Saturday, September 17, 2016

PERJANJIAN MALAYSIA 1993: MENGAPA ADA PEMIMPIN TERPERANGKAP?

Benar Kah BATU SUMPAH signifikan terhadap Persekutuan Malaysia? Benar kah hak-hak Sabah diambil oleh Persekutuan?

Pada 16 September 1963, semasa Persekutuan Malaysia dibentuk, tidak pernah timbulpun apa itu BATU SUMPAH. Batu Sumpah itu hanya diwujudkan setahun kemudian. Batu yang bertuliskan komitemen penduduk pedalaman masa itu, sebenarnya, hanya luahan perasaan masa itu. Sebab itulah, salah satu kenyataan tertulis pada batu itu, Sabah bebas beragama, Apabila agama rasmi Sabah ditukar kepada agama islam oleh Dewan Undangan Negeri Sabah, tidakpun merujuk kepada Batu Sumpah itu. Jika apa yang tertulis pada Batu itu merupakan dokumen perjanjian pembentukan negara, mengapa kerajaan Sabah boleh menukar agama rasmi Sabah kepada islam??? Kemudiannya, Ketua Agama Islam dipindah daripada Tuan Yang Terutama Sabah kepada Duli Yang Maha Mulia Agong? dan pertukaran itu tidak melalui Parlimen, kerana hanya parlimen sahaja yang mempunyai kuasa mengubah perjanjian Malaysia. Melihat kepada keadaan itu, membawa pengertian, bahawa apa yang tertulis pada batu sumpah itu, bukan fakta binding terhadap pembentukkan Persekutuan Malaysia.

Malang sungguh, ada pemimpin Sabah yang terperangkap dengan pengertian sempit, sehingga mencacatkan perjanjian Malaysia 1963. Sejak tahun 1961, apabila cadangan pembentukkan Persekutuan Malaysia dibicarakan, tiada perbincangan berkaitan kandungan pada Batu Sumpah itu. Apa yang ada, adalah 20 perkara. 20 perkarapun, hanya merupakan dokumen sokongan terhadap pengumbalan Perlembagaan Malaysia. Daripada 20 perkara itu, 16 perkara-perkara masih berkuatkuasa sehingga kini, kecuali 4 perkara yang berlaku perubahan. Perkara itu adalah Perkara 1: Agama- Agama rasmi ditukar oleh Kerajaan Sabah sendiri, Perkara 11: Percukaian; Perkara 15: pelajaran- diubah kepada dasar pendidikan kebangsaan diambilalih oleh Persekutua dan Perkara 17, jumlah perwakilan tidak kurang daripada Singapura, namun selepas Singapura dikeluarkan pada 9 Ogos 1965, jumlah perwakilan diberikan kepada Malaya.

Selama 53 tahun, tiada seorangpun pemimpin daripada Sabah, yang pernah menyenaraikan, hak-hak Sabah yang telah terhakis, hanya kerana pembentukan Persekutuan Malaysia. Apa yang berlaku, hanya cakap-cakap, tiada butiran yang terperinci.

Melalui tulisan ini, maka didedahkan bahawa ada empat perkara daripada 20 Perkara kehendak rakyat Sabah semasa Pembentukkan Persekutuan Malaysia, yang tidak lagi terperlihara. Perkara 1, tiada sesiapa yang boleh disalahkan, kecuali pemimpin Sabah sendiri, kerana wakil rakyat Sabah yang meluluskan melalui Dewan Undangan Negeri, bahawa agama rasmi Sabah adalah Islam. Demikian juga Ketua Agama Islam yang pada mulanya ada pada Tuan Yang Terutama, kemudiannya dipindahkan kepada Agong.

Bagi Perkara 11: Percukaian, mungkin perkara ini yang menjadi “grey area” kerana percukaian negara dikendalikan oleh Jabatan Persekutuan. Perkara percukaian inilah yang perlu diperhalusi, kerana melalui percukaianlah, merupakan sumber pendapatan sesebuah negara atau negeri. Dalam pengurusan cukai, kena ada SOP yang jelas, iaitu, mana-mana pihak yang mendapat sumber pendapatan daripada Sabah dan cukai yang dibayar perlu dipisahkan dengan akaun pembayar cukai daripada Sarawak dan Semenanjung. Cukai itu, termasuklah yang diurus Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam DiRaja dan Ekasais, serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Melalui cara ini, maka Sabah dapat melihat, potensi sebenar negari, dalam mendapatkan pendapatan.

Bagi Perkara 15: Pelajaran- Oleh kerana kos pelajaran bukan murah, lagipun sebagai negara, maka perlu ada dasar pendidikan negara, maka proses pembelajaran dipersetujui dibawah tanggungjawab Persekutuan. Mungkin diperingkat ini terdapatnya permasalahan, sebab itu, Menteri Pelajaran Dato Seri Mahadzir Khalid menyatakan bahawa terdapat 380 sekolah daif di Sabah. Malang sungguh, bahawa kenyataan berkaitan sekolah daif di Sabah, datangnya daripada pemimpin bukan asal Sabah. Penulis belum terbaca lagi di mana-mana laporan daripada pemimpin Sabah, yang ada menyatakan bahawa terdapatnya sekian ratus sekolah daif di Sabah.

Perkara 17: Jumlah Perwakilan- memang faktor ini sangat ketara. Memang Sabah tidak cukup ramai pengundi. Setakat 2016, jumlah pengundi berdaftar Sabah seramai 995,729. Jumlah ini hanya mewakli 14 peratus daripada keseluruhan pengundi negara. Manakala jumlah kerusi parlimen Sabah sebanyak 25 kerusi atau 11.3% peratus daripada jumlah keseluruhan. Namun, apabila melihat keluasan Sabah, iaitu 2/3 Semenanjung, maka setidak-tidaknya Sabah mempunyai kerusi parlimen sekurang-kurang 25% daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen Persekutuan, manakala Sarawak juga demikian, ertinya agihan kerusi Sabah dan Sarawak mewakili 50%, makala 50% lagi Semenanjung. 

Perbandingan jumlah penduduk antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tidak boleh dijadikan asas pengagihan kerusi, kerana, keluasan perlu diambilkira. Kalaupun, pengagihan kerusi tidak sampai 50%, setidak-tidaknya 40% kerusi parlimen diperuntukan bagi Sabah dan Sarawak, kerana jumlah itu lebih kelihatan adil.

Melihat 20 Perkara Sabah, sebenarnya hanya empat perkara daripadanya yang mengalami perubahan dan tafsiran, manakala yang lainnya masih berkuatkuasa. Namun, daripada 4 perkara itu, Perkara 11 lah yang menjadi keutamaan, kerana Sabah memerlukan sumber kewangan yang besar, bagi memajukan negeri. Selain itu, pendapatan daripada hasil minyak dan gas juga merupakan perkara utama, kerana Sabah sangat terkilan, walaupun sebagai pengeluar minyak dan gas, akan tetapi, kurangnya mercu tanda hasil daripada minyak dan gas kepada negeri. Cuba bayangkan, Menara Berkembar Petronas di bina di Kuala Lumpur, walaupun ianya menjadi kemegahan negara, akan tetapi, rakyat Sabah dan Sarawak tidak dapat menikmati kemegahan itu, kecuali sebagai pelawat, sama dengan pelancong asing.

Baru-baru ini, ada pemimpin Sabah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji, berkaitan MA63. Kenyataan itu lebih bersifat umum dan tidak spesifik, sehingga mendorong kepada banyak pertanyaan daripada penyelesaian. Adalah memilukan, selama 53 tahun, para pemimpin itu, tidak dapat mengenalpasti, mana satu perkara yang terlepas pandang, terubah, terkurang atau terlebih??? Kenyataan mereka itu, lebih mengarah kepada kenyataan politik, berbanding mencari penyelesaian.

Apa yang perlu sekarang ini, bukan kenyataan secara umum, kerana kenyataan secara umum, akan membuatkan rakyat tertanya-tanya. Apa yang penting kenyataan secara spesifik. Seharusnya, para pemimpin itu, telah tahu apa yang dipercakapkan, boleh ‘pin point” perkara dalam MA63, bukannya bertindak sama seperti rakyat biasa yang tidak mendalami perkara itu. Melontarkan kenyataan secara umum apatah lagi bersifat retorik, ianya mengundang berbagai persepsi, malah akan menjurus kepada tindakan kebencian.

Mungkin melalui jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu akan disenaraikan perakara mana dalam MA63 itu tidak terpenuhi, dan perkara mana dalam 20 Perkara itu tidak terpenuhi. Untuk itu, elakkanlah membuat kenyataan berkaitan MA63 atau 20 Perkara, dan perlu menunggu, kajian jawatankuasa yang ditubuhkan. Tindakan sedemikian, lebih arif dan bijaksana, dalam perjalanan bernegara di bawah naungan Persekutuan Malaysia. Para pemimpin kerajaan, jangan terperangkap dengan mainan pemimpin pembangkang, kerana memang itupun keinginan mereka.
- AYT.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik