Saturday, February 27, 2016

JIKA POLITIK TIDAK STABEL YANG RUGI ADALAH RAKYAT - PM.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa jika politik di Malaysia tidak stabil yang rugi adalah rakyat negara ini.

Menurutnya orang ramai perlu memastikan kestabilan politik negara terjamin dan tiada yang mampu menggugatnya.

"Kalau hidup dalam keadaan terumbang-ambing dari soal keselamatan dan kestabilan politik, yang akan rugi adalah rakyat jelata," katanya.

Jelas Najib soal keselamatan merupakan antara empat perkara yang beliau selaku ketua pentadbiran kerajaan tekankan dan dijadikan keutamaan, manakala tiga lagi adalah kestabilan politik, tadbir urus ekonomi yang baik serta menangani kemaslahatan (faedah) rakyat.

Bagi kestabilan politik, Najib berkata kerajaan tidak bersifat kuku besi dan mengamalkan 'dictatorship', sebaliknya menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen.

"Setiap lima tahun kita kembalikan kepada rakyat untuk pilih kerajaan yang dikehendaki oleh rakyat. Tetapi antara dua pilihan raya (umum) kita kena jaga kestabilan politik.

"Alhamdulillah kerajaan yang ada mempunyai majoriti yang mencukupi. Sesiapa yang uar-uarkan kerajaan akan tumbang, apa yang mereka dakwa itu (tidak menjadi), apabila belanjawan negara tahun lepas diluluskan di Parlimen dengan majoriti yang besar. Begitu juga rang undang-undang lain juga boleh diluluskan di Parlimen. Kita tak bimbang dari segi kestabilan politik," katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Komuniti Muhibbah dan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan di PPR Kampung Muhibbah Kuala Lumpur.

Dalam soal tadbir urus ekonomi negara, Najib berkata negara sentiasa berhadapan dengan cabaran dan ancaman yang berkait rapat dengan ekonomi global, tetapi kerajaan masih mampu menguruskan ekonomi negara secara cekap serta berhemah.

"Kita tak dapat terlepas daripada ancaman atau kesan perkembangan ekonomi dunia seperti krisis ekonomi Asia pada 1997, 1998...kita juga terkesan. Kita terima kesan yang parah pada masa itu kerana kita mempunyai ekonomi yang terbuka. Begitu juga krisis ekonomi tertentu sebelum ini.

"Hari ini kita berdepan dengan persekitaran luaran yang membawa kesan kepada ekonomi negara. Sebagai contoh harga minyak. Setiap dolar harga minyak jatuh, hasil negara berkurangan RM450 juta. Setahun dulu harga minyak US$110 setong, hari ini jatuh begitu ketara US$32-US$34 setong. Bayangkan berapa bilion hasil negara kita hilang kesan kejatuhan harga minyak," katanya.

Beliau berkata di sebalik cabaran itu, kerajaan masih berjaya mentadbir urus ekonomi negara dengan baik, dan ini dibuktikan dengan perakuan positif daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan beberapa agensi penarafan antarabangsa baru-baru ini.

"Kita dapat pengiktirafan daripada agensi-agensi penarafan antarabangsa. Kalau ada orang kata ekonomi kita tak diuruskan dengan baik, mereka itu cakap politik sahaja, mereka tidak berniat baik. Agensi antarabangsa buat kesimpulan, kita masih mentadbir ekonomi kita dengan baik," katanya.

Najib berkata dalam apa jua keadaan, kerajaan tetap memberi keutamaan dan mendahulukan kemaslahatan rakyat. "Di Malaysia, walaupun negara berhadapan dengan cabaran sana sini, secara umum kita menentukan usaha kebajikan untuk rakyat, dan dalam soal ini, termasuklah kemudahan seperti Kompleks Komuniti Muhibbah ini," katanya.

Kompleks Komuniti Muhibbah antaranya merangkumi pembangunan sebuah dewan pusat komuniti, gelanggang badminton, perpustakaan, pusat aktiviti warga emas, Klinik 1Malaysia, tadika, surau yang diberi kelulusan untuk mengadakan solat Jumaat dan taman permainan kanak-kanak.

Kompleks berhawa dingin ini mula dibina pada 24 Julai 2014 dan siap sepenuhnya pada 18 Jan 2016, memberi keselesaan kepada 10,693 penghuni daripada 2,458 keluarga di PPR Kampung Muhibbah.

Sehubungan dengan itu, Najib meminta orang ramai menyokong kerajaan dan pasukan keselamatan dalam memerangi segala bentuk jenayah, keganasan dan ekstremisme.

Perdana menteri berkata aspek keselamatan merupakan asas penting dalam pembangunan sesebuah negara dan kerana itu ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

"Asas pillar atau tiang seri kepada mana-mana negara...tanpa keselamatan, kita tak mungkin boleh membawa pembangunan, malah kita mungkin tak tidur jenera (lena) tiap-tiap malam kalau rasa diri kita dan keluarga kita tidak selamat.

"Maka keselamatan memerangi jenayah dan menolak keganasan serta ekstremisme mestilah diberi perhatian yang serius bukan hanya oleh kerajaan, pasukan keselamatan tetapi juga masyarakat setempat dan pemimpin tempatan, yang mesti bersama memerangi jenayah, memerangi keganasan dan segala bentuk fahaman yang boleh membawa kepada keganasan," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan timbalannya, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan.

- Agendadaily.

 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik