Tuesday, March 1, 2016

MAHATHIR UMUM KELUAR UMNO LAGI.

Dr. MAHATHIR MOHAMAD mengumumkan keluar daripada UMNO dalam sidang


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini buat kali kedua mengumumkan keluar daripada UMNO kerana mendakwa perjuangan parti itu bukan lagi seperti dahulu.


Dr. Mahathir berkata, UMNO kini dilihat sebagai sebuah parti yang hanya memberi fokus kepada perjuangan mengekalkan pemimpin tertentu sekali gus membelakangkan perjuangan parti yang telah berakar sejak 1946.


Katanya, beliau akan menghantar surat rasmi berhubung tindakannya itu kepada Setiausaha Agung UMNO dalam masa terdekat tetapi menganggap perkara itu sebagai sekadar formaliti.


“Saya tidak boleh menjadi ahli bagi sebuah parti yang hanya berdedikasi untuk menyokong dan melindungi seseorang. UMNO dahulunya sebuah parti yang menentang Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.


“Saya berada pada fasa penubuhan UMNO dahulu dan saya tahu apa perjuangan parti. Saya mendedikasikan diri kepada UMNO walaupun pernah dibuang oleh Tunku Abdul Rahman,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.


Pada 19 Mei 2008, Dr. Mahathir pernah bertindak keluar parti yang pada masa itu dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap penggantinya itu.


Dr. Mahathir berkata, beliau akan menyertai satu gerakan teras tetapi tidak akan menyertai parti lain kerana hatinya masih bersama UMNO yang dahulu.


Beliau juga menafikan akan menubuhkan parti baharu memandangkan tindakan itu hanya menyebabkan rakyat keliru serta memecah-belahkan mereka.


Berhubung status isteri dan anak-anaknya dalam UMNO, Dr. Mahathir berkata: “Saya tidak boleh bercakap bagi pihak anak-anak tetapi Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mengikut saya meninggalkan UMNO”.


Berhubung langkah seterusnya, Dr. Mahathir berkata, beliau akan terus menyuarakan pendirian dan pendapat melalui gerakan teras berkenaan.


Ditanya adakah beliau berharap tindakannya keluar parti akan diikuti oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata: “Saya harap begitu tetapi saya tidak berbincang dengan sesiapa soal keluar UMNO ini.”


- UtusanOnline/29.2.2016.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik