumiputera tidak sewajarnya mudah merasa lega. Ini kerana kelonggaran yang diberikan adalah untuk tempoh terhad.


Mereka perlu menerima hakikat bahawa keutamaan untuk menyertai perolehan kerajaan bukanlah tiada penghujungnya. Tambahan pula, statistik jelas menunjukkan bahawa perolehan kerajaan tidak bertumbuh sepesat pertumbuhan bilangan syarikat Bumiputera yang memerlukan dan mengharapkannya. Ini bermakna persaingan terhadap perolehan kerajaan dalam kalangan syarikat Bumiputera akan semakin sengit, sama ada Malaysia menyertai TPPA atau tidak. 


Tempoh peralihan yang ditetapkan memberi isyarat bahawa kelonggaran diperoleh bertujuan memberi ruang masa kepada syarikat Bumiputera untuk membangunkan daya saing dan mempersiapkan mereka dengan pasaran tempatan yang lebih kompetitif ke arah menerima pakai piawaian tinggi TPPA.

Keupayaan mematuhi piawaian TPPA ini amat penting bagi membolehkan syarikat Bumiputera memanfaatkan sepenuhnya peluang akses pasaran di bawah TPPA, di samping berupaya bersaing secara terbuka untuk menyertai perolehan kerajaan bernilai tinggi.


Justeru, amat penting bagi syarikat Bumiputera menilai tahap piawaian yang diguna pakai pada masa ini berbanding piawaian tinggi TPPA. Penilaian ini perlu supaya tindakan boleh dilakukan bagi menutup jurang perbezaan piawaian berkenaan sesegera mungkin. 


Dengan hanya Malaysia dan Brunei, negara Islam dalam anggota asal TPPA, maka peluang untuk menjadi tonggak utama piawaian halal tidak harus dilepaskan begitu sahaja oleh syarikat Bumiputera. Di sebalik peluang akses pasaran yang besar, TPPA dijangka menjadikan pasaran dalam negara lebih kompetitif.


Bagi syarikat berskala besar dan berorientasikan eksport yang biasa bersaing di peringkat global, TPPA memberi peluang kepada syarikat Bumiputera mengembangkan pasaran ke negara anggota khususnya empat destinasi baru yang Malaysia tidak mempunyai FTA iaitu AS, Kanada, Mexico dan Peru.


Dalam era globalisasi, persaingan dalam pasaran domestik mahupun antarabangsa akan terus meningkat dari semasa ke semasa, sama ada Malaysia menyertai TPPA atau tidak. TPPA membawa bersama cabaran-cabaran baharu kepada ekonomi Bumiputera tetapi cabaran ini datang bersama peluang. Walaupun hak Bumiputera dikatakan terpelihara di bawah TPPA, syarikat Bumiputera harus menerima hakikat semua itu tidak mungkin kekal selama-lamanya. Sehubungan itu, syarikat Bumiputera mesti mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan persaingan yang lebih terbuka dan bebas. 


Trend perjanjian perdagangan dunia masa depan juga dijangka mengikut skop yang diasaskan oleh TPPA. Dengan kata lain, TPPA akan mencorak hala tuju perdagangan bebas dunia masa depan. Oleh itu, kelangsungan ekonomi Bumiputera bergantung kepada keupayaan syarikat-syarikat Bumiputera berubah selaras dengan perubahan corak dan piawaian perdagangan global semasa dan masa depan. Dalam hal ini, menyertai TPPA akan memberi kelebihan awal kepada syarikat-syarikat Malaysia berhadapan dengan skop perdagangan bebas alaf baru yang dipelopori oleh TPPA.

By: Dr Zukarnain Zakaria.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik