Saturday, September 17, 2016

JENAZAH DATO DR HARON DIN DIKEBUMIKAN DI SAN FRANSISCO..


KEMASKINI 5.40 PM Gambar Allahyarham dipercayai antara yang terakhir dirakamkan di dalam Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din yang meninggal dunia di  Hospital Stanford San Francisco, California, Amerika Syarikat  jam 10.10 pagi Jumaat, waktu Malaysia akan dikebumikan di sana.
Anak perempuannya Dr Huda Haron memberitahu mereka asalnya meneroka beberapa pilihan  termasuk untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

"Semua pilihan ada pro dan kontranya bukan mudah kami membuat keputusan. Hati amat berat. Kami memilih untuk menguruskan jenazah baba (Dr Haron) dengan sempurna dan cepat.
"Baba berpesan beberapa kali kepada kami di mana dia menghembuskan nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumi baba di California,"ujarnya.


Anak Dr Haron Din, Dr Huda Haron (tengah) baru sempat menjamah makanan selepas melalui malam yang panjang di Hospital Stanford San Francisco, California, Amerika Syarikat. Beliau ditemani keluarga dan rakan-rakan berusaha menguruskan jenazah Allahyarham untuk disemadikan secepat mungkin.

Di peringkat awal berita kematian Dr Haron tersebar, keluarganya ada meminta kerajaan melalui Wisma Putra membantu membawa pulang jenazah. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sanggup menyediakan jet jika keluarga mahu membawa pulang jenazah.

Bagaimanapun selepas berbincang panjang. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu dia dimaklumkan keluarga Allahyarham membuat keputusan untuk kebumi di sana.
Allahyarham bertolak ke Amerika 10 September lalu untuk pembedahan injap jantung  di hospital berkenaan.

Beliau sebelum ini pernah jalani rawatan di hospital itu  pada tahun 2012.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan pada mulanya keluarga Allahyarham mahu membawa pulang jenazah, di mana Wisma Putra diminta menguruskannya namun prosedur di negara berkenaan tidak membenarkan jenazah diterbangkan melainkan semua cecair dalam badan disedut keluar dan diawetkan. Keluarga memilih untuk tidak sakiti jenazah dan dikebumi di San Francisco.

Datuk Seri Najib Razak antara pemimpin negara yang paling awal mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Melalui akaun facebook dan twitternya PM berkata "Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tuan Guru Haron Din telah kembali ke rahmatullah, Kita kehilangan tokoh Islam yang banyak berjasa.

"Saya rapat dengan beliau, kami inginkan Malaysia menjadi negara Islam yang makmur. Moga roh Allahyarham Haron Din dikurnia husnol khotimah dan Al-jannah. Al-Fatihah",tulisnya sebentar tadi.
Kesihatan Dr Harun Din amat ketara menurun. Badannya lebih kurus dari biasa kerana hanya tinggal satu injap jantung yang berfungsi, beliau cepat penat dan berlepas di Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan di Hospital Stanford San Francisco 10 September lalu.


Agendadaily difahamkan gambar yang dirakam ini merupakan antara gambar terakhir Allahyarham yang diambil ketika beliau menerima sumbangan untuk masjid di Bangi di mana beliau merupakan penaunganya pada pagi 10 September sebelum berlepas ke Amerika Syarikat.

Allahyarham dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan.

Beliau dibesarkan dalam kalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.

Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor.

Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah menerima hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperoleh M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Kaherah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985). Pada tahun 1986 beliau dinaikan pangkat Profesor.

Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB; Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia; Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti; Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd; Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis; dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Dalam politik beliau menjawat pelbagai jawatan dalam PAS sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983); Ketua Penerangan PAS Pusat; Ahli Majlis Syura Ulamak PAS; Timbalan Mursyidul Am PAS dan yang terakhir ialah Mursyidul Am PAS hingga ke akhir hayatnya.

- Agendadaily.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik