Sunday, January 3, 2016

SALAH TAFSIR ATAU GATAL MULUT?

AGAK melucukan apabila membaca hujah beberapa pemimpin politik sejak kebelakangan ini yang menuding jari kepada media apabila kenyataan mereka menjadi kontroversi. Media didakwa menyalah tafsir dan ada pula yang menuduh bersikap tidak adil terhadap mereka. Sebenarnya inilah perangai orang politik sejak dulu, kini dan selamanya, tidak kira pemimpin pembangkang mahupun kerajaan. 

Penulis akui memang ada sesetengah media memutarbelitkan kenyataan sesetengah pemimpin atas kepentingan politik tetapi bukan semua media berperangai buruk seperti itu.

Janganlah terlalu mudah menuduh media menyalahtafsirkan kenyataan yang dibuat, sebaliknya ahli politik berkenaan perlu menghentikan sikap ‘gatal mulut’ untuk mengulas isu sehingga mencetuskan kontroversi. Kalau teringin sangat mahu membuat kenyataan, biarlah berdasarkan fakta dan realiti, bukannya menyakiti hati rakyat.

Penulis akui ramai dalam kalangan ahli politik bijak-bijak belaka, memetik kata-kata anak muda ‘tidaklah bodoh sangat’ tetapi janganlah membuat kenyataan yang dilihat bodoh.

Yang kelakarnya, apabila seseorang ahli politik itu menganggap kenyataannya mampu mengurangkan beban rakyat sedangkan hakikatnya, hanya menambahkan kebencian rakyat kepada kerajaan. Kesudahannya yang tanggung akibat ialah kerajaan. Ini memandangkan yang membuat kenyataan itu ialah anggota Kabinet atau ahli politik di sebelah kerajaan. Sepatutnya, ahli politik dalam kelompok ini perlu lebih berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang hendak dikeluarkan.

Masalahnya, kebanyakan ahli politik di Malaysia tidak pernah belajar daripada pengalaman, termasuk beberapa yang sememangnya cukup dikenali dengan ‘idea-idea syok sendirinya’. Walaupun kenyataan mereka sebelum ini sudah menjadi viral dan bahan lawak dalam media-media sosial tetapi seolah-olah tidak ada keinsafan untuk mereka berhati-hati apabila mengulas sesuatu isu tersebut.

Kalaulah merasakan media menyalah tafsir atau memutarbelitkan kenyataan mereka, kenapakah ahli politik tersebut ‘gatal mulut’ hendak bercakap?

Sebab itulah, ahli-ahli politik khususnya mereka yang berada dalam Kabinet, biarpun berasa hebat kerana melakukan dua tiga kerja jangan samakan kedudukan kalian dengan rakyat. Apa yang rakyat mahu dengar ialah kenyataan yang menyejukkan hati mereka bukannya cadangan yang tidak berpijak di bumi nyata, apatah lagi dalam situasi ekonomi sekarang.

Belajarlah tidak mencari publisiti melalui laporan media, sebaliknya tumpukanlah perhatian bagaimana untuk terus menjadi pembela rakyat melalui cara yang betul. Jangan rosakkan imej kerajaan dengan kenyataan-kenyataan dangkal kerana yang akan menerima akibatnya ialah kerajaan.

Menuduh media tidak bersikap adil atau memutarbelitkan kenyataan bukanlah satu tindakan bijak sebaliknya membuktikan mereka tidak pernah belajar bagaimana hendak berhadapan dengan media. Lebih teruk lagi, ini juga menunjukkan yang ahli politik tidak cerdik mengkaji situasi semasa dan kedudukan rakyat sebelum membuat kenyataan. Hal ini kerana dalam apa juga situasi perjuangan untuk rakyat harus diutamakan.

Oleh itu hentikanlah sikap ‘gatal mulut’ untuk mengulas sesuatu isu. Tidak dapat dinafikan seseorang ahli politik memerlukan publisiti tetapi janganlah sampai membuat kenyataan yang dilihat hanya ‘memperbodohkan diri’ dan mencetuskan kontroversi.

Seseorang ahli politik yang bijak tidak akan bergantung kepada kenyataan media sahaja, sebaliknya melakukan pelbagai aktiviti bersama rakyat dan sentiasa turun padang menyelami hati mereka. Apabila sudah faham apa yang rakyat inginkan, barulah membuat kenyataan - kalau pun teringin sangat mahukan publisiti.

Sekarang bukan zaman untuk ahli-ahli politik menjaja retorik atau mencari publisiti murahan, tetapi sekarang ialah zaman pemimpin memahami bahawa mereka sepatutnya bekerja untuk rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat, bagi berbakti kepada rakyat. Inilah hakikat yang harus difahami dengan sedalam-dalamnya oleh seseorang ahli politik.

Rakyat mahu pemimpin yang bijak bekerja bukan hanya pandai bercakap, mereka mahukan pemimpin yang menunjukkan prestasi bukannya mencetuskan kontroversi dan sudah pasti mereka suka kepada kenyataan pemimpin yang menyenangkan hati bukannya menyakitkan hati!

Dari: Utusan.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik