Tuesday, September 20, 2016

BERSIH KUDA TUNGGANGAN PEMBANGKANG.

Pertemuan penganjur Bersih bersama Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang baru-baru ini.

Kumpulan Bersih kini seolah-olah menjadi kuda tunggangan pakatan pembangkang apabila gambar pertemuan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah bersama dengan pemimpin pakatan pembangkang tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, perjuangan Bersih sejak dahulu lebih cenderung kepada pakatan pembangkang dan kini motif sebenar mereka menganjurkan perhimpunan haram untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan semakin terserlah.

“Bersih bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bebas, dahulunya mereka menjadi kuda tunggangan DAP, kini menjadi alat politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula.

“Dahulu Dr. Mahathir yang sering dikecam di dalam perhimpunan Bersih, tetapi kini tiba-tiba Dr. Mahathir menjadi kawan mereka pula,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Melalui gambar yang tersebar hari ini, kelihatan Maria, bekas Pengerusi Bersih, S. Ambiga, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad serta pemimpin pakatan pembangkang yang lain mengadakan perjumpaan.

Difahamkan perjumpaan tersebut diadakan minggu lalu di kediaman Dr. Mahathir bagi membincangkan mengenai perhimpunan Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 November ini bagi menuntut Najib meletakkan jawatan.

Menurut Cheng Guan, Pendaftar Pertubuhan (ROS) perlu meneliti semula pendaftaran Bersih sebagai sebuah NGO kerana kumpulan tersebut kini bersekongkol dengan pakatan pembangkang.

“ROS perlu lihat adakah Bersih ini jalankan tugas sebagai sebuah NGO atau sebuah badan yang menjalankan kerja-kerja politik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, gambar yang tersebar itu boleh dijadikan bukti bahawa penganjur Bersih dan pakatan pembangkang sememangnya bersekongkol.

“Rakyat sudah pasti dapat menilai bahawa perhimpunan Bersih 5 itu tidak membawa faedah, tambahan pula ia turut didalangi pakatan pembangkang yang secara terang-terangan mempunyai agenda politik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, penglibatan pakatan pembangkang termasuk Dr. Mahathir dalam penganjuran Bersih dilihat sebagai perhimpunan yang bersifat dendam politik bekas Perdana Menteri itu untuk mengheret rakyat bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Kumpulan Bersih kini dilihat sedang diperkuda oleh kumpulan pemimpin politik pembangkang yang ketandusan idea,” tambahnya.

- Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik