Tuesday, January 12, 2016

GELARAN PALSU MALUKAN RAJA DAN ORANG MELAYU..


Lebih pelik lagi, darjah atau pingat sebelum ini tidak ada gelaran Datuk Seri. Kenapa ada pula sekarang? Mungkin nak ikut selera di Malaysia.


Di satu pihak lagi, ‘keluarga diraja Melaka’ yang kononnya itu sebenarnya tidak wujud. Ia sudah pupus apabila Sultan Mahmud diserang Portugis. Keturunannya bertebaran ke Pahang, Perak dan Johor, tetapi sultan Melaka sudah tidak ada lagi.


Perbuatan menipu rakyat dengan menawarkan pingat, gelaran atau bintang palsu yang dibeli pada harga ratusan ribu ringgit tidak boleh dibiarkan.


Ini serius, memalukan Raja-raja dan orang Melayu. Di Britain, Lord dan Earl tidak boleh beri anugerah. Hanya Queen atau Ratu yang berhak berbuat demikian. Kenapa di negara ini begitu banyak darjah dan pingat tidak diiktiraf macam ‘cendawan busuk’ yang muncul?


Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim adalah antara orang paling gembira dengan isu gelaran dan pingat palsu yang dibangkitkan Utusan Malaysia dalam dua hari ini.


Sejak tahun 2003 dan 2005 lagi, beliau yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menimbulkannya. Tetapi masih tiada tindakan sehinggalah 10 tahun berlalu.


Kata Rais kepada akhbar ini semalam, jika tidak dibanteras perbuatan ini, ia akan menimbulkan faktor negatif dalam bidang-bidang berikut:


1. Penghormatan terhadap anugerah bintang kebesaran yang sahih diberi akan menjadi pudar disebabkan begitu mudah bagi pihak tertentu memanipulasi anugerah itu di peringkat tidak sah.


2. Ia akan mencemar dan merendahkan kedaulatan Raja-raja Melayu oleh kerana penganugerahan bintang kebesaran seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negeri adalah khusus daripada raja yang berdaulat.


3. Nilai budaya penyangak dan juga penipu ‘digalakkan’ dalam kalangan masyarakat tertentu dan menyalahgunakan pangkat itu seolah-olah ia sah dan sahih.


4. Ia merupakan impersonation iaitu berpura-pura (penyamaran) mempunyai pangkat tetapi sebenarnya pangkat itu tiada. Ini menyalahi kanun jenayah. Ia sama dengan kes seseorang itu berlagak dia inspektor dan memakai seragam polis atau memakai gelaran ‘Datuk Seri’.


5. Ia bertentangan dengan status Raja-raja Melayu, sekali gus bertembung dengan perkara 181 Perlembagaan Malaysia.


6. Ia bercanggah dengan perkara 38 Majlis Raja-raja.


Justeru, Rais, menyokong penuh sekiranya kerajaan mengadakan satu hadangan pencegahan.


“Sekiranya peruntukan impersonation tidak begitu jelas bahasanya di bawah Kanun Keseksaan, maka harus diadakan secara pentadbiran dahulu.


“Sekurang-kurangnya kerajaan mengumumkan bahawa anugerah bintang kebesaran yang tidak diberi oleh Raja-raja di Semenanjung atau pihak berkuasa kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta Melaka, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan tidak boleh diiktiraf,” kata beliau.


Kata Rais: “Sekiranya enggan buat pindaan kepada Kanun Keseksaan atau dalam bentuk legislatif, perlu diwartakan dahulu pengumuman ini tetapi pada masa sama pihak polis boleh jalankan tugas untuk menentukan supaya impersonation tidak berlaku dan pencegahan dibuat.


“Jika tidak, kerajaan secara tidak langsung menggalakkan rasuah.”

Menganugerahkan beratus-ratus gelaran datuk dan datuk seri palsu, tegas Rais, merupakan jenayah sindiket yang sedar nilai pada darjah atau gelaran di mata masyarakat.


“Walaupun Raja-raja sekarang berkuasa memberi anugerah namun diharap ia tidak sebegitu mudah hanya atas sumbangan habuan.


“Kita harus benar-benar meneliti seseorang itu dari segi khidmatnya, latar belakang bebas jenayah, khidmat untuk diraja, negeri dan persekutuan serta juga topik-topik atau tajuk kecemerlangannya,” katanya.

- Zulkifli Jalil.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik