Tuesday, February 16, 2016

KRISIS WARGA EMAS HARI INI DAN MASA HADAPAN.


EMPTY nest! Itu yang dihadapi oleh seramai 538,000 orang daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia hasil kajian oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2010. Tentu jumlahnya semakin bertambah ketika ini.

Saya percaya kalangan yang telah berusia 40 tahun dan ke atas, tentunya sudah mula terfikir bagaimana akan melalui usia-usia emas mereka nanti. Adakah mereka akan mengalami rasa sunyi dan sedih hidup sendirian kerana berjauhan dengan anak (empty nest)? Sekali gus menjadi sebahagian daripada mereka yang akan menambah peratusan daripada 23 peratus pada 2010 itu.


Ini krisis yang sudah dibayangkan walaupun mereka mempunyai anak. Apatah lagi bagi mereka yang tidak mempunyai zuriat sekalipun anak angkat. Atau pernah berkahwin tetapi bercerai dan tidak membela anak yang ada dalam perkahwinan.


Bentuk-bentuk keluarga yang ada pada hari ini memang bermacam-macam, seperti keluarga komuter, `sandwich’ dan touch n go. Sangat ketara bezanya berbanding (sekurang-kurangnya) 30 tahun lalu yang lebih seragam. Perubahan bentuk ini akan melahirkan kepelbagaian latar belakang warga emas pada masa akan datang. Termasuklah status bercerai dan bersendirian hingga akhir hayat.


Bagi yang mempunyai pendidikan dan pemikiran yang lebih terbuka, adalah sesuatu yang rasional untuk mendaftarkan nama sendiri di pusat-pusat jagaan orang tua. Atau sekurang-kurangnya meletakkan perkara berkenaan dalam senarai perancangan jangka panjang. Memang menyedihkan, tetapi realiti ini sudah meniti dalam pemikiran kalangan bakal warga emas.


Ia adalah persediaan supaya ketika meniti hari-hari tua, ada yang menyuap makanan lembut ketika tidak upaya untuk makan dan minum dengan sendiri, apatah lagi untuk menyediakan makanan. Kes seperti hidup sendirian sehingga meninggal dunia tanpa pengetahuan waris atau jiran adalah tragedi yang perlu dielak sama sekali.


Golongan yang menerima ihsan Allah SWT ini tidak seharusnya menempuhi waktu-waktu akhir mereka dengan penderitaan kesunyian dan kesedihan. Setiap diri kita akan melalui pengalaman sebagai insan tua sebelum nyawa berpisah jika Allah SWT mentakdirkan kepada kita usia yang panjang.


Kita dinasihati untuk membuat tabungan dan mencarum dalam takaful demi kelangsungan hidup semasa kita sudah tidak lagi produktif. Walau bagaimanapun, sampai di satu tahap wang tidak akan mampu menjadi alat bantu atau sokongan ketika manusia meniti alam uzurnya.


Yang diperlukannya adalah manusia lain yang mempunyai tenaga yang cukup kuat untuk mengurus jasad yang tua, sakit dan lemah.


Yang paling penting manusia yang menjaga itu perlu mempunyai hati seorang insan. Ini kerana ia akan melakukan tugas-tugas mengurus dan merawat dengan penuh hati-hati dan belas ihsan. Tentunya sangat menyedihkan jika anak yang perlu melakukan tanggungjawab berkenaan melaksanakannya dengan rasa terpaksa. Lebih malang lagi jika anak yang dilahirkan hanya membiarkan orang tuanya tanpa pembelaan dan penjagaan.


Apabila generasi muda dan yang bertenaga tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap generasi tua, maka generasi tualah yang akan menjadi mangsa keadaan. Senario ini boleh berulang jika manusia tidak dapat melihat penyemaian, penghayatan dan pemupukan nilai-nilai murni dan kekeluargaan sebagai pelaburan yang sangat asas dan penting dalam pembinaan tamadun manusia.


Kita telah melihat tentang pentingnya tabungan bagi memastikan warga emas dapat meneruskan sisa-sisa hidup mereka dengan lancar dan teratur. Kita juga tidak dapat mempertikai bahawa modal insan yang beriman dan berakhlak jiwanya adalah penggerak dan penyokong yang kuat kepada kehidupan warga tua.


Satu perkara lain yang amat penting bagi warga emas adalah tempat mereka berada. Dalam salah satu strategi pelaksanaan Dasar Keluarga Negara, daripada enam strategi yang dirangka, menyebut tentang penyediaan kemudahan sumber dan persekitaran yang mendayaupayakan keluarga. Melalui strategi ini, usaha untuk meningkatkan akses pelbagai sumber dapat dilaksanakan.


Ia dilakukan melalui perkongsian, pertukaran, pengumpulan dan peningkatan pelbagai sumber dengan tujuan untuk mengendalikan program, perkhidmatan dan sistem sokongan serta kemudahan yang bersifat mesra keluarga.


Membincangkan tentang krisis warga emas masa kini dan masa hadapan dengan melihat strategi tersebut, apa yang ada dalam fikiran saya adalah penyediaan tempat berlindung atau pusat jagaan yang istimewa kepada mereka.


Dengan jumlah yang dapat menampung warga emas yang memerlukannya. Bukan sahaja bagi keperluan semasa malah juga untuk masa akan datang menurut kepada andaian jumlah yang munasabah.


Sesuai dengan jangkaan bahawa Malaysia bakal mencapai status negara menua pada tahun 2030. Hanya kira-kira 14 tahun sahaja lagi dari sekarang. Tidak mustahil satu hari nanti ia akan menjadi tempat rehat untuk kita menghabiskan usia kita.


Saya mencadangkan agar di setiap komuniti termasuklah taman-taman perumahan yang hendak diwujudkan, supaya dibina sebuah tempat yang dikhususkan kepada warga emas bagi kemudahan golongan ini dan keluarga mereka.


Ini disekali dengan perancangan pembinaan masjid atau surau, taman permainan atau rekreasi, dan kemudahan-kemudahan lain yang lazimnya ada dalam sesebuah kawasan perumahan.


Semangat kesukarelawanan dan menyayangi warga emas perlu dipupuk dan dipertingkatkan kepada semua orang yang berdiam di atas muka bumi ini. Apa yang kita tanam pada hari ini, itulah yang akan kita tuai pada masa akan datang, dan apabila tiba masanya.

- utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik