Thursday, May 12, 2016

ROH NASIONALISME UMMO TIDAH PERNAH PUDAR.


SELEPAS 70 tahun memayungi perjuangan orang Melayu, agama Islam dan tanah air sehingga memungkinkan negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957, UMNO kini berdepan realiti politik yang menuntut kepada persoalan relevansinya.

Mengupas persoalan penting itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa perjuangan UMNO kekal relevan dalam konteks ekosistem politik semasa tetapi parti berkenaan perlu bersifat inklusif.

Tidak terkecuali beliau turut menyentuh mengenai tindaktanduk bekas pemimpin UMNO yang kini bersikap seperti gunting dalam lipatan dengan menganggap kumpulan berkenaan sebagai bercakap tidak serupa bikin.

Apakah semangat dan roh nasionalisme orang Melayu sewaktu bangkit menentang Malayan Union suatu ketika dahulu masih lagi ada dalam jiwa orang UMNO kini?

HISHAMMUDDIN: Semangat dan roh nasionalisme kita serta ca­ra bagaimana kita meneruskan perjuang­an yang kita warisi ini tidak pernah pudar, cuma ca­ra bagaimana kita nak hadapi cabaran baharu itu mestilah disesuaikan mengikut landskap hari ini. Cabaran itu menuntut kita mengenal pasti apa yang parti UMNO dan kepemimpinannya perlu harungi supaya roh kesatuan dalam parti keramat UMNO ini dapat terus dipertahankan kerana bukan mudah untuk memastikan sebuah parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara bertahan sehingga ke hari ini.
Banyak parti di luar sana tidak dapat bertahan, tetapi Alhamdulillah UMNO sudah 70 tahun membuktikan apa jua tohmahan yang dilontarkan terhadap kita, sekurang-kurangnya kebijaksanaan dan cara kita memastikan sema­ngat yang ada ketika UMNO baharu dilahirkan dahulu ketika menentang Malayan Union, untuk menentang penjajah masih lagi membara, masih lagi relevan. Namun dalam konteks hari ini, bagaimana kita hendak membela nasib bangsa, ta­nah air dan agama kita mesti dite­ruskan dalam bentuk naratif baharu.
Dalam landskap global yang baharu, kalau kita bercakap pasal Islam, persepsi atau cara dunia melihat kepada Islam hari ini, menuntut UMNO melihat apa sebenarnya perjuangan kita untuk memastikan kesucian dan kemuliaan Islam itu dapat dipertahankan. Dunia melihat kita pada hari ini sebagai militan, melihat umat Islam segelintirnya ganas kerana dicemari oleh mereka yang merampas majoriti umat Islam, maruah kita banyak berkisar bagaimana kita dapat meneliti, mengharungi dan menyelami geopolitik di rantau ini.
Negara kita masih lagi dalam keadaan begitu strategik dan parti UMNO ini masih lagi relevan dalam konteks untuk membela dan memastikan tanah air kita tetap dapat kita pertahankan kedaulatannya dan orang Melayu tidak perlu apo­logetik. Menjadi teras dan tanggungjawab kita untuk membela orang Mela­yu yang mesti disesuaikan mengikut keadaan hari ini, di mana anak-anak kita sudah cerdik pandai, generasi yang telah diberikan pendidikan berkat perjuangan UMNO dan harapan mereka itu begitu menggunung. UMNO mesti memastikan harapan itu dapat diterjemahkan kepada kehendak mereka supaya rakyat terus menyokong kita.
Pada masa sama, kita mesti memaklumkan kepada orang ra­mai bahawa perjuangan kita dalam mem­bela orang Melayu, agama Islam dan tanah air tidak menjejaskan kaum dan agama-agama lain. Ini satu lagi perkara yang perlu kita hargai bukan sahaja kepada ahli UMNO tetapi masyarakat berbilang kaum di luar sana.
Ada pihak melihat, Malaysia sudah tidak perlu kepada parti berasaskan kaum dan bagaimana dengan pandangan sedemikian, kepemimpinan UMNO mahu memastikan parti ini terus relevan?

Dato’ Onn Jaafar dulu semasa menubuhkan UMNO berpandang­an jauh ke hadapan apabila beliau minta kaum-kaum lain menyertai UMNO. Hari ini cucunya yang berada pada kedudukan Naib Presi­den melihat sedikit sebanyak visi dan pendapat Dato’ Onn telah pun menjadi kenyataan dalam konteks Barisan Nasional (BN). Mungkin pada masa Dato’ Onn mengemukakan pandangan, orang Melayu belum bersedia tetapi kebijaksanaan, kepemimpinan dan visi beliau ketika itu sudah melihat bahawa sebagai negara yang majmuk, kita mesti inklusif dalam perjuangan.
Namun, kalau nak bawa balik ke zaman Dato’ Onn, itu mustahil, tetapi apa yang kita ada sekarang ialah BN, jadi kita perlu bekerja dalam kerangka BN. Alhamdulillah, sampai hari ini sudah 70 tahun, apa juga perkara yang kita perlu lalui sama ada dalam konteks perkaum­an, keagamaan atau perjuangan membela nasib orang Melayu, tidak sampai negara kita huru-hara atau kucar-kacir. Ini jauh berbeza de­ngan negara-negara Arab, yang walaupun Islam tetapi apabila diuji mereka gagal.
Saya rasa ini mesti ditekankan kepada orang ramai khususnya kepada ahli-ahli kita bahawa apa yang telah kita lakukan selama ini, dalam satu tahun kebelakangan ini, banyak negara yang masyarakatnya tidak majmuk, tak berbilang pun tidak dapat mempertahankan kedudukan negara mereka, tetapi kita sekurang-kurangnya sudah 70 tahun. Hari ini, kita dapat meraikan kewujudan UMNO yang menjadi naungan khususnya buat orang Melayu, Islam dan tanah air tetapi pada masa yang sama, kaum-kaum lain juga tidak boleh menafikan sumbangan UMNO kepada mereka.
Apa formula yang paling pen­ting untuk UMNO ini kekal relevan selepas melewati umur 70 tahun?

Inklusif. Bermakna kita tidak boleh hidup di bawah tempurung kita sendiri. Dalam dunia tanpa sempadan ini, kita kena pastikan bahawa apa juga yang kita lakukan mesti inklusif. Bermakna bahawa kumpulan-kumpulan tertentu sama ada orang muda, profesional, ahli akademik, guru-guru mahupun anggota keselamatan, mereka mesti diberi tempat dan ruang dalam perjuangan parti kita.
Jadi kalau nak pilih satu perkataan yang boleh merumuskan mengenai 70 tahun perjuangan kita ini ialah inklusiviti. Kalau kita seronok bersorak tetapi kampung tergadai untuk apa? Bersorak sesama kita sahaja tetapi orang luar tidak mendekati parti, syok sendiri sesama kita dalam UMNO sehingga akhirnya parti yang menjadi mang­sa, kerana rakyat diluar sana yang akan menentukan kelangsungan parti. Bukan kelangsungan diri kita sendiri, tetapi (ditentukan) di luar sana yang bukan ahli UMNO, bukan Melayu dan Islam tetapi mereka ada hak dalam masa depan negara.
Kelangsungan UMNO dewasa ini bukan sahaja dipengaruhi rakyat di luar sana tetapi daripada ancaman bekas pemimpin UMNO. Apa yang Datuk Seri boleh perkatakan me­ngenai cabaran ini?

Saya kecewa, kerana kita semua merupakan anak didik kepada bekas-bekas pemimpin sebelum ini. Ketika kita diserang (dahulu), masa itu kita diminta untuk beri sokong­an padu, kita diminta untuk mele­takkan parti sebagai keutamaan, kita diminta jangan emosi dan perlu rasional tetapi apabila ada bekas pemimpin yang sanggup ke­luar parti dan sanggup bersekongkol dengan pembangkang, yang pada masa mereka memimpin telah mendidik kita agar jangan sekali-kali duduk semeja dengan mereka ini, ia mengecewakan. Sekarang mereka melakukan perkara yang mereka minta kita jangan lakukan pada waktu dahulu.
Ini amat mengecewakan saya dan lari daripada prinsip perjuang­an kita. Selama ini kita dididik untuk meletakkan parti sebagai keutamaan daripada segala-galanya. Kadang-kadang, cakap tidak serupa bikin dan inilah yang menyedihkan. Kalau mereka merupakan ikon yang kita anggap seharusnya untuk dijadikan panduan tetapi pemimpin sama sekarang ini mela­kukan sebaliknya daripada yang diajar kepada kita sebelum ini.
Ada pandangan mengatakan UMNO kini terbahagi kepada Team A dan Team B. Bagaimana kepe­mimpinan hendak meyakinkan ahli dan orang Melayu di luar sana bahawa UMNO ini cuma satu dan tidak berpuak mengikut pasukan?

Saya tengok kalau nak dikatakan Team A dan Team B, sebelum ini lebih ketara sehingga UMNO diha­ramkan. Pemimpin ini datang dan pergi termasuk pengasasnya Dato’ Onn kerana mewujudkan partinya sendiri. Timbalan Presiden pun pernah dipecat. Timbalan Perdana Menteri juga pernah diketepikan jawatannya tetapi kelangsungan UMNO sebagai satu parti, sebagai sebuah institusi diteruskan. Itu melebihi daripada kumpulan-kumpulan tertentu, sama ada mereka menyatakan Team A atau Team B.
Bagi saya semua itu tidak pen­ting kerana apa yang lebih pen­ting ialah Team UMNO. Kalau Team UMNO ini meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, saya rasa itu tidak akan memecah atau menjejaskan kedudukan UMNO. Mungkin apa yang berlaku hanya boleh menjejaskan kedudukan individu ber­kenaan dan itu mereka kena pikullah risikonya sama ada masih di dalam atau di luar parti.
Gesaan kepada perpaduan antara UMNO dan Pas semakin kuat tetapi apakah hasrat tersebut mampu direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14?

Perpaduan ummah adalah sesuatu yang penting dan apa sahaja usaha yang boleh membantu kita ke arah memastikan kesatuan dan perpaduan itu saya sokong. Mungkin terlalu awal untuk meramalkan apa yang berlaku kepada Pas dan UMNO menjelang pilihan raya nanti tetapi usaha untuk menyatupadukan umat Islam perlu merentasi parti politik dan ini merupakan sesuatu yang kita tengok di luar sana, dituntut (oleh rakyat) sebenarnya untuk bersatu.
Saya secara peribadi melihat sendiri kepemimpinan di Asia Barat sebagai contoh apa yang berlaku di Syria, Iraq, Libya, Yemen dan Tunisia. Akhirnya rakyat menjadi pelarian, anak-anak mereka sudah tidak bersekolah sejak bertahun, pembunuhan dan peperangan berlarutan sehingga akhirnya mereka bangkit dan mula bersatu. Cuma, saya nak ingatkan kepada semua, takkanlah kita nak tunggu keadaan sampai begitu, baru kita nak bersatu?
Pertimbangan politik itu pertimbangan lain. Saya melihat dalam konteks perpaduan ummah. sebenarnya dunia menuntut kita bersatu dalam konteks Islam dan sekiranya UMNO dan Pas atau parti politik lain boleh dijadikan contoh Alhamdulillah. Pertimbangan politik itu satu aspek sahaja, tengoklah macam mana perkembangannya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik