Sunday, January 3, 2016

KITA PERLU MENGUASAI BUKAN DIKUASAI.

Kita tidak boleh mengawal apa-apa yang bakal berlaku dan telah pun berlaku ke atas kita, tetapi kita boleh mengawal reaksi kita terhadap apa-apa yang berlaku itu, sama ada perkara itu buruk atau baik. Semua reaksi kita itu melibatkan kawalan emosi yang akan melibatkan tindak-tanduk kita menjadi positif atau negatif, dan impaknya hasil kehidupan kita juga akan menjadi positif atau negatif. Kesabaran, kesyukuran dan keredaan merupakan respons positif, sebaliknya kemarahan, ketidakpuasan dan kekecewaan merupakan respons negatif. 


Semua yang berlaku ke atas diri kita adalah takdir dan ujian Allah, tidak kira sama ada perkara atau peristiwa itu positif atau negatif. Apabila dalam diri kita ada konsep kesabaran dan keredaan, kita tidak akan mengeluh, merungut, mengumpat, mengungkit dan menyalahkan sesiapa atau menyalahkan keadaan apabila berlaku sesuatu musibah. Perkataan "kalau", tidak akan keluar dari mulut kita. Contohnya apabila berlaku kemalangan kereta kita yang dipandu oleh anak kita, kita tidak akan berkata, "kalau" emak/ayah pandu mesti selamat, "kalau" kita tak ikut jalan itu kita tidak tempuhi masalah itu, dan banyak lagi "kalau" yang kita jadikan alasan menolak kuasa qada dan qadar Allah SWT.


Orang yang diuji dengan takdir yang negatif peratusan untuk berkecenderungan menjadi positif adalah lebih tinggi, kerana biasanya dengan kawalan emosi dan keimanan kita menerima dengan reda. Kita bermuhasabah diri dengan melihat apakah pengajaran yang Allah SWT hendak beri dan tunjukkan di sebalik musibah itu. Kalau kita jauh dari Allah kita kembali dekat kepada-Nya, kalau kita lalai beribadah kita kembali khusyuk beribadah kepada-Nya dan menjadikan pergantungan hidup kita hanya kepada-Nya.


Yakni kita menjadi semakin baik dan keimanan kita semakin meningkat setelah kita menerima ujian buruk daripada Allah. Ujian itu kita terima baik sebagai "teguran" daripada Allah SWT, tanda kasih sayang-Nya untuk kita lebih dekat kepada-Nya.


Berbanding dengan orang yang diuji Allah dengan takdir positif, seperti beroleh kekayaan atau pangkat, lebih berpotensi untuk menjadi negatif jika tidak berpegang kepada konsep kesyukuran. Hal ini kerana tanpa rasa kesyukuran, kita mulai berasakan diri kita hebat.


Kerana kehebatan diri kita yang sanggup bekerja keras untuk meraih kejayaan dalam hidup itulah kita menjadi senang. Kita lupa segala kehebatan dan kesenangan itu sebenarnya datang daripada Allah, bukan datang daripada hasil kerja keras kita. Kita menjadi semakin sombong, berbangga diri dan tamak sehingga kesibukan kita menambah kesenangan dan kekayaan itu, melalaikan ibadah kita.


Menakluki

Ingatlah bahawa banyak orang yang berjaya mengawal emosinya tatkala diuji Allah dengan perkara negatif, tetapi ramai orang yang gagal ketika diuji Allah dengan perkara positif. Hal ini adalah kerana, wang dan pangkat (kesenangan dan kebahagiaan) akan membuka topeng siapakah diri kita yang sebenar. Tetapi, kemiskinan dan kesusahan akan mencuci hati kita menyedari siapa diri kita sebenarnya. Kita tidak memiliki apa-apa kerana segala takdir kita dalam genggaman Allah. Oleh sebab itu, kita perlu menguasai emosi kita, bukan dikuasai.


Orang yang dikuasai oleh emosi negatif akan melakukan kesilapan yang sama dilakukan oleh orang yang bersikap negatif. Ibarat kucing, kalau dipijak ekornya akan dijerit dan dicakarnya. Ingatlah seseorang yang boleh membuat kita marah, sedih, benci, geram dan sakit hati, yakni telah berjaya memerangkap kita dengan dendam-kesumat, sebenarnya telah berjaya menakluki dan mengheret hati kita menjadi sama buruk dengan sikapnya.


Jom audit hati kita, adakah kita seorang yang sukar melupakan kisah silam yang menghitamkan warna hidup kita? Memang tidak dapat dinafikan, perkara yang amat susah dilakukan, adalah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak berbuat baik kepada kita, kerana kita telah dikuasai oleh emosi negatif kita. Banyak orang yang menafikan kebahagiaan yang terbuka di hadapannya kerana kisah masa silamnya menguasai hidupnya. Orang yang positif tidak akan membiarkan "dunia luaran" akan menguasai "dunia dalamannya".


"Reset Minda" dan ubah cara kita melihat sesuatu, dengan terlebih dahulu menilai dan melihat diri sendiri dari segi perlakuan fizikal dan hati nurani. Kualiti hidup kita bergantung kepada kualiti emosi, dan kualiti emosi pula bergantung kepada fokus kita. Apabila kita fokus kepada perkara yang membahagiakan, kita akan sentiasa bahagia. Sebaliknya apabila kita fokus kepada kesusahan hidup, kemarahan dan kekecewaan kita terhadap seseorang, kita akan berduka, tidak berpuas hati dan tidak tahu menghargai apa yang kita miliki sampai bila-bila.


Kita menjadi orang yang susah menghargai dan berterima kasih kepada orang, sebab hati kita tidak bersih. Kita menjadi orang yang kurang harga diri sebab kita tidak suka menghargai orang yang telah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu yang terbaik untuk memuaskan dan membahagiakan kita. Apabila seseorang itu melakukan kebaikan dan dia mengharapkan kebaikannya telah memberikan manfaat kepada orang lain dan dihargai, itu adalah normal. Kerana penghargaan itu akan menyuntik semangatnya lagi untuk melakukan lebih banyak kebaikan dan terhapus segala penat lelahnya.


Tetapi yang tidak normal, apabila seseorang itu tidak tahu menghargai kebaikan orang lain terhadapnya, malah asyik memperkecilkan sumbangan orang lain. Kerana situasi itu membuatkan kita berasa usaha kita sia-sia, tidak berfaedah dan lebih malang lagi membuatkan dirinya berasa lemah dan tidak berguna. Sebenarnya orang yang pemikirannya kecil memang suka memperkecilkan orang, tetapi yang berminda besar suka membuat orang menjadi besar semangatnya dan hebat.


Seandainya kita berhadapan dengan situasi ini jangan cepat berputus asa dan menjadi orang yang berminda kecil. Orang yang berminda kecil masalah menjadi besar, dan orang yang berminda besar masalah menjadi kecil. Cepat ubah cara kita berfikir dan memandang sesuatu, (‘reset minda’) dengan melakukan dua perkara. Pertama, apa-apa yang kita lakukan, kita tidak mengharapkan penghargaan dan pujian daripada orang, tetapi kita niatkan kita lakukan kerana Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.


Kedua, dalam apa-apa situasi pun jangan anggap diri kita penting hingga kita mengharap orang memberikan layanan istimewa. Dengan itu, kita memang sudah bersedia dari segi minda untuk menerima apa-apa sahaja bentuk respons daripada orang sekeliling kita dengan minda dan hati yang terbuka.


Ingat, jangan biarkan diri kita dikuasai, tetapi kitalah yang menguasai emosi kita; nyahkan emosi negatif jauh dari diri kita, tetapi tariklah aura positif ke dalam emosi kita. Setiap hari kita menjaga apa yang kita fikir, menjaga apa yang kita rasa, menjaga apa yang kita buat dan menjaga tahap emosi kita. Jadilah seorang pemerhati kepada diri sendiri dan janganlah sibuk menjadi pemerhati kepada orang lain.


Cuba audit diri, mengapakah susah sangat kita hendak memuji orang dan menghargai orang? Sedangkan kedua-dua perkara itu tidak bermodal untuk kita melakukannya, cuma perlu diucap oleh mulut yang terzahir dari hati. Kuasai minda dan hati kita kepada kehidupan yang positif dan jangan biarkan diri kita dikuasai oleh minda dan hati yang negatif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

By: Dr Muhaya Muhamad,

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik