Monday, September 26, 2016

JANGAN SEKEDAR MENGELUH TAPI TIDAK BERTINDAK.

SEJAK kebelakangan ini, pelbagai peringatan masuk ke dalam ruang WhatsApp me­ngenai pendaftaran pengundi. Ada yang berbentuk poster, seruan, peringatan, seloka pantun, puisi dan macam-macam lagi.

Jika ditolak hari ini, hanya tinggal empat hari sahaja lagi untuk mereka yang layak mendaftar sebagai pengundi yang sah.

Jangan menjadi ‘hantu’ apabila tiba hari mengundi semasa pilihan raya umum (PRU). Jika gagal berbuat demikian sehingga Jumaat ini, mereka yang layak mengundi tetapi belum mendaftar akan terlepas peluang untuk mengundi sekiranya PRU-14 berlangsung pada tahun hadapan.

Khabarnya, jika PRU berlangsung pada tahun 2017, hanya se­narai daftar pemilih yang dikemas kini sehingga bulan ini akan digunakan. Memang lumrah, ‘orang kita’ suka buat kerja pada saat-saat terakhir atau last minute.

Hakikatnya, urusan pendaftaran pemilih ini boleh dilakukan sepanjang tahun sejak 16 Julai 2002, bukannya selepas PRU Ke-13.

Selak masih ingat bagaimana suatu masa dulu pendaftaran pe­ngundi diadakan secara bermusim, setahun sekali selama antara 21 hingga 42 hari.

Bukan susah untuk mendaftar. Jika seseorang itu menganggap dirinya warganegara Malaysia, berumur 21 tahun daftarlah.

Sebaliknya jika menganggap dirinya bukan warganegara, sekadar menjadi ‘penumpang’ di dalam negara dan terasa diri masih bawah 21 tahun atau belum cukup umur atau hilang kelayakan disebabkan undang-undang yang berkuatkuasa, maka lupakanlah. Sampai waktu pilihan raya nanti, lihat sahaja orang mengundi.

Ketika itu, ‘cakap deras’ semasa kempen pun dah tak guna kerana tidak layak mengundi. Tidak mustahil, ada yang menawarkan diri sebagai calon pun tidak mendaftar sebagai pengundi.

Mungkin hanya pengundi yang sah layak untuk menawarkan diri sebagai calon. Pelik jika diri sendiri tidak boleh mengundi memilih diri sendiri kenapa diharapkan orang lain mengundi untuknya?

Menjelang hari-hari terakhir pendaftaran pemilih, kempen semakin hebat dilakukan. Sudah nampak pelbagai gerakan untuk menarik perhatian pengundi-pengundi baharu sama ada orang yang layak mendaftar tetapi lupa berbuat demikian atau mereka yang baharu mencapai usia 21 tahun.

Seolah-olah wujud provokasi pula. Sejauh manakah sambutannya? Kajian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada awal tahun ini, statistik rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah seramai 4.2 juta orang, dan 43 peratus atau 1.8 juta daripadanya adalah orang Melayu.

Kaum Cina dan India mencatat peratusan sebanyak 29 peratus (1.2 juta) dan 9 peratus (378,910). Jumlah ini jelas menunjukkan orang Melayu mencatat peratusan tertinggi yang belum mendaftar.

Adakah orang Melayu terlalu selesa dengan jumlah pengundi yang ada atau sudah tidak peduli siapa juga yang memerintah?

Tersebar nisbah jumlah pe­ngundi Melayu dan bukan Melayu tertinggal begitu jauh. Pada masa yang sama, jumlah Bumiputera Sabah dan Sarawak yang belum mendaftar sebagai pemilih turut menggusarkan apabila kajian menunjukkan hampir 300,000 orang belum berbuat demikian.

Semasa PRU-13 yang lalu, sebanyak 13 juta pengundi layak mengundi tetapi yang keluar mengundi sebanyak 11.5 juta atau 84.84 peratus. Ini juga salah satu masalah pengundi kita, yang tidak peduli untuk keluar mengundi.

Kenapa ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi? Jika SPR telah mengeluarkan angka itu pada awal tahun, adakah rakyat Malaysia masih mengambil sikap tunggu dan lihat untuk mendaftar? Kenapa?

Adakah mereka bosan dengan mainan politik berterusan sejak berakhirnya PRU-13? Rakyat semakin bercelaru melihat ‘kapal politik’ yang semakin ‘terumbang-ambing’ entah ke mana hala tujunya.

Mereka mungkin lupa, politik Malaysia perlu diselamatkan. Kapal politik tidak boleh dibiarkan tenggelam. Rakyatlah yang berhak menentukan perjalanan politik parti-parti di negara ini melalui kuasa undi.

Kuasa mengundi bukan terbatas kepada anggota parti sahaja sebaliknya terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak mengundi.

Daftar dahulu, siapa yang mahu diundi, tunggulah sehingga tiba hari PRU.

Tidak dinafikan ada parti politik yang begitu agresif mendaftar pengundi. DAP contohnya. Menyelak kembali pengalaman semasa bertugas di Pulau Pinang, ketika berlangsung siri Tanjong (I, II dan III) untuk menawan Pulau Pinang, DAP sering melakukan kempen mendaftar pengundi. Banyak program yang diatur.

Aktiviti itu diteruskan sehingga ke hari ini bagi memastikan setiap orang mendaftar sebagai pengundi.

Dalam kempen itu, mereka menyasarkan jumlah tertentu untuk mendapat pengundi baharu berdasarkan kekalahan jumlah undi yang diperoleh semasa PRU. Bukan setakat memastikan mereka menjadi anggota parti tetapi juga sebagai pengundi yang akan memilih parti semasa PRU.

Parti politik sama ada yang memihak kepada kerajaan atau sebaliknya perlu memainkan peranan lebih aktif. Bergerak untuk menemui mereka yang layak sebagai pengundi, bukannya menunggu pengundi datang ‘mengetuk pintu’ parti.

Agak menghairankan bagaimana masih ramai anggota parti tidak mendaftar sebagai pengundi yang sah.

Adakah parti politik hanya sibuk dan kalut mendaftar anggota baharu sehingga melupakan tanggungjawab yang lebih besar untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi?

Mungkinkah kesedaran untuk mendaftar sebagai pengundi hanya muncul menjelang setahun dua PRU berikutnya?

Pilihan Raya Kecil (PRK) juga boleh datang pada bila-bila masa dalam tempoh tiga tahun selepas PRU. Tidak perlu menunggu saat akhir untuk mendaftar. Kalau selepas PRU-13, seseorang itu baharu menjangkau usia 21 tahun, adakah individu berkenaan dibiarkan tidak mendaftar sebagai pemilih sehingga tiga tahun berikutnya? Pelbagai pihak selain parti politik perlu berusaha me­ningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai pemilih.

Tidak guna sekadar mengeluh tetapi tidak bertindak. Tidak guna mencemuh tetapi kurang membina. Dalam isu pengundi Melayu ini, Selak tertarik dengan pantun Undi nukilan Yusoff Mat dari Kuala Kangsar.

Beberapa rangkap pantunnya adalah seperti berikut : Disambar kilat henti nadi, Umpama bunga jatuh layu, Sedih lihat daftar pe­ngundi, Ramai Cina dari Melayu; Ciongsam putih pakaian nyonya, Sari ungu pakaian India, Melayu masih besar egonya, Konon Me­layu tak hilang di dunia; Dari dulu tinggal di Kuah, Jual baja membeli padi, Duhai Melayu semangat Tuah, Kerah semua daftar pe­ngundi.

Elok juga direnungi bait-bait puisi Melayu karya Usman Awang. Selak cuma mengambil beberapa bait tertentu untuk dijadikan renungan bersama terutama dalam kalangan orang Melayu.

“Malangnya Melayu itu kuat bersorak, Terlalu ghairah pesta temasya, Sedangkan kampung telah tergadai, Sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual; Meski telah memiliki telaga, Tangan masih memegang tali, Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali, Melayu itu masih bermimpi, Walaupun sudah mengenal universiti, Masih berdagang di rumah sendiri; Jadilah bangsa yang bijaksana, Memegang tali memegang timba, Memiliki ekonomi mencipta budaya, Menjadi tuan di negara merdeka.

Adakah sikap ego Melayu tak hilang di dunia menjadi punca pengundi Melayu liat atau lupa diri untuk mendaftar?
Oleh: Hassan Mohd Noor.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik