Monday, June 27, 2016

MUHYIDDIN DAN MUKHRIZ SEDANG "BINCANG DAN TELITI" HALATUJU.

Apa lagi nak kata...Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang baru dipecat keahlian dari UMNO petang Jumaat, tampil dalam sidang media bersama petang Ahad menyuarakan azam meneruskan perjuangan politik mereka menerusi platform baharu.

Mereka tidak menjelaskan secara terperinci apakah bentuk platform politik itu, tetapi tidak menolak kemungkinan sama ada menyertai parti politik lain atau membentuk yang baharu.

"Secara tidak rasmi kami memang ada menerima tawaran daripada beberapa parti politik tetapi banyak perkara yang perlu diteliti.

"Saya dan Mukhriz akan membuat keputusan besar dalam sejarah perjuangan kami. Kami akan mengambil sedikit masa untuk membincangkan apakah halatuju kami dan apa yang harus dilakukan disebabkan kini tidak mempunyai apa-apa lagi platform politik.

"Kami perlu mengadakan perbincangan dengan tokoh-tokoh dan negarawan serta sahabat-sahabat yang ada kepentingan bersama apakah tindakan sewajarnya untuk menghadapi masa depan kita," kata Muhyiddin pada sidang media di Rumah Kelab Almuni Universiti Malaya dekat Petaling Jaya.

Kedua mereka dipecat oleh keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang Jumaat lalu kerana duduk sepentas dengan pata pemimpin pembangkang pembangkang menyerang kepimpinan dan parti.

Ia dikira satu kesalahan besar dari segi disiplin parti.

Mereka berdua antara lain hadir dalam himpunan Deklarasi Rakyat yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan didokong oleh pimpinan pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan Mat Sabu.

Ditanya bilakah beliau dan Mukhriz akan membuat keputusan berkenaan, Muhyiddin berkata ia mungkin memakan masa.

"Bukan senang untuk mewujudkan platform yang baharu. Tetapi rakyat yang sedang marah memang mengharapkan satu platform politik untuk mewujudkan pilihan supaya masa depan negara terus terpelihara.

"Pada hari ini saya dan Mukhriz mempunyai beberapa pandangan yang sama dan kami akan mengambil sedikit masa untuk memikirkan halatuju kami. Saya dan Mukhriz kini jadi ADUN dan Ahli Parlimen Bebas sementara kita fikirkan sesuatu," katanya.

Pada sidang media berkenaan Muhyiddin dan Mukhriz walaupun senada tidak akan merayu terhadap keputusan pemecatan itu, tetap mempersoalkannya.

Muhyiddin mendakwa keputusan memecat mereka dibuat tanpa melalui proses keadilan sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

"Untuk berlaku adil sepatutnya ada surat tunjuk sebab dikeluarkan meminta kami menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas kami ini. Tetapi kami tidak diberi peluang memberi penjelasan," kata Muhyiddin.

Mukhriz pula yang sebelum ini ditolak oleh pimpinan UMNO Kedah hingga mendorong peralihan kepimpinan negeri diambilalih oleh Datuk Seri Ahmad Bashah berkata beliau sudah menduga keputusan dipecat tetapi kecewa didakwa sebagai pengkhianat parti. 

Serentak dengan itu beliau cuba gertak dan perlekeh UMNO Kedah.

"Kalau saya benar-benar mahu mengkhianati BN, waktu saat-saat akhir saya pegang jawatan Menteri Besar saya masih mempunyai satu lagi pilihan, iaitu untuk mencadangkan agar DUN Kedah dibubarkan.

"Saya ingat kita semua boleh agak apa akan berlaku sekiranya Pilihanraya Negeri Kedah diadakan jika DUN Kedah dibubarkan.  Tentunya BN akan kecundang,"katanya.

."Ini satu amaran kepada UMNO Kedah - bersiap sedialah untuk menyerahkan Kerajaan negeri Kedah balik kepada PAS selepas ini," katanya. - Agendadaily.


 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik