Friday, August 26, 2016

"MEREKA HALAU KAMI MACAM ANJING KURAP"...


Penduduk Kampung Mutiara merayu mana-mana pihak untuk tampil membela nasib para setinggan yang bakal kehilangan tempat tinggal apabila pemilik tanah mengambil keputusan untuk merobohkan rumah mereka.

Salah seorang penduduk kampung tersebut Latipah Din, 56 ketika ditemui SuaraTV merayu agar pihak yang berkenaan bersimpati dengan nasib mereka yang bakal kehilangan tempat berteduh sambil mendesak supaya keadilan diberikan kepada mereka.

“Kami penduduk kampung Mutiara berasal dari penempatan dari kawasan tanah di Hotel Park Royal (kemudian di halau) untuk tinggal di atas bukit. Kemudian mereka nak hambat (halau) kami macam anjing untuk keluar dari rumah tanpa memberikan sebarang pampasan pun pada kami.

“Dimanakah kami, anak-anak dan ibu bapa kami akan duduk sekiranya rumah kami dirobohkan. Tolonglah bantu kami. Wahai tuan tanah bukalah hati dan mata kamu, kasihanilah kami penduduk kampung Batu Ferringhi. ” katanya kepada SuaraTV dengan nada yang penuh sebak, lewat malam tadi.

Menurut Latipah mereka telah mengambil keputusan untuk tetap mempertahankan kampung warisan tersebut sehingga ke titisan darah yang terakhir.

“Seandainya kampung ini dirobohkan (esok) kami akan lawan sehabis-habisan sehingga ke darah yang terakhir (kerana) kami tidak akan berganjak walau setapak sekalipun.

“Kami tetap akan berjuang dan pertahankan Kampung Batu Ferringhi kepada para dermawan bantulah kami dan anak-anak kecil ini, kemanakah mereka akan bersekolah sekiranya rumah mereka dirobohkan inilah permintaan dari kaum wanita di kampung Batu Ferringhi” ujarnya lagi dengan nada yang tersekat-sekat menahan kesedihan.

Kampung berkenaan yang terletak berhampiran lokasi pelancongan wujud sejak 1950-an dan menempatkan kira-kira 48 buah keluarga.

Sementara itu seorang lagi wakil penduduk, Ishamudin Saaid ketika ditemui menyelar tindakan pemilik tanah yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusian.

“Malam ini kami (penduduk kampung) mengadakan perhimpunan bagi menyatakan rasa tidak puas hati kami terhadap tuan tanah yang tidak berperikemanusian dan kami akan berhimpun untuk mempertahankan kampung kampung kami.

“Walau apapun yang terjadi kami tidak akan berundur dan akan berjuang sehabis-habisan. Hidup (kampung Melayu) Batu Ferringhi biar putih mata jangan putih tulang, lawan tetap lawan” jeritnya sambil diikuti dengan para penduduk kampung yang lain.

Para penduduk kampung yang berkumpul sejak petang tadi bagi menyuarakan nasib mereka yang diarahkan berpindah tanpa pampasan dan rumah ganti sambil menyifatkan kawasan itu bukan perkampungan haram kerana ia pernah mendapat pengitirafan dari kerajaan dan pernah mendapat anugerah Johan Kampung Terbaik di negeri ini.

Mereka turut mempersoalkan mengapa tiada usaha daripada kerajaan negeri untuk mewartakan perkampungan itu sebagai kampung warisan.  – SuaraTV

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik