Sunday, September 25, 2016

MENGEKANG SERANGAN CYBER TERHADAP MCDONALD'S.

UNTUK kesekian kalinya, McDonald’s terpaksa berdepan dengan serangan siber. Ada tuduhan melulu mengenai produk kopinya, kemudian muncul pula dakwaan mengenai Ice Blended dan Burger Quarter Pounder dengan Cheese.


Pada 2014, jenama restoran Amerika Syarikat ini dikaitkan dengan Zionis Israel, maka orang ramai diseru memboikot produk makanannya. Ketika itu, Israel mengebom Gaza.


Ramai juga yang percaya terutama di negeri-negeri Pantai Timur. Kebanyakannya tidak mahu pula menyiasat kesahihan atau kewajaran dakwaan yang viral bak 'padang lalang kering terbakar'.


Tidak cukup dengan boikot, kakitangan McDonald’s diancam dan dikasari secara fizikal, serta bangunan dibaling batu. Tahun 2014 tercatat sebagai sejarah terburuk McDonald’s Malaysia.


Masalahnya ketika itu, tiada siapa mahu tahu atau bertanya bahawa francaisi McDonald’s di Pantai Timur terdiri daripada usahawan Bumiputera. Kenapa sanggup menganiaya begitu sekali?


Antara tuduhan serius ketika itu ialah McDonald’s bersubahat dengan Zionis kerana memperuntukkan dana daripada royalti francais untuk disumbangkan kepada pergerakan Zionis berpusat di Amerika Syarikat. Pernyataan ini pantas merentap semangat orang ramai yang sangat bersimpati dengan nasib malang penduduk Palestin.


Malangnya, tuduhan itu tidak tepat. Dalam kenyataan rasmi di laman web McDonald’s Malaysia, syarikat itu menegaskan ia tidak menyalurkan hasil jualan, keuntungan atau royalti daripada restoran-restorannya untuk menyokong sebarang bentuk kempen bersifat politik atau konflik yang berlaku di mana-mana negara di dunia.


"Tiada kebenaran dalam sebarang dakwaan yang menyatakan sebaliknya. Sebahagian besar daripada pulangan perniagaan di Malaysia disalurkan semula untuk mengembangkan lagi perniagaan serta ekonomi di Malaysia. Pada 2014 sahaja, dijangkakan hampir RM185 juta akan dilaburkan untuk membuka 22 restoran baharu dan mengubah suai 29 restoran di Malaysia,’’ kata McDonald’s Malaysia.


Malah, sejak ditubuhkan tiga dekad lalu, McDonald’s meletakkan elemen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai keutamaan, khususnya menerusi Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.


RMCH telah menyumbangkan lebih RM11 juta untuk membantu lebih 20,000 kanak-kanak yang kurang bernasib baik selama lebih 24 tahun. Kempen Prosperity Gives Back (PGB) pula menyumbangkan lebih RM900,000 kepada pelbagai rumah kebajikan sejak tahun 2011. Selain daripada itu RMHC juga menawarkan biasiswa, bilik deria bagi kanak-kanak istimewa, menaja pembedahan sumbing bibir dan lelangit serta mengendalikan rumah RMHC di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), khusus untuk keluarga yang kurang berkemampuan agar dapat tinggal secara percuma sementara anak-anak mereka mendapatkan rawatan.


Hakikatnya, gesaan memboikot restoran dan produk McDonald’s hanya berlaku di Malaysia. Negara lain tidak wujud gesaan sedemikian. Kita sahaja buat begitu. Maklumlah, nak pergi berperang di Gaza tidak berani. Cara mudah, boikot produk. Tetapi wajarkah berbuat demikian tanpa mahu mendapatkan jawapan McDonald’s Malaysia?


McDonald’s® adalah punca rezeki untuk lebih 12,000 kakitangan, di mana lebih daripada 85 peratus adalah beragama Islam.


2 Sebanyak 67 restoran dimiliki dan diusahakan oleh 27 francaisi tempatan, yang 40 peratus sehingga 50 peratus daripada mereka adalah berketurunan Melayu yang beragama Islam.


McDonald’s® turut memberi peluang perniagaan kepada lebih 50 pembekal tempatan yang juga turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 2,500 anak-anak tempatan.


Berdasarkan fakta di atas, tidakkah tindakan memboikot hanya menepati perumpamaan lama 'marahkan nyamuk, kelambu di bakar’?


Serangan siber paling terkini, tidaklah sampai ke tahap tahun 2014 tetapi belajar daripada pengalaman lepas, McDonald’s Malaysia berpendirian 'perlu memberi reaksi’. Cuma, tuduhan kali ini berakar-umbi dari Amerika Syarikat tetapi telah viral di Malaysia.


Alkisahnya, huzlers yang dikenali sebagai portal berita palsu bertujuan untuk ‘mengenakan’ orang telah menerbitkan berita kononnya, kilang daging McDonald’s di Oklahoma City, Washington didapati menyimpan daging manusia!


Termenung seketika selepas membaca berita ini pada halaman Facebook. Mahu sahaja nasihatkan sahabat tersebut agar menyiasat kesahihan berita itu sebelum berkongsi berita itu di laman Facebooknya. Tetapi disebabkan Merrepak bukan polis Internet, maka saya teruskan bacaan kepada isu Brangelina.


Mungkin, budak sekolah rendah membaca pun sekali tentu akan ketawa membacanya kerana ia menggambarkan ada produk daging manusia dalam burger. Tetapi disebabkan yang menyebarkan berita ini orang dewasa, wujud keperluan untuk berasa sedih. Teknik periksa kesahihan nampaknya tidak diamalkan di dalam Facebook.


Mengulas mengenainya, pengurusan McDonald’s Malaysia berkata, insiden yang dilaporkan tidak pernah berlaku di mana-mana cawangan McDonald’s di dunia.


“McDonald’s Malaysia menggesa orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berfikir secara rasional sebelum berkongsi atau mempercayai dakwaan-dakwaan yang dikemukakan dalam talian,” katanya.


Sebenarnya, bukan McDonald’s sahaja yang terkena. Semua jenama Amerika Syarikat yang dikomersialkan di Malaysia turut dilanda badai serangan siber. Masalahnya orang terlalu cepat percaya, terlalu pantas membuat penghakiman tanpa mahu menyemak kesahihan. Sesekali kenalah periksa. Cubalah. Tidak rugi apa-apa pun.

- Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik