Tuesday, March 1, 2016

DEMI KEPENTINGAN PARTI.


SELEPAS 18 tahun, kedudukan kerusi Timbalan Presiden UMNO sekali lagi menjadi perhatian apabila penyandangnya "berhadapan dengan masalah". Jika pada tahun 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerusi nombor dua parti itu, kelmarin Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mencatatkan sejarah sebagai Timbalan Presiden UMNO pertama digantung jawatan.


Sudah pastilah dalam situasi politik sekarang, tindakan itu membuka ruang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak yang tidak sebulu dengan kepemimpinan UMNO melancarkan "serangan" dan kritikan keras. Kenapa UMNO terpaksa bertindak sudah tidak lagi menjadi persoalan. Apa yang lebih utama kepada golongan berkenaan termasuk dalam kalangan segelintir pemimpin parti itu sendiri, tindakan tersebut dilihat tidak adil sehingga ada antara mereka menyifatkan ia "paku terakhir untuk keranda" UMNO.


Kita tidak boleh menafikan mahu tidak mahu, suka atau tidak, keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mencetuskan gambaran tidak baik kepada parti keramat orang Melayu itu. Apatah lagi ia secara langsung dikaitkan dengan kelantangan Muhyiddin mengkritik Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.


Muhyiddin menegaskan berkali-kali bahawa beliau berjuang atas nama kebenaran dan mahu menegakkan keadilan. Beliau juga menyatakan “saya adalah ahli UMNO totok", namun dalam melaksanakan "niat ikhlas" itu, beliau terlupa atau mungkin melupakan bahawa beliau adalah Timbalan Presiden UMNO.


Seperti mana ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan penggantungan Muhyiddin, keputusan dicapai secara sebulat suara selepas lebih dua jam mesyuarat berlangsung dengan semua ahli MT UMNO menyatakan pandangan masing-masing.


Tegas beliau, “Perilaku Muhyiddin tidak mencerminkan tanggungjawab beliau selaku Timbalan Presiden yang sepatutnya membantu Presiden dalam mengukuhkan parti, sebaliknya beliau melemahkan parti.”


Inilah perkara yang dilupakan oleh Muhyiddin kerana sebagai orang lama dalam UMNO, bekas Timbalan Perdana Menteri itu pasti memahami bahawa UMNO mendukung prinsip kebebasan bersuara dan tidak pernah mengekang mana-mana pemimpin untuk menyuarakan pendapat tetapi perlulah melalui saluran yang betul.


Bagaimanapun dalam tindak-tanduk Muhyiddin – perkara itu tidak berlaku. Beliau terus lantang secara terbuka mengkritik kepemimpinan parti dan membangkitkan isu-isu yang boleh melemahkan bukan sahaja UMNO tetapi juga Barisan Nasional (BN). Tindakan penggantungan adalah pilihan terakhir yang ada pada MT bagi memastikan tidak wujud bak kata orang, "dua kepala kereta api yang menyeret gerabak yang sama tetapi menuju haluan berbeza".


Begitulah juga UMNO, tidak boleh wujud percanggahan atau pendirian berlainan antara kepemimpinan tertinggi sehingga ia mengelirukan ahli dan rakyat, dan meletakkan UMNO dalam bahaya bagi mengekalkan kuasanya. Dalam memperkatakan perkara ini, perlu difahami bukan sahaja UMNO malah dalam parti-parti lain juga senario seumpama itu tidak dibiarkan wujud kerana ia akan memudaratkan parti.


Kalaulah UMNO dilihat tidak demokratik dan "sedang menuju kemunculan diktator baru" seperti mana dikatakan oleh Muhyiddin dalam kenyataannya, bagaimana dengan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu kerana mengkritik kepemimpinan Pas? Bagaimanapun pula dengan Mohamad Sabu yang ditolak oleh perwakilan bagi mempertahan kerusi Timbalan Presiden dalam pemilihan Pas pada Jun tahun lalu kerana dilihat "tidak sebulu" dengan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Itulah juga yang dilakukan oleh UMNO. Tambahan pula, ini bukanlah kali pertama UMNO berhadapan dengan "krisis" di peringkat Timbalan Presiden. Mengimbas kembali sejarah perjalanan UMNO, Tun Musa Hitam meletakkan jawatan pada tahun 1986, sebelum tewas kepada Tun Ghafar Baba dalam pemilihan pada tahun 1987. Pada tahun 1993 pula, kerusi Timbalan Presiden kembali panas, apabila Ghafar mengundurkan diri dengan penuh kekecewaan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar beliau bagi merebut jawatan itu. Dan pada tahun 1998, Anwar pula dipecat sebagai orang nombor dua UMNO.


Menjejas parti

Mungkin akan ada pihak yang berhujah, senario berbeza memandangkan ia bukan berkaitan kritikan ke atas pucuk pimpinan seperti mana dilakukan oleh Muhyiddin, tetapi perlu diingat Musa meletakkan jawatan kerana dikatakan tidak berpuas hati apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengekalkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam Kabinet, Ghafar pula berundur kerana merasakan beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan dalam UMNO manakala Anwar dipecat kerana dikaitkan masalah moral.


Inilah juga yang dipesan oleh Dr.Mahathir dalam ucapannya ketika ditentang oleh Tengku Razaleigh pada tahun 1987 yang antara lain beliau berkata;


“Ingatlah tidak ada seorang pun daripada kita, termasuk saya sendiri yang penting. Tidak ada seorang ahli UMNO atau pemimpin-pemimpin UMNO yang penting walau apa pun jawatan mereka. Yang penting ialah pertubuhan ini, UMNO sebagai sebuah badan untuk mengubah nasib orang Melayu. Tanpa UMNO tidak ada satu pun yang boleh dibuat oleh sesiapa daripada kita walau bagaimana bijak dan pintar orang itu.”


Kalau semua itu mahu disimpulkan ia menunjukkan peranan sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan harus "bersih" daripada segala-gala tindak-tanduk yang boleh menjejaskan parti. Apa guna Musa bertahan ketika beliau tidak boleh menerima keputusan Perdana Menteri melantik Tengku Razaleigh? Apa maknanya Ghafar mahu menjadi Timbalan Presiden kalau ahli-ahli parti sudah ada pilihan pemimpin lain? Apa ertinya UMNO dan kerajaan memiliki orang nombor 2 dilihat bermasalah?


Jelaslah segala-galanya berkisar soal keutuhan dan kestabilan parti. Begitulah juga dalam isu penggantungan Muhyiddin. Ahli Parlimen Pagoh itu dilihat sudah tidak lagi membawa inspirasi parti dan kerajaan serta tidak memainkan peranan sewajarnya sebagai orang nombor dua. Ketika masih menjadi Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin secara berterusan membangkitkan isu 1MDB yang ketika itu Perdana Menteri berjanji akan selesaikannya dalam tempoh enam bulan manakala soal derma RM2.6 bilion pula dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Malah menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Muhyiddin mengadakan "perhimpunan berasingan" untuk menyampaikan ucapan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.


Tindak-tanduk yang dianggap secara konsisten bertentangan dengan aspirasi kerajaan dan UMNO itu dijadikan bukti kepada Perdana Menteri dan UMNO untuk bertindak yang didahului dengan pengguguran beliau daripada Kabinet pada Julai tahun lalu. Ketika itu, masih ada kompromi oleh pucuk pimpinan parti apabila Muhyiddin tidak digantung atau dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO. Beliau masih diberi ruang bercakap di merata-rata tempat untuk menyampaikan "penentangannya". Malah penggantungan beliau pun hanya melibatkan kedudukannya sebagai "orang nombor dua" dalam UMNO, beliau masih kekal sebagai ahli UMNO menyandang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh dan Ahli Parlimen Pagoh.


Bagaimanapun itu bukanlah bermakna UMNO boleh berada dalam selesa. Penjelasan yang betul-betul terperinci perlu diberikan kepada ahli-ahli parti itu di peringkat akar UMNO. Ia seperti mana kata Penganalisis politik, Md. Shukri Shuib, “UMNO adalah sebuah persatuan dan semua ahli mengharapkan parti diurus dengan baik oleh ahli yang terpilih menjawat jawatan utama dalam parti. Pandangan dan juga tahap persepsi ahli perlu diberi keutamaan.”


Apa pun jika rentetan sejarah perjalanan UMNO mahu dikaji, tindakan ke atas Muhyiddin bukanlah dilakukan sewenang-wenangnya. Ia sebaliknya dilakukan selepas mengambil kira kepentingan dan keutuhan parti. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sepatutnya MT sudah lama mengambil tindakan ke atas Muhyiddin, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana penentangan ahli-ahli MT sendiri.


Dan kelmarin, ahli-ahli MT yang sama juga sebulat suara terpaksa menggantung Muhyiddin kerana selepas "berbincang hati ke hati", mereka perlu meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Ia memandangkan UMNO lebih penting bukannya mana-mana individu.

- Zulkiflee Bakae/29.2.2016.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik