Selain curcumin, kunyit mengandungi paras tinggi zat besi dan tahap sederhana vitamin B6 serta kalium. Semua vitamin dan mineral berkenaan adalah sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.

Curcumin, bahan aktif dalam kunyit memiliki kandungan antioksidan dan dikatakan amat kuat seperti vitamin C dan E. Kunyit adalah agen antiseptik dan antibakteria semula jadi dan berguna dalam pembasmian luka serta kesan terbakar.

Antara penyakit kanser yang boleh dirawat menggunakan kunyit ialah barah prostat dan payu dara. Bahan itu juga dapat mengurangkan risiko penyakit leukemia terhadap kanak-kanak.

Khasiat lain adalah boleh digunakan sebagai bahan antiradang, merawat masalah pencernaan dan hati, penyakit kulit serta luka. Kunyit juga boleh digunakan untuk menghalang proses penuaan dan membantu mengurangkan berat badan.

Dalam perubatan Cina, kunyit telah lama digunakan dalam rawatan kemurungan, melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Bagi masyarakat Melayu, kunyit diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu selepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah.

Di dalam perubatan Thai, bahan berkenaan digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.

Untuk menghasilkan jus, kunyit hidup hendaklah dibersihkan kulitnya dan direndam selama satu jam dengan dicampur sedikit garam untuk membuang getah. Kisar kunyit dengan lima gelas air. Tapis dan masukkan dalam botol kaca.

Jika terlalu pekat, tambah sedikit air lagi bersama asam keping serta sedikit madu. Simpan dalam peti sejuk. Minum suku cawan setiap pagi dan malam. Amalkan jus ini seminggu dua kali sahaja sudah mencukupi.
DR. NORZAIDI ZAKARIA