Monday, August 15, 2016

PENTINGKAN RANGKA UTAMA SOLAT.


EMPAT mazhab utama yang menjadi ikutan umat Islam mempunyai persamaan jelas dalam mendirikan solat. Cuma yang menjadi perbezaan hanyalah dari segi pelaksanaan rukun solat. Ini timbul kerana wujudnya perbezaan pemahaman dan tafsiran ulama mazhab berkenaan terhadap hadis Rasulullah SAW berkenaan solat.

“Misalnya, permulaan angkat tangan dan letak tangan. Letak tangan ada banyak cara, ada yang letak atas dada, bawah pusat dan lain-lain. Semua cara itu berlandaskan hadis.

“Tetapi bila kita kata hanya pandangan kita sahaja yang betul. Misalnya, letak atas dada adalah kaedah nabi dan lain-lain itu bukan kaedah nabi, dan itulah yang akan menjadi konflik sesama umat Islam,” kata Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir ketika ditemui di Shah Alam.

Pendakwah bebas itu menjelaskan bahawa perbezaan sedemikian tidak seharusnya wujud sekiranya umat Islam berlapang dada dan meluaskan ilmu pengetahuan mereka tentang solat.

Umat Islam masa kini seharusnya menjadikan para ulama terkenal zaman dahulu sebagai teladan dalam menerima perbezaan pendapat. Contohnya, Imam Syafie ketika mengimamkan solat subuh di kawasan mazhab Hanafi.

Imam Syafie tidak membaca doa qunut atas alasan menghormati pendapat dan pandangan mazhab Hanafi. Ini kerana berdoa qunut pun ada dalil hadis dan yang tidak berdoa qunut pun ada dalil.

“Namun begitu, perbezaan sedemikian tidak seharusnya mengganggu fokus jemaah lain. Contohnya, memakai pakaian yang mempunyai gambar atau tulisan yang boleh mengundang fitnah.

“Samalah dengan nada bacaan yang terlalu kuat atau mendepa tangan terlalu luas ketika mengangkat takbir, walaupun perbuatan tersebut tidak akan membatalkan solat seseorang,” katanya.

Justeru, etika bersolat tidak hanya mematuhi syarat wajib, sah dan rukun solat tetapi perlu menitikberatkan aspek kewajaran agar tidak mengganggu fokus diri sendiri dan jemaah di sebelah.

Selagi rangka utama solat dipatuhi, kita seharusnya berlapang dada dan bersikap terbuka jika wujud perbezaan tertentu ketika solat berjemaah.

Antara contoh yang sering kita lihat adalah aspek rukuk. Ia bergantung kepada bentuk badan seseorang walaupun apa yang disarankan adalah kedudukan rukuk itu seperti sudut 90 darjah.

“Sudah tentu ia susah untuk mereka yang berperut boroi atau besar tetapi kedudukan rukuknya mesti lebih rendah daripada berdiri. Samalah dengan sujud. Sama ada turun tangan atau lutut dahulu, ada riwayat hadis Rasulullah SAW dan kita boleh guna kedua-duanya ketika hendak sujud.

“Semuanya itu hanyalah dari segi afdal atau tidak sahaja kerana masing-masing berdasarkan pemahaman dan tafsiran ulama terhadap hadis Nabi SAW,” katanya - utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik