Monday, June 27, 2016

MUHYIDDIN DAN MUKHRIZ KENA BUKTIKAN KATA2 MEREKA.


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu membuktikan kata-kata mereka dengan meletakkan kepentingan parti lebih utama daripada kesedihan individu dengan tidak menambahkan perbuatan merosakkan UMNO setelah dipecat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun beliau bukan orang yang selayaknya untuk menasihatkan Muhyiddin dan Mukhriz, ujian yang diterima merupakan medan terbaik untuk menilai perjuangan demi bangsa, agama dan tanah air kedua-dua tokoh berkenaan.

“Bukan tempat saya untuk menasihatkan mereka tetapi saya pegang kata-kata mereka bahawa parti itu lebih penting, yang mereka perjuangkan demi nasib bangsa, agama dan tanah air melalui parti.

“Kalau saya, saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan lagi parti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai langkah Muhyiddin dan Mukhriz yang membayangkan mereka mungkin akan terus berpolitik tetapi atas platform parti berbeza.

Terdahulu Hishammuddin menyampaikan sumbangan 1,000 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Ramadan Setiawangsa di sini hari ini.

Ditanya kesan pemecatan itu ke atas parti terutama UMNO Johor, Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata, keputusan Majlis Tertinggi tidak berkisar kepada sentimen kenegerian kerana semua pihak memahami pemecatan tersebut dibuat selepas mengambil kira permasalahan disiplin.

“Saya bersetuju sangat dengan pendirian Badan Perhubungan Negeri Johor. Isunya tidak berkisar kepada sentimen kenegerian kerana ia persoalan disiplin parti dan kalau sudah diputuskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi dan diterima perhubungan negeri, ertinya semua pihak memahami apa sebab keputusan itu dibuat,” katanya.

Utusan

 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik