Wednesday, January 13, 2016

"DATUK" PALSU PERLU KAJIAN....

Peruntukan undang-undang untuk mengekang penyalahgunaan penganugerahan gelaran `Datuk' yang sepatutnya dibentang di Parlimen tahun lalu telah ditangguhkan atas permintaan ahli-ahli Parlimen yang mahu kajian lanjut dilakukan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, kajian itu bagi memastikan status kurniaan darjah kebesaran itu khususnya dari negara jiran adalah sahih atau sebaliknya.


“Undang-undang ini hampir dibentangkan ke Parlimen, namun rata-rata ahli Parlimen dan pelbagai pihak mahu akta ini dikaji semula kerana tidak mahu isu teknikal timbul selepas diluluskan.


“Walau bagaimanapun, sama ada pembentangan undang-undang ini akan dilakukan pada sesi Parlimen akan datang bergantung kepada menteri bertanggungjawab dalam soal ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini hari ini.


Yang hadir sama Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Mohd. Zuki Ali; Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Datuk Haini Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Haslina Mansor.


Beliau mengulas pendedahan Utusan Malaysia yang melaporkan terdapat segelintir individu yang sanggup membayar RM40,000 sehingga RM100,000 bagi memiliki darjah kebesaran dan pingat palsu dari negara jiran.


Memetik laporan itu, ahli-ahli akademik turut menyarankan kepada kerajaan supaya menggunakan Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana belum wujud undang-undang khusus bagi menangani isu tersebut di negara ini.


Menyentuh soal itu, Nancy memberitahu, pelaksanaan akta tersebut untuk menghukum individu yang menyalah guna gelaran `Datuk' bergantung kepada fakta kes terhadap kertas siasatan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Katanya, sekiranya Jabatan Peguam Negara mendapati wujudnya elemen jenayah dalam kertas siasatan, individu tersebut bakal dihadapkan ke mahkamah mengikut undang-undang berkenaan.


“Mereka yang didapati bersalah di bawah akta itu, boleh didenda dan dikenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu,” katanya.

- Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik