Saturday, September 24, 2016

FAHAMI HAK BUMIPUTERA,

melayu_malaysia_klcc_600Oleh Dominic Chia

Meskipun dikenali Bangsa Malaysia, rakyat tetap terbahagi mengikut pelbagai kaum dan agama. Sesungguhnya, sukar bagi seorang warga Malaysia untuk bebas daripada perasaan syak wasangka dengan kaum dan penganut agama lain.

Namun begitu, penyelesaian terbaik bagi mengawal perasaan syak wasangka tersebut adalah dengan mengibaratkan diri anda sebagai anggota kaum atau penganut agama lain yang anda ada persepsi negatif terhadapnya. Dengan cara ini, dipercayai, seseorang itu boleh menyelami perasaan jati diri sesuatu kaum dengan lebih baik.

Kegagalan sistem pendidikan aliran tunggal

Oleh sebab itulah, Kementerian Pendidikan bertungkus-lumus mempromosikan sekolah aliran tunggal di Malaysia. Namun, pelaksanaan sistem persekolahan tersebut tidak dapat direalisasikan sehingga kini kerana tidak dipersetujui oleh beberapa parti politik dan pertubuhan berasaskan ras.

Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna bahawa sekolah-sekolah jenis kebangsaan tidak menggalakkan murid-muridnya bercampur dengan kaum lain. Malahan, sukatan pelajaran sekolah-sekolah tersebut sering menekankan nilai-nilai murni yang mengutarakan perpaduan dan integrasi sosial.

Kaum bukan Melayu harus memahami Perlembagaan

Begitu pun, kaum bukan Melayu harus memahami bahawa hak-hak istimewa kaum Melayu atau pun Bumiputera, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, termaktub dalam kontrak sosial yang dirangka pemimpin kaum masing-masing 60 tahun lalu. Kontrak sosial inilah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan.

Kontrak sosial asas Perlembagaan

Sebelum terbentuknya kontrak sosial, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatau atau Umno yang diterajui Datuk Onn Jaafar menentang hebat pembentukan Malayan Union oleh British pada tahun 1946. Lantaran itu, Umno berjaya mematahkan niat penjajah itu. Kejayaan tersebut memberi laluan kepada Raja-raja Melayu, Umno dan gabungan parti bukan Melayu membuat persiapan untuk kemerdekaan.

Pengorbanan kaum Melayu

Kaum bukan Melayu harus ingat bahawa kewarganegaraan yang mereka nikmati adalah pengorbanan penting kaum Bumiputera kepada mereka. Oleh itu, sebagai balasan bagi pengorbanan tersebut, kaum Bumiputera diperuntukkan dengan hak-hak istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memahami hak istimewa Melayu

Oleh hal yang demikian, adalah penting bagi golongan bukan Melayu untuk mengetahui apakah hak istimewa kaum Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan tersebut dan seterusnya mempertimbangkan semula, sejauh manakah sebenarnya, mereka bebas bersuara mempersoalkan hak kaum Melayu.

Menurut Perkara 3 Perlembagaan, Islam adalah agama Persekutuan. Namun, Perkara 3(1) membenarkan agama atau kepercayaan lain diamalkan secara aman di seluruh negara.

Justeru, kedudukan agama Islam diperkukuhkan lagi dengan Perkara 11(4). Menurut Perkara tersebut, jabatan-jabatan penguatkuasa agama di peringkat negeri diberi kuasa untuk mengawal dan menyekat penyebaran kepercayaan atau agama lain dalam kalangan umat Islam, khususnya orang Melayu.

Selain daripada itu, Perkara 8(4)(f) menjelaskan Rejimen Askar Melayu Tentera Diraja Malaysia hanya untuk orang Melayu. Jika kita menyorot kembali sejarah, Rejimen Askar Melayu ini ditubuhkan pada tahun 1933. Pasukan tentera yang hanya terdiri daripada kaum Melayu itu memerangi tentera Jepun dan komunis pada zaman 40-an. Oleh itu, sebagai mengenang jasa mereka, Rejimen Askar Melayu dikekalkan hanya untuk kaum Melayu.

Manakala, Perkara 89 memperuntukkan hak Melayu keatas Tanah Rizab Melayu dan Perkara 152 pula memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Meskipun bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain dibenarkan untuk dipelajari tanpa sebarang halangan. Bagi menjamin hal ini, kerajaan masih lagi membina sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Malah, sebahagian daripada sekolah-sekolah tersebut merupakan sekolah bantuan penuh kerajaan.

Di samping itu, Perkara 153 menjamin kuota berkenaan dengan perkhidmatan dan permit bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Tanggungjawab bersama Melayu dan Bukan Melayu

Sesungguhnya, perpaduan dengan hak sama rata bagi semua rakyat Malaysia adalah mustahil. Perpaduan yang diamalkan di negara ini dikenali sebagai perpaduan dalam kepelbagaian berlandaskan kontrak sosial yang kini merupakan undang-undang tertinggi ataupun Perlembagaan Persekutuan.

Oleh hal yang demikian, masyarakat bukan Melayu harus menghayati kandungan Perlembagaan Persekutuan khususnya yang berkaitan dengan hak istimewa kaum Melayu atau Bumiputera dengan membayangkan diri mereka sebagai kaum Melayu. Malah mereka juga harus mengetahui mengapa dan bagaimana kontrak sosial dirangka 60 tahun lalu.

Namun begitu, kaum Melayu bertanggungjawab untuk memahami cabaran yang sering dihadapi oleh masyarakat bukan Melayu khususnya generasi muda, dalam menjalani kehidupan harian. Lebih-lebih lagi dengan gelaran “kaum pendatang” yang dilemparkan oleh sesetengah pihak. Kaum Melayu juga harus ingat bahawa kaum bukan Melayu inilah antara faktor terpenting kewujudan hak istimewa Melayu.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik