Saturday, September 17, 2016

IBADAH HAJI BUKAN SEKADAR RITUAL.

SEBAHAGIAN daripada 1.5 juta umat Islam yang menunaikan haji tahun

BERJUTA-JUTA umat Islam dari serata dunia serta beribu–ribu umat Islam dari Malaysia kini berkumpul di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima dan yang terakhir iaitu menunaikan haji. 


Ibadah haji adalah wajib bagi setiap umat Islam yang mampu dari segi tahap kesihatan serta kewangan untuk menunaikannya dengan mengunjungi dan melaksanakan beberapa ritual di beberapa tempat di Mekah serta kawasan yang berhampiran dengannya pada musim haji iaitu pada bulan Islam, Zulhijah, bulan terakhir dalam kalendar umat Islam. Ibadah haji telah pun dilakukan semenjak zaman Rasulullah SAW lagi pada kurun ketujuh masihi. 


Namun, pakar sejarah Islam berpendapat, ibadah terbabit telah pun dilaksanakan lebih awal lagi semenjak zaman Nabi Ibrahim AS beberapa ribu tahun yang lalu. Dalam menunaikan fardu haji, pelbagai ritual yang perlu dilakukan oleh para jemaah bagi memenuhi syarat menunaikan fardu haji mereka seperti berihram iaitu mengenakan pakaian ihram dengan niat untuk haji, berwuquf di padang Arafah, bertawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, melontar batu di jamrah Aqabah, sai iaitu berjalan atau berlari-lari anak di antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, tahalul iaitu bercukur atau menggunting rambut sesudah selesai melaksanakan sai, dan lain-lain lagi sebelum melakukan ibadah akhir korban serta menyambut Aidiladha (Hari Raya Korban). 


Dalam melakukan segala aspek ritual yang dinyatakan adalah penting bagi para jemaah untuk memahami simbolik atau tujuan sesuatu ibadah ritual ketika menunaikan fardu haji itu dibuat. 


Para jemaah haji tidak boleh hanya melaksanakan segala ritual tanpa memahami dengan mendalam tujuan sesuatu ritual itu dibuat. Segala ritual yang telah ditetapkan melalui ibadah haji bertujuan melatih umatnya supaya menjadi lebih merendah diri serta pada masa yang sama dapat mendisiplinkan diri mereka.


Ketika ini, para jemaah haji juga dapat bertemu dengan jemaah haji dari serata dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, latar belakang serta bahasa serta menjalinkan hubungan silaturahim sesama mereka. Proses menunaikan haji juga menuntut umatnya supaya menjadi lebih bersabar, bertoleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.


Semua manfaat yang telah dinyatakan ini adalah perkara penting di sebalik proses amalan ritual yang perlu dilalui oleh para jemaah haji. Malangnya, hampir setiap tahun kita didedahkan dengan berita-berita yang menyedihkan yang melibatkan kemalangan yang berlaku ketika para jemaah sedang menunaikan haji. 


Kejadian seperti rempuhan serta laporan jemaah haji yang tercedera ketika melontar batu di jamrah sering kedengaran pada setiap musim haji. Perkara terbabit tidak akan berlaku sekiranya umat Islam khususnya para jemaah haji itu sendiri menghayati tujuan utama ketika menunaikan fardu haji serta memahami segala tujuan segala amalan ritual yang dilakukan.


Umat Islam khususnya para jemaah haji perlu mengamalkan budaya toleransi, hormat-menghormati, serta mempunyai sikap sabar yang tinggi ketika menunaikan fardu haji.


Tidak ada guna sekiranya mereka berjaya memenuhi segala syarat ritual ibadah haji tanpa memahami serta mengamalkan tujuan sebenar di sebalik amalan ritual yang dibuat.


Tidak dapat dinafikan, hampir setiap tahun jemaah haji dari Malaysia akan mendapat pelbagai pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi kerana mengamalkan sikap baik sepanjang proses menunaikan fardu haji.


Adalah menjadi kewajipan juga pada jemaah Malaysia untuk mengekalkan sikap baik mereka selama ini serta menjadi contoh teladan yang baik buat semua jemaah haji dari serata dunia. Semoga usaha kecil yang dibuat oleh para jemaah haji Malaysia dapat mengukuhkan lagi kekuatan umat Islam di seluruh dunia.


Semoga Allah SWT melindungi keselamatan semua jemaah haji yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini serta semoga mereka mendapat haji yang mabrur.

- Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik