Sunday, September 25, 2016

PENDIRIAN POLITIK YANG SERING BERUBAH.

Walaupun politik dikatakan is an art of possible (suatu cara yang membolehkan), isu integriti tetap berbangkit. Apatah lagi ia berlaku dalam kalangan ahli politik orang Islam. Dulu cakap lain dan sekarang buat lain atas isu-isu yang pokok dan utama. Istiqamah dalam mengambil pendirian politik menjadi pertikaian. Ia sedang membudaya dan bakal memberi kesan kepada perpaduan ummah apalagi generasi penerus. Dulu jadi musuh ketat dan kini setiap justifikasi dicari untuk mengesahkan pendirian baru, dan pendekatan baru adalah yang terbaik dan benar.


Sejak pertemuan Mahathir-Anwar pada 5 September lalu pelbagai analisis diberi. Sikap pro dan kontra suatu perkara adalah biasa. Fokus terhadap Anwar timbul semula. Isu pembebasannya semakin lantang dibicarakan. Ia menjadi syarat PKR untuk bekerjasama dengan parti baru pimpinan Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yasin di samping agenda reformasi diteruskan. Bekas Timbalan Perdana Menteri menyatakan sekiranya mereka mendapat kuasa politik baru menggantikan Barisan Nasional isu pembebasan Anwar akan menjadi agenda penting.


Kenyataan itu tidak pelik bagi orang politik berkepentingan seolah-olah mempunyai pendirian pemenjaraan Anwar tidak sah dan tidak melalui proses yang betul. Semasa beliau dalam Kabinet perkara itu tidak berbangkit. Khalayak membuat kesimpulan kenyataan politik bukan kenyataan pentingnya mempertahankan undang-undang dan pelakuan pesalah yang berlaku di luar batas moral.


Sistem perundangan dipersalahkan dan pihak yang bersalah dijadikan umpan untuk membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diterima sebagai regu Pakatan Harapan seolah-olah pesalah tidak bersalah. Yang bersalah dan dihukum tetap bersalah dan hukuman perlu dilalui. Kalau ia menjadi modal politik atau di bawah pengaruh politik konsep pengasingan kuasa undang-undang (judiciary) dan kuasa politik (executive) tidak akan berlaku. Ia menyalahi perlembagaan negara. Walaupun Mahathir menyatakan pertemuan dengan Anwar belum lagi pertemuan damai setelah berbalah lebih 18 tahun tetapi kenyataan Mahathir bahawa kalau boleh berjumpa Lim Kit Siang mengapa tidak dengan Anwar adalah suatu justifikasi politik.


Isunya lebih 20 tahun Mahathir mengecam DAP dan mendidik orang UMNO benci DAP dengan menggelar pemimpin DAP adalah rasis atau perkauman. Apakah label itu sah atau valid hanya pada masa lalu dan tidak sah pada masa kini semata-mata kerana muslihat politik mahukan kuasa.


Mahathir menyatakan ia boleh bekerjasama dengan Anwar untuk suatu pasukan pembangkang yang kuat menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO dan Barisan Nasional. Isu yang berbangkit dalam kalangan keluarga Anwar, sesetengah penyokong PKR dan PAN. Apakah Mahathir sudah meminta maaf kepada Anwar, keluarga dan masyarakat bahawa tindakan memenjara Anwar dalam kes itu silap?


Persepsi

Kenyataan ini yang ditunggui oleh Anwar selari dengan dakwaan Anwar bahawa berlaku konspirasi pada tahap tertinggi untuk menjatuhkannya dari kedudukannya dulu. Pada pandangan penulis kedudukan politik satu perkara dan tuduhan terhadap rasuah dan liwat suatu perkara. Seperti kata Mahathir dulunya adalah mustahil konspirasi boleh terjadi kerana ia melibatkan banyak pihak.


Kalau Mahathir kesal tindakannya terhadap Anwar, kesannya lebih buruk terhadap integriti Mahathir sendiri. Masyarakat akan membuat tanggapan bahawa kuasa politik termasuk campurtangan terhadap urusan mahkamah dan ia suatu penghinaan terhadap mahkamah. Hal yang sama dilakukan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan, sahabat baik Mahathir yang membuat kenyataan bercanggah dengan semangatnya semasa dalam UMNO bahawa DAP bukan parti “cauvinis” dan beliau tidak terlibat dalam menghasilkan buku “50 dalil mengapa Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri” dan menganggap ia suatu persepsi.


Orang menyokong Mahathir hari ini bukan kerana kebenaran. Tiba-tiba pelbagai penafian terjadi seolah-olah hal-hal yang berkait dengan Anwar mereka mahu lepas tangan ibarat merestui langkah Mahathir berbaik-baik dengan Anwar atas muslihat politik peribadi. Sikap dulu cakap lain sekarang buat lain amat bercanggah dengan ajaran Islam. Politik berkepentingan tidak harus mengatasi lipatan sejarah lalu yang diketahui oleh semua semata-mata kerana mencari dalih terhadap suatu muslihat.


Politik bermuslihat tidak akan berakhir dengan berkat. Muslihat itu akhirnya akan kecundang dan cita-cita menjatuhkan orang lain akan gagal. Ia adalah takdir zaman kerana sifat sejarah mengulangi. Tidak mudah membina kesatuan berorganisasi sekiranya asas pembentukannya berada dalam kompas politik yang tidak terarah. DAP dan PAS gagal meneruskan tahalluf siasinya kerana kompas perjuangan kedua-duanya sering diibaratkan tidur sebantal mimpi lain-lain.


Kini PAN menggantikan Pas bersama dengan DAP. PAN terdiri daripada kepimpinan dan ahli Pas dulu didukung juga oleh tokoh-tokoh IKRAM dan ABIM yang hala tuju perjuangannya tidak boleh meninggalkan Islam. Apakah akhirnya DAP boleh bersetuju dengan hala tuju perjuangan ini atau kompas politik DAP dan PAN akan bertembung juga akhirnya. PKR juga mempunyai masalah dalaman yang tidak mudah dileraikan. Anwar Ibrahim masih belum mampu meleraikan hal-hal yang berbangkit dengan Kumpulan Dr. Wan Azizah dengan kumpulan Datuk Seri Azmin Ali. Ia ibarat api dalam sekam dan menunggu masih untuk menyala.


Pas masih dengan sikapnya untuk bersendirian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Kemenangan Pas dalam PRU-13 dulu sebahagiannya adalah dukungan PKR dan DAP seperti juga dukungan Pas menyebabkan DAP dan PKR memenangi banyak kerusi. PPBM sebagai parti baru belum ada momentum lagi. Soal pertandingan tiga penjuru merisaukan DAP, PKR PAN dan PPBM. Memujuk Pas kembali dalam Pakatan Harapan ada banyak kerenahnya.


Takdirnya Sabah melakukan pilihanraya negeri awal tahun depan dan PRU-14 menyusul tidak lama selepas itu adalah strategi bijaksana bagi UMNO/Barisan Nasional. Pas semacam memberi laluan yang lebih terbuka untuk BN menang lebih bergaya. Inilah yang sedang menjadi pertimbangan Mahathir dan Muhyiddin untuk muncul menggantikan tempat UMNO dan memenangi PRU-14 dengan mendekati Lim Kit Siang (DAP) dan mendekati Anwar (PKR) walaupun atas nama muslihat terpaksa menjilat semula apa yang telah diludahkan pada masa lalu.


Rakyat kini tidak mudah diperbodohkan dengan taburan persepsi, slogan kosong, retorik melulu dan melampau kerana Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pilihan Raya Kecil-Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi jawapan terbaik kepada pembangkang lebih-lebih lagi Pas dalam mengambil pendirian bersendirian dan pertandingan tiga penjuru bakal menyebabkan UMNO/BN akan muncul sebagai pemenang. Ia tidaklah mustahil.

Oleh: IBN HIKAM.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik