Kapal baharu yang sedang cuba dibina semula untuk menghadapi PRU-14 mengekalkan kompas ideologi dan kepentingan yang tajam berbeza dengan tekad menjatuhkan kerajaan yang ada atas banyak muslihat. Sekiranya kapal ini berjaya berlabuh di Putrajaya, kompas ideologi apakah yang bakal digunapakai supaya sauh pentadbiran Putrajaya berjalan dengan adil dan diterima rakyat?


Perbezaan fahaman politik yang dibawa oleh nakhoda yang berbeza hala tuju perjuangannya dengan muslihat saling mempergunakan menjadikan muafakat belayar ke Putrajaya semakin sukar. DAP yang mendukung fahaman sosialis demokratik dengan imej anti-Islam masih bertekad menjadikan Malaysia sebagai negara sekular dalam orientasi Malaysian Malaysianya.


Sebaliknya parti baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang nakhodanya pernah memimpin negara dalam tempoh yang agak lama dikatakan sangat ‘totok’ UMNO, beralih kapal dengan menggabungkan diri bersama musuh ketatnya DAP. DAP dan PPBM menjadikan UMNO/BN sebagai sasaran yang perlu ditenggelamkan dan digantikan dengan nakhoda baharu.


PKR yang mendukung fahaman liberal pragmatik mempunyai nakhoda yang berjuang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara untuk ditabalkan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti. Nakhoda DAP ghairah menjadikan Anwar calon Perdana Menteri kerana faktor muslihat.


Dengan kemunculan nakhoda baharu dari PPBM, isu ketua nakhoda mula berbangkit. Pemuda DAP menentang kemasukan PPBM dalam kapal Pakatan Harapan walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad bersikap lunak terhadap Anwar dalam pertemuan baru-baru ini. Anwar tentu mengharapkan Dr. Mahathir meminta maaf kepadanya kerana memenjarakannya pada masa lalu. Penulis percaya Dr. Mahathir tidak akan melakukan itu kerana soal integriti. Kalau ini dilakukan juga demi muslihat pelayaran ke Putrajaya, Anwar mengharap imejnya akan menjadi bertambah baik dan imej Dr. Mahathir bertambah buruk.


Melupakan perselisihan tajam masa lalu pada prinsipnya tidaklah mudah. Sejarah permusuhan ini sudah terpahat dalam lipatan sejarah. Muafakat dalam kalangan nakhoda atas muslihat menghadapi musuh bersama adalah suatu permulaan yang meragukan.


Nakhoda yang terdiri dari DAP cenderung belayar ikut orientasi seberang Selat Tebrau. Nakoda PKR bersedia dirinya dipergunakan demi kepentingan Anwar. Nakhoda PAN yang pernah dibentuk dengan fikrah gerakan Islam dikatakan kuat berpaut kepada nakhoda DAP. Nakhoda Pas masih dengan kapal layarnya sendiri dan enggan bersama menaiki kapal Pakatan Harapan.


Nakhoda PKR cuba mempelawa nakhoda Pas untuk bersama supaya hala tuju pelayaran tidak terpecah arah. Sehingga kini nakhoda Pas masih menolak kecuali nakhoda kecil Pas Selangor sudah memulakan perundingan. Nakhoda PKR Selangor bimbang sekiranya Pas terkeluar dari Pakatan Harapan Selangor, wujud kebimbangan kapal PKR di Selangor akan karam.


Dengan kemasukan Datuk Husam Musa ke dalam PAN, orang PAN sedang membina harapan dapat mengambil teraju kepimpinan Kelantan. Pas yang menguasai Kelantan yakin akan terus menguasai negeri itu sedangkan pertandingan tiga penjuru boleh menyebabkan pihak ketiga memenanginya. Nampaknya pelayaran kapal Pakatan Harapan masih berada di tengah-tengah ketidakpastian. Untuk memiliki kompas pelayaran di bawah satu nakhoda yang arahannya diterima dengan hati yang sekata, tidaklah mudah. 


Sekiranya dalam hati setiap nakhoda mempunyai kompas pelayaran yang berbeza dan memaksakan diri melupakan perbezaan itu kerana menghadapi musuh yang sama, amat dibimbangkan jika bila berjaya ke Putrajaya kelak tembelang sebenar akan terbuka luas. Kapal akan terdampar dan nakhodanya bakal berkrisis sesama sendiri kerana isu hala tuju pengurusan Putrajaya khususnya jawatan ketua nakhoda pasti bakal berbangkit.

- Utusan.